Sunday, 11 November 2012

Cinta Kepada Allah


Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Dan diantara manusia ada orang-orang yang mengangkat tandingan tandingan selain Allah, mereka mencintaiNya sebagaimana mencintai Allah, adapun orang-orang yang beriman, mereka sangat mencintai Allah” (QS. Al Baqarah, 165).

Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Katakanlah jika baba-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbangkan kerugiannya, dan rumah-rumah yang kamu sukai itu, lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan daripada berjihad di jalanNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya” (QS. At taubah, 24)

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidak sempurna iman seseorang di antara kalian sehingga aku lebih dicintainya daripada anaknya, orang tuanya, dan manusia seluruhnya"

Juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Anas r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Ada tiga perkara, barang siapa terdapat di dalam dirinya ketiga-tiga perkara itu, maka dia pasti akan mendapatkan manisnya iman, iaitu: Allah dan RasulNya lebih dia cintai daripada yang lain, mencintai seseorang hanya kerana Allah, benci (tidak mahu kembali) kepada kekafiran setelah diselamatkan oleh Allah daripadanya, sebagaimana dia benci jika dicampakkan ke dalam api".

Dan disebutkan dalam riwayat lain: "Seseorang tidak akan merasakan manisnya iman, sebelum …"dst.

Ibnu Jarir meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a, bahawa dia berkata:
"Barang siapa yang mencintai seseorang kerana Allah, membenci kerana Allah, membela kerana Allah, memusuhi kerana Allah, maka sesungguhnya kecintaan dan pertolongan Allah itu diperolehnya melalui hal-hal tersebut, dan seorang hamba tidak akan dapat menemui lazatnya iman, walaupun banyak melakukan solat dan puasa, sehingga dia bersikap demikian. pada umumnya persahabatan yang terjalin di antara manusia dibina atas dasar kepentingan dunia, dan yang itu tidak berguna sedikitpun baginya".

Ibnu Abbas menafsirkan firman Allah s.w.t.:
“ … dan putuslah hubungan di antara mereka” (QS. Al baqarah, 166). Dia mengatakan: iaitu kasih sayang.


Kandungan bab ini:

1-Penjelasan tentang ayat dalam surah Al Baqarah[73].

2-Penjelasan tentang ayat dalam surah At Taubah[74].

3-Wajib mencintai Rasulullah s.a.w lebih daripada cinta terhadap diri sendiri, keluarga dan harta benda.

4-Pernyataan "tidak beriman" bukan bererti keluar daripada Islam.

5-Iman itu memiliki rasa manis, kadang kala dapat diperolehi seseorang, dan kadangkala tidak.

6-Disebutkan empat sikap yang merupakan syarat tetap untuk memperolehi kasih sayang Allah. Dan seseorang tidak akan menemui kelazatan iman kecuali dengan keempat-empat sikap itu.

7-Pemahaman Ibnu Abbas terhadap realiti, bahawa hubungan persahabatan antara sesama manusia pada umumnya dijalin atas dasar kepentingan duniawi.

8-Penjelasan tentang firman Allah: " … dan terputuslah segala hubungan antara mereka semuanya. [75]"

9-Disebutkan bahawa di antara orang-orang musyrik ada yang mencintai Allah dengan kecintaan yang sangat besar.

10-Ancaman terhadap seseorang yang mencintai kelapan-lapan perkara diatas [orang tua, anak-anak, bapa saudara, keluarga, isteri, harta kekayaan, tempat tinggal dan perniagaan] lebih daripada cinta terhadap agamanya.

11-Mempertuhankan selain Allah dengan mencintainya sebagaimana mencintai Allah adalah syirik akbar.

_____________________________________

Catatan Kaki:

[73] Ayat ini menunjukkan bahawa barang siapa yang mempertuhankan selain Allah dengan mencintainya seperti mencintai Allah, maka dia adalah musyrik.

[74] Ayat ini menunjukkan bahawa cinta kepada Allah dan cinta kepada yang dicintai Allah wajib didahulukan atas segala-galanya.

[75] Ayat ini menunjukkan bahawa cinta dan kasih sayang yang telah dibina oleh orang-orang musyrik di dunia ini akan terputus sama sekali di akhirat kelak, dan masing-masing dari kalangan mereka akan melepaskan diri daripadanya.



Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

No comments:

Post a Comment