Tuesday 13 November 2012

Setiap amalan itu bergantung pada niat


Hadith Pertama

ﻋﻦ ﺃﻣﻴﺮ ﺍﻟﻤﺆﻣﻨﺒﻴﻦ ﺃﺑﻲ ﺣﻔﺺ ﻋﻤﺮ ﺍﺑﻦ ﺍﻟﺨﻄﺎﺏ ﺭﺿﻲ ﺍﻟﻠﻪ ﺗﻌﺎﻟﻰ ﻋﻨﻪ ﻗﺎﻝ : ﺳﻤﻌﺖ ﺭﺳﻮﻝ ﺍﻟﻠﻪ ﺻﻞ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭ ﺳﻠﻢ ﻳﻘﻮﻝ : (( ﺇﻧﻤﺎ ﺍﻷ‌ﻋﻤﺎﻝ ﺑﺎﻟﻨﻴﺎﺕ, ﻭ ﺇﻧﻤﺎ ﻟﻜﻞ ﺍﻣﺮﺉ ﻣﺎ ﻧﻮﻯ, ﻓﻤﻦ ﻛﺎﻧﺖ ﻫﺠﺮﺗﻪ ﺇﻟﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻭ ﺭﺳﻮﻟﻪ ﻓﻬﺠﺮﺗﻪ ﺇﻟﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻭ ﺭﺳﻮﻟﻪ, ﻭ ﻣﻦ ﻛﺎﻧﺖ ﻫﺠﺮﺗﻪ ﻟﺪﻧﻴﺎ ﻳﺼﻴﺒﻬﺎ, ﺃﻭ ﺍﻣﺮﺃﺓ ﻳﻨﻜﺤﻬﺎ, ﻓﻬﺠﺮﺗﻪ ﺇﻟﻰ ﻣﺎ ﻫﺎﺟﺮ ﺇﻟﻴﻪ ))ﺭﻭﺍﻩ ﺇﻣﺎﻣﺎ ﺍﻟﻤﺤﺪﺛﻴﻦ ﺃﺑﻮ ﻋﺒﺪ ﺍﻟﻠﻪ ﻣﺤﻤﺪ ﺑﻦ ﺇﺳﻤﺎﻋﻴﻞ ﺑﻦ ﺇﺑﺮﺍﻫﻴﻢ ﺑﻦ ﺍﻟﻤﻐﻴﺮﺓ ﺑﻦ ﺑﺮﺩﺯﺑﻪ ﺍﻟﺒﺨﺎﺭﻱ ﺍﻟﺠﻌﻔﻲ, ﻭ ﺃﺑﻮ ﺍﻟﺤﺴﻴﻦ ﻣﺴﻠﻢ ﺑﻦ ﺍﻟﺤﺠﺎﺝ ﺑﻦ ﻣﺴﻠﻢ ﺍﻟﻘﺸﻴﺮﻱ ﺍﻟﻨﻴﺴﺎﺑﻮﺭﻱ, ﻓﻲ ﺻﺤﻴﺤﻴﻬﻤﺎ ﺍﻟﻠﺬﻳﻦ 
ﻫﻤﺎ ﺃﺻﺢ ﺍﻟﻜﺘﺐ ﺍﻟﻤﺼﻨﻔﺔ.

Dari Amirul Mukminin, Abi Hafs Umar Al-Khattab r.a katanya : “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

((Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat, dan bagi setiap manusia itu apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kerana Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin diperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin dia nikahi, maka hijrahnya itu bergantung terhadap apa yang dia hijrahi kerananya))

Hadith riwayat Abu Abdillah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al-Mughirah bin Bardizbah Al-Bukhari Al-Ju’fi dan Abu Al-Husain Muslim bin Al-Hajjaj bin Muslim Al-Qusyairi An-Naisaburi di dalam kitab mereka iaitu Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.

Faedah Hadith :

1.Hadith ini merupakan salah satu hadith utama didalam Islam dimana ulama’ menetapkan dua hadith sebagai hadith utama didalam amalan seorang muslim iaitu hadith ini dan hadith daripada ‘Aisyah r.a 

((Sesiapa yang beramal dengan amalan yang bukan daripada apa yang diperintahkan (syariat islam) maka ianya tertolak)) 
Hadith Riwayat Muslim.

Jadi, Hadith ini merupakan tonggak untuk amalan-amalan hati iaitu pengukur untuk amalan-amalan batin dan hadith daripada ‘Aisyah (yang dinyatakan tadi) merupakan tonggak dan pengukur untuk amalan-amalan zahir.

2.Wajib membezakan niat pada ibadat-ibadat tertentu seiring dengan sabda Rasulullah SAW ((Sesungguhnya setiap amalan-amalan itu adalah (bergantung) kepada niat)) . Contohnya, seseorang yang hendak menunaikan solat Zohor maka hendaklah dia berniat untuk menunaikan solat Zohor untuk membezakannya dengan solat-solat yang lain.

3.Menitikberatkan soal ikhlas semata-mata kerana Allah ta’ala dalam amalan seharian kerana Rasulullah SAW didalam hadith, Rasulullah SAW ini telah membahagikan manusia kepada dua golongan.

