Friday 28 September 2012

Peribadi Seseorang Yang Beriman Menakjubkan…


Apabila disebut MANUSIA…..
ada yang beriman dan ada yang kafir……..
dan di kalangan yang beriman pula, ada yang munafiq dan ada yang musyrik (mensyirikkan Allah).

Tetapi ada perkara biasa dan ada juga perkara yang luar biasa yang berlaku pada manusia…..iaitu…..

Apabila dia mendapat kebaikan, dia bersyukur, itu masih menjadi perkara biasa…..
Apabila dia mendapat musibah dan kesusahan, dia tetap bersabar, itu masih menjadi perkara biasa…..

akan tetapi….. perkara luar biasa dan ajaib yang berlaku pada manusia ialah apabila dia ditimpa musibah dan kesusahan dia masih boleh bersyukur pada Allah….kerana dia mengetahui bahawa Allah ingin mengujinya…..dan dia mengetahui bahawa hanya orang-orang yang beriman yang layak diuji oleh Allah,

Firman Allah s.w.t (maksudnya):
Dan Sesungguhnya kami benar-benar akan menguji kamu agar kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu. (Surah Muhammad: 31)

Firman Allah s.w.t (maksudnya):
Dan sungguh kami akan memberikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Surah AlBaqarah: 155)

dan apa yang menjadi perkara yang sangat luar biasa dan sangat ajaib baginya ialah apabila dia ditimpa musibah dan kesusahan dia masih tetap bersyukur dan redha kepada Allah…dan masih boleh tersenyum ketenangan……

bersyukurlah dan bersabarlah….kerana itu adalah rahsia dan kunci kedamaian hati dan ketenangan yang akan menjadikan semua masalah berada dalam keadaan baik. Yakinlah, semua ini hanya dimiliki oleh orang-orang yang beriman. Kerana itulah……

“peribadi seseorang yang beriman itu menakjubkan……!!”

Dari Shuhaib b. Sinan, dia berkata:
Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya peribadi seseorang yang beriman menakjubkan, semua masalahnya berada dalam keadaan baik, dan ini hanya dimiliki oleh orang-orang yang beriman, jika dia mendapat kebaikan dan kelapangan, dia bersyukur dan itu sangat baik bagi dirinya, dan jika dia ditimpa musibah dan kesusahan, dia bersabar, hal itu sangat baik baginya.” (Hadith Riwayat Muslim)

Wednesday 26 September 2012

Usaha Rasulullah Dalam Menjaga Tauhid Dan Menutup Jalan Yang Menuju Kepada Kesyirikan


Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Sungguh telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri, yang mengambil berat atas sebarang kesusahan yang menimpa kamu, yang sangat menginginkan kebaikan (keimanan dan keselamatan) bagi kamu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang yang beriman” (QS. At Taubah, 128).

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Janganlah kalian menjadikan rumah-rumah kalian sebagai kubur, dan janganlah kalian jadikan kuburku sebagai tempat perayaan, ucapkanlah selawat untukku, kerana sesungguhnya ucapan selawat kalian akan sampai kepadaku dimana saja kalian berada" (HR. Abu Daud dengan sanad yang baik, dan para perawinya thiqoh).

Dalam hadith yang lain, Ali bin Al Husain r.a. memberitahu, bahawa dia melihat seseorang masuk ke dalam celah-celah yang ada pada kubur Rasulullah s.a.w, kemudian berdoa, maka dia pun melarangnya sambil berkata kepadanya: "Mahukah kamu aku beritahu sebuah hadith yang aku dengar daripada bapaku, daripada datukku daripada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda:

"Janganlah kalian menjadikan kuburku sebagai tempat perayaan, dan janganlah kalian menjadikan rumah-rumah kalian sebagai kubur, dan ucapkanlah selawat dan salam untukku, kerana ucapan selawat dan salam kalian akan sampai kepadaku di mana saja kalian berada"
(diriwayatkan dalam kitab Al Mukhtarah).


Kandungan bab ini:

1-Penjelasan tentang ayat yang terdapat dalam surah Al Baqarah[58].