Golongan Pertama : Ikhlas mengharapkan balasan Allah dengan amalannya.

Golongan Kedua    : Mengharapkan selain daripada Allah dengan amalannya.Ini menunjukkan bahawa persoalan ikhlas semata-mata kerana Allah didalam amalan wajib diberi perhatian dan tumpuan kerana ia adalah fokus dan tujuan utama penciptaan manusia seperti dalam firmanNya yang bermaksud

“Dan tidaklah diciptakan manusia dan jin kecuali untuk menyembahku  (dengan ikhlas)” (Ad-Dzariyat : 56).


Petikan dari Hadith 40 Karangan Al-Imam An-Nawawi Rahimahullah.

Sunday 11 November 2012

Cinta Kepada Allah


Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Dan diantara manusia ada orang-orang yang mengangkat tandingan tandingan selain Allah, mereka mencintaiNya sebagaimana mencintai Allah, adapun orang-orang yang beriman, mereka sangat mencintai Allah” (QS. Al Baqarah, 165).

Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Katakanlah jika baba-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbangkan kerugiannya, dan rumah-rumah yang kamu sukai itu, lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan daripada berjihad di jalanNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya” (QS. At taubah, 24)

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidak sempurna iman seseorang di antara kalian sehingga aku lebih dicintainya daripada anaknya, orang tuanya, dan manusia seluruhnya"

Juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Anas r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Ada tiga perkara, barang siapa terdapat di dalam dirinya ketiga-tiga perkara itu, maka dia pasti akan mendapatkan manisnya iman, iaitu: Allah dan RasulNya lebih dia cintai daripada yang lain, mencintai seseorang hanya kerana Allah, benci (tidak mahu kembali) kepada kekafiran setelah diselamatkan oleh Allah daripadanya, sebagaimana dia benci jika dicampakkan ke dalam api".

Dan disebutkan dalam riwayat lain: "Seseorang tidak akan merasakan manisnya iman, sebelum …"dst.

Ibnu Jarir meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a, bahawa dia berkata:
"Barang siapa yang mencintai seseorang kerana Allah, membenci kerana Allah, membela kerana Allah, memusuhi kerana Allah, maka sesungguhnya kecintaan dan pertolongan Allah itu diperolehnya melalui hal-hal tersebut, dan seorang hamba tidak akan dapat menemui lazatnya iman, walaupun banyak melakukan solat dan puasa, sehingga dia bersikap demikian. pada umumnya persahabatan yang terjalin di antara manusia dibina atas dasar kepentingan dunia, dan yang itu tidak berguna sedikitpun baginya".

Ibnu Abbas menafsirkan firman Allah s.w.t.:
“ … dan putuslah hubungan di antara mereka” (QS. Al baqarah, 166). Dia mengatakan: iaitu kasih sayang.


Kandungan bab ini:

1-Penjelasan tentang ayat dalam surah Al Baqarah[73].

2-Penjelasan tentang ayat dalam surah At Taubah[74].

3-Wajib mencintai Rasulullah s.a.w lebih daripada cinta terhadap diri sendiri, keluarga dan harta benda.

4-Pernyataan "tidak beriman" bukan bererti keluar daripada Islam.

5-Iman itu memiliki rasa manis, kadang kala dapat diperolehi seseorang, dan kadangkala tidak.

6-Disebutkan empat sikap yang merupakan syarat tetap untuk memperolehi kasih sayang Allah. Dan seseorang tidak akan menemui kelazatan iman kecuali dengan keempat-empat sikap itu.

7-Pemahaman Ibnu Abbas terhadap realiti, bahawa hubungan persahabatan antara sesama manusia pada umumnya dijalin atas dasar kepentingan duniawi.

8-Penjelasan tentang firman Allah: " … dan terputuslah segala hubungan antara mereka semuanya. [75]"

9-Disebutkan bahawa di antara orang-orang musyrik ada yang mencintai Allah dengan kecintaan yang sangat besar.

10-Ancaman terhadap seseorang yang mencintai kelapan-lapan perkara diatas [orang tua, anak-anak, bapa saudara, keluarga, isteri, harta kekayaan, tempat tinggal dan perniagaan] lebih daripada cinta terhadap agamanya.

11-Mempertuhankan selain Allah dengan mencintainya sebagaimana mencintai Allah adalah syirik akbar.

_____________________________________

Catatan Kaki:

[73] Ayat ini menunjukkan bahawa barang siapa yang mempertuhankan selain Allah dengan mencintainya seperti mencintai Allah, maka dia adalah musyrik.

[74] Ayat ini menunjukkan bahawa cinta kepada Allah dan cinta kepada yang dicintai Allah wajib didahulukan atas segala-galanya.

[75] Ayat ini menunjukkan bahawa cinta dan kasih sayang yang telah dibina oleh orang-orang musyrik di dunia ini akan terputus sama sekali di akhirat kelak, dan masing-masing dari kalangan mereka akan melepaskan diri daripadanya.



Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)