2-Rasulullah s.a.w. telah memperingatkan umatnya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhkan umatnya daripada jalan yang menuju kepada kesyirikan, serta menutup setiap jalan yang menjurus ke arahnya.

3-Rasulullah s.a.w sangat menginginkan keimanan dan keselamatan kita, dan amat belas kasihan lagi penyayang terhadap kita.

4-Larangan Rasulullah s.a.w untuk tidak menziarahi kuburnya dengan cara tertentu, [iaitu dengan menjadikannya sebagai tempat perayaan], padahal menziarahi kubur baginda s.a.w termasuk amalan yang amat baik.

5-Rasulullah s.a.w melarang seseorang yang banyak melakukan ziarah kubur.

6-Rasulullah s.a.w menggalakkan umatnya untuk melakukan solat sunat di dalam rumah.

7-Satu perkara yang telah menjadi kebiasaan di kalangan para salaf (para sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin), bahawa menyampaikan selawat dan salam untuk Nabi s.a.w tidak perlu masuk di dalam kuburnya.

8-Alasannya kerana selawat dan salam seseorang untuk baginda s.a.w akan sampai kepada baginda s.a.w dimanapun dia berada, maka tidaklah harus mendatangi makamnya (untuk menyampaikan selawat dan salam), sebagaimana yang disangka oleh sebahagian masyarakat.

9-Nabi s.a.w di alam barzakh, akan dinampakkan seluruh amalan umatnya yang berupa selawat dan salam untuknya.

_____________________________________

Catatan Kaki:

[58] Ayat ini, dengan sifat-sifat yang disebutkan di dalamnya adalah mengenai peribadi Nabi Muhammad s.a.w., menunjukkah bahawa baginda s.a.w telah memperingati umatnya agar menjauhi syirik, yang merupakan dosa paling besar. Inilah tujuan utama diutuskan Rasulullah s.a.w..


Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

Berlebih-Lebihan Terhadap Kubur Orang-Orang Soleh Adalah Penyebab Terjadinya Sembahan Selain Allah


Imam Malik meriwayatkan dalam kitabnya Al Muwatto', bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Ya Allah, janganlah Engkau jadikan kuburku sebagai berhala yang disembah. Allah sangat murka terhadap orang-orang yang telah menjadikan kubur para Nabi mereka sebagai tempat ibadah".

Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir, dengan sanadnya daripada Sufyan daripada Mansur daripada Mujahid, berkaitan dengan ayat: “Jelaskan kepadaku (wahai kaum musyrikin) tentang (berhala yang kamu anggap sebagai anak perempuan Allah) Al Latta dan Al Uzza” (QS. An Najm, 19)

Dia (Mujahid) berkata: "Al Latta adalah seorang yang dahulunya tukang mengaduk tepung (dengan air atau minyak) untuk dihidangkan kepada jemaah haji. Setelah dia meninggal dunia, mereka pun sentiasa mendatangi kuburnya."

Demikian pula tafsiran Ibnu Abbas r.a. sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnul Jauza': " Dia itu pada mulanya adalah tukang mengaduk tepung untuk para jemaah haji."

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a, dia berkata:
"Rasulullah s.a.w. melaknat kaum wanita yang menziarahi kubur, serta orang-orang yang menjadikan kubur sebagai tempat ibadah dan sesiapa yang memberikan cahaya penerang di atas kubur."(HR. para penulis kitab Sunan)


Kandungan dalam bab ini:

1-Penjelasan tentang maksud berhala[56].

2-Penjelasan tentang maksud ibadah[57].

3-Rasulullah s.a.w dengan doanya itu, tiada lain hanyalah memohon kepada Allah supaya dihindari daripada sesuatu yang dikhuatiri terjadi pada umatnya, sebagaimana yang telah terjadi pada umat-umat sebelumnya, iaitu sikap berlebih-lebihan terhadap kubur baginda s.a.w, yang akhirnya kubur baginda s.a.w nanti akan menjadi berhala yang disembah.

4-Dalam doanya, baginda s.a.w sertakan pula (doa supaya umatnya dijauhkan daripada) apa yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu dengan menjadikan kubur para Nabinya sebagai tempat beribadah.

5-Penjelasan bahawa Allah sangat murka [terhadap orang-orang yang menjadikan kubur sebagai tempat ibadah].

6-Di antara masalah yang sangat penting untuk dijelaskan dalam bab ini adalah mengetahui sejarah penyembahan Al Latta, berhala terbesar orang-orang jahiliyah.

7-Mengetahui bahawa berhala itu asalnya adalah kubur orang seorang soleh [yang diperlakukan secara berlebih-lebihan dengan sentiasa dikunjungi oleh mereka].

8-Al Latta adalah nama orang yang dikuburkan itu, pada mulanya adalah seorang pengaduk tepung untuk disajikan kepada para jemaah haji.

9-Rasulullah s.a.w melaknat penziarah kubur wanita.

10-Baginda s.a.w juga melaknat orang-orang yang memberikan cahaya penerang di atas kubur.

_____________________________________

Catatan Kaki:

[56] Berhala adalah sesuatu yang diagungkan selain Allah, seperti kubur, batu, pohon dan yang sejenisnya.

[57] Mengagungkan kubur dengan menjadikannya sebagai tempat ibadah adalah termasuk dalam pengertian ibadah yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w.


Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

Larangan Beribadah Kepada Allah Di Sisi Kubur Orang-Orang Soleh


Diriwayatkan dalam sahih [Bukhari dan Muslim], daripada Aisyah ra. bahawa Ummu Salamah ra. menceritakan kepada Rasulullah s.a.w. tentang gereja yang dia lihat di negeri Habasyah (Ethiopia), yang di dalamnya terdapat gambar-gambar (atau patung-patung), maka Rasulullah bersabda:

"Mereka itu, apabila ada orang yang soleh atau hamba yang soleh meninggal dunia, mereka mendirikan di atas kuburnya sebuah tempat ibadah, dan mereka membuat di dalamnya gambar-gambar (atau patung-patung), dan mereka seburuk-buruk makhluk di sisi Allah".

Mereka dihukumi baginda s.a.w sebagai seburuk-buruk makhluk kerana mereka melakukan dua fitnah sekaligus, iaitu fitnah memuja kubur dengan mendirikan tempat ibadah di atasnya dan fitnah membuat gambar-gambar (atau patung-patung).

Dalam riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Aisyah juga berkata: ketika Rasulullah sedang nazak, baginda pun segera menutup mukanya dengan kain, dan ketika nafasnya terasa sesak maka dibukanya kembali kain itu. Ketika baginda dalam keadaan demikian itu lah baginda bersabda:

"Laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yahudi dan Nasrani, yang telah menjadikan kubur para Nabi mereka sebagai tempat ibadat".

Baginda mengingatkan umatnya agar menjauhi perbuatan mereka itu, dan jika bukan kerana hal itu, Maka pasti kubur baginda akan dinampakkan, kerana baginda khuatir kalau kuburnya nanti dijadikan tempat beribadah.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Jundub bin Abdullah, dimana dia pernah berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda lima hari sebelum baginda meninggal dunia:

"Sesungguhnya, aku menyatakan setia kepada Allah dengan menolak bahawa aku mempunyai seorang khalil (kekasih mulia) dari antara kalian, kerana sesungguhnya Allah s.w.t. telah menjadikan aku sebagai kekasihNya, sebagaimana Dia telah menjadikan Ibrahim sebagai kekasihNya. Seandainya aku menjadikan seorang kekasih dari umatku, maka aku akan jadikan Abu Bakar sebagai kekasihku. Dan ketahuilah, bahawa sesungguhnya umat-umat sebelum kalian telah menjadikan kubur para Nabi mereka sebagai tempat ibadah, dan ingatlah, janganlah kalian menjadikan kubur sebagai tempat beribadah, kerana aku benar-benar melarang kalian melakukan perbuatan itu".

Rasulullah s.a.w di akhir hayatnya - sebagaimana dalam hadis Jundub - telah melarang umatnya untuk tidak menjadikan kubur sebagai tempat ibadah. Kemudian ketika dalam keadaan hendak diambil nyawanya - sebagaimana dalam hadith Aisyah - baginda melaknat orang yang malakukan perbuatan itu. Dan solat di sisinya termasuk pula dalam pengertian menjadikan kubur sebagai tempat ibadah, walaupun tidak dijadikan bangunan masjid, dan inilah maksud dari kata-kata Aisyah ra.: "… dikhuatiri akan dijadikan sebagai tempat ibadah."

Dan para sahabat pun belum pernah mendirikan masjid (tempat ibadah) disekitar kubur baginda, kerana setiap tempat yang digunakan untuk solat bererti telah dijadikan sebagai masjid, bahkan setiap tempat yang digunakan untuk solat disebut masjid, sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasul s.a.w.:
"Telah dijadikan bumi ini untukku sebagai masjid dan suci".

Dan Imam Ahmad meriwayatkan hadis marfu' dengan sanad yang jayyid, dari Ibnu Mas'ud r.a., bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya, orang yang masih hidup pada saat hari kiamat tiba, dan orang yang menjadikan kubur sebagai tempat ibadah (masjid) adalah termasuk dalam kalangan seburuk-buruk manusia"
(Hadith Riwayat Abu Hatim dalam kitab sahihnya).


Kandungan bab ini:

1-Larangan mendirikan tempat beribadah (masjid) di sisi kubur orang-orang soleh, walupun niatnya baik.

2-Larangan keras adanya (gambar / patung) dalam tempat ibadah.

3-Pelajaran penting yang dapat kita ambil dari sikap keras Rasulullah s.a.w. dalam masalah ini, bagaimana baginda s.a.w menjelaskan terlebih dahulu kepada para sahabat, bahawa orang yang mendirikan tempat ibadah di sekitar kubur orang soleh termasuk seburk-buruk makhluk di hadapan Allah. Kemudian, lima hari sebelum wafat, baginda s.a.w mengeluarkan pernyataan yang melarang umatnya menjadikan kubur sebagai tempat ibadah. Dan yang terakhir, beberapa saat menjelang kewafatannya, baginda s.a.w masih merasa belum cukup dengan tindakan-tindakan yang telah diambilnya, sehingga baginda melaknat orang-orang yang melakukan perbuatan ini.

4-Rasulullah s.a.w. melarang pula perbuatan tersebut dilakukan di sisi kubur baginda s.a.w, walaupun kubur baginda s.a.w sendiri belum ada.

5-Menjadikan kubur nabi-nabi sebagai tempat ibadah merupakan tradisi orang-orang yahudi dan Nasrani.

6-Rasulullah melaknat mereka kerana perbuatan mereka sendiri.

7-Rasulullah melaknat mereka dengan tujuan memberikan peringatan kepada kita agar tidak melakukan hal yang sama terhadap kubur baginda s.a.w.

8-Alasan tidak dinampakkan kubur baginda s.a.w kerana dikhuatiri akan dijadikan sebagai tempat ibadah.

9-Pengertian "menjadikan kubur sebagai tempat ibadah" ialah [melakukan suatu ibadah, seperti: solat di sisi kubur, meskipun tidak didirikan di atasnya sebuah tempat ibadah].

10-Rasulullah s.a.w menggabungkan antara orang yang menjadikan kubur sebagai tempat ibadah dengan orang yang masih hidup disaat kiamat tiba, dalam rangka memberikan peringatan kepada umatnya tentang perbuatan yang boleh mencapai kepada perkara-perkara syirik sebelum ianya terjadi, disamping mengingatkan pula bahawa di akhir kehidupan dunia adalah bermaharajalelanya perkara-perkara syirik.

11-Khutbah baginda s.a.w yang disampaikan lima hari sebelum wafatnya baginda s.a.w mengandungi sanggahan terhadap dua kelompok yang kedua-duanya termasuk seburuk-buruk ahli bid'ah, bahkan sebahagian ulama menyatakan bahawa kedua-duanya di luar 72 golongan yang ada dalam umat Islam, iaitu Rafidhoh[54] dan Jahmiyah[55]. Dan disebabkan orang-orang Rafidhoh inilah perkara-perkara syirik dan penyembahan kubur terjadi, dan mereka itulah orang pertama yang mendirikan tempat ibadah diatas kubur.

12-Rasulullah s.a.w. [adalah manusia biasa] merasakan beratnya sakaratul maut.

13-Baginda s.a.w dimuliakan oleh Allah dengan dijadikan sebagai kekasih (khalil)[sebagaimana Nabi Ibrahim].

14-Pernyataan bahawa khalil itu lebih tinggi darjatnya daripada habib (kekasih).

15-Pernyataan bahawa Abu Bakar r.a. adalah sahabat Nabi yang paling mulia.

16-Hal tersebut merupakan isyarat bahawa Abu Bakar akan menjadi Khalifah (sesudah baginda s.a.w).

_____________________________________

Catatan Kaki:

[54] Rafidhah adalah salah satu bahagian dalam aliran syi'ah. Mereka bersikap berlebih-lebihan terhadap Ali bin Abi Tholib dan ahlul bait, dan mereka menyatakan permusuhan terhadap sebahagian besar sahabat Rasulullah, khususnya Abu Bakar dan Umar.

[55] Jahmiyah adalah aliran yang timbul pada akhir khilafah Bani Umayyah. Disebut demikian, kerana dinisbahkan kepada nama tokoh mereka, iaitu Jahm bin Sofwan At Tirmidzi, yang terbunuh pada tahun 128 H. di antara pendapat aliran ini adalah menolak kebenaran adanya Asma' dan Sifat Allah, kerana menurut anggapan mereka Asma dan Sifat adalah ciri khas makhluk, maka apabila diakui dan ditetapkan untuk Allah bererti menyerupakan Allah dengan makhlukNya.


Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

Sunday 23 September 2012

Hikmah Perutusan Para Rasul



Syaikh Muhammad bin Soleh al-Utsaimin: “Adapun hikmah daripada diutusnya para Rasul adalah:

1. Menegakkan hujjah.
Dalilnya: Allah ta’ala berfirman:
رُّسُÙ„ًا Ù…ُّبَØ´ِّرِينَ ÙˆَÙ…ُنذِرِينَ Ù„ِئَÙ„َّا ÙŠَÙƒُونَ Ù„ِلنَّاسِ عَÙ„َÙ‰ اللَّـهِ Ø­ُجَّØ©ٌ بَعْدَ الرُّسُÙ„ِ 
 “(Kami utuskan mereka) selaku para rasul yang membawa berita gembira dan pemberi peringatan supaya tiada alas an bagi manusia membantah Allah sesudah diutuskan para Rasul”[An-Nisa’:165]

2. Sebagai rahmat.
Dalilnya: Allah ta’ala berfirman:
ÙˆَÙ…َا Ø£َرْسَÙ„ْÙ†َاكَ Ø¥ِÙ„َّا رَØ­ْÙ…َØ©ً Ù„ِّÙ„ْعَالَÙ…ِينَ
“Kami tidak mengutuskan kamu melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam”

3. Memberikan penjelasan untuk menerangkan jalan menuju kepada Allah ta’ala.
Ini kerana manusia tidak mengetahui hak-hak allah melainkan melalui perantaraan Rasul.”


*[al-Qaul al-Mufid ‘ala Kitab at-Tauhid, karangan Syaikh Muhammad bin Soleh al-Utsaimin, Dar Ibnu al-Jauzi, Cetakan Kedua, 1424, 1/156]

Saturday 22 September 2012

Penyebab Utama Kekafiran Adalah Berlebih-Lebihan Dalam Mengagungkan Orang-Orang Soleh


Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Wahai ahli kitab, janganlah kalian melampaui batas dalam agama kalian, dan janganlah kalian mengatakan sesuatu terhadap Allah kecuali hanya yang benar.”
(QS. An nisa', 171).

Dalam sahih Bukhari diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. yang menjelaskan tentang firman Allah s.w.t.:
“Dan mereka (kaum Nabi Nuh) berkata: janganlah sesekali kamu meninggalkan (penyembahan) Tuhan-tuhan kamu, dan janganlah sesekali kamu meninggalkan (penyembahan) Wadd, Suwa', Yaghuts, Ya'uq mahupun Nasr” (QS. Nuh, 23)

Beliau (Ibnu Abbas) mengatakan: "Ini adalah nama orang-orang soleh dari kalangan kaum Nabi Nuh, ketika mereka meninggal dunia, syaitan membisikkan kepada kaum mereka agar membuat patung-patung mereka yang telah meninggal dunia di tempat-tempat dimana di situ pernah diadakan pertemuan antara mereka, dan mereka disuruh memberikan nama-nama patung tersebut dengan nama-nama mereka, kemudian kaum tersebut menerima bisikan syaitan, dan pada saat itu patung-patung yang mereka buat belum dijadikan sembahan, setelah para pembuat patung itu meninggal dunia, dan ilmu agama dilupakan, mulai saat itulah patung-patung tersebut mulai disembah".

Ibnul Qoyyim berkata[52]: "ramai ulama salaf mengatakan: "setelah mereka meninggal dunia, ramai orang yang berbondong-bondong mendatangi kubur mereka. Kemudian, setelah itu, orang ramai mula membuat patung-patung mereka. Setelah waktu berlalu beberapa lama ahirnya patung-patung tersebut dijadikan sembahan".

Diriwayatkan dari Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Janganlah kalian berlebih-lebihan dalam memujiku, sebagaimana orang-orang Nasrani berlebih-lebihan dalam memuji Isa bin Maryam. Aku hanyalah seorang hamba, maka katakanlah: Abdullah (hamba Allah) dan Rasulullah (Utusan Allah)" (HR. Bukhori dan Muslim).

Dan Rasulullah s.a.w. bersabda:
 "Jauhilah sikap berlebih-lebihan, kerana sesungguhnya sikap berlebih-lebihan itulah yang telah membinasakan kaum-kaum sebelum kalian" (HR. Ahmad, Tarmizi dan Ibnu majah dari Ibnu Abbas r.a.)

Dan diriwayatkan dalam sahih Muslim, Ibnu Mas'ud r.a. berkata: bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Binasalah orang-orang yang bersikap berlebih-lebihan" (diulanginya ucapan itu sebanyak tiga kali).


Kandungan dalam bab ini:

1-Orang yang memahami bab ini dan bab setelahnya, akan jelas baginya akan asingnya Islam dan ia akan melihat betapa kuasanya Allah itu untuk mengubah hati manusia.

2-Mengetahui bahawa awal munculnya kemusyrikan di muka bumi ini adalah kerana sikap berlebih-lebihan terhadap orang-orang soleh.

3-Mengetahui apa yang pertama kali dilakukan oleh kaum-kaum sebelum ini sehingga ajaran para Nabi boleh berubah, dan faktor penyebabnya, padahal mereka mengetahui bahawa para Nabi itu adalah utusan Allah.

4-Mengetahui sebab-sebab diterimanya bid'ah, padahal syari'ah dan fitrah manusia menolak bid’ah.

5-Faktor yang menyebabkan terjadinya hal di atas adalah kebenaran dan kebatilan bercampur aduk.

Adapun yang pertama ialah: rasa cinta kepada orang-orang soleh.

Sedang yang kedua ialah: tindakan yang dilakukan oleh orang-orang alim yang ahli dalam masalah agama, dengan maksud untuk sesuatu kebaikan, tetapi orang-orang yang hidup sesudah mereka merasa bahawa apa yang mereka maksudkan bukanlah hal itu.

6-Penjelasan tentang ayat yang terdapat dalam surah Nuh[53].

7-Mengetahui tentang sikap manusia bahawa kebenaran yang ada pada dirinya boleh berkurang, dan kebatilan pula boleh wujud dan bertambah.

8-Bab ini mengandungi suatu bukti tentang kebenaran pernyataan ulama salaf bahawa bid'ah adalah penyebab kekafiran.

9-Syaitan mengetahui tentang impak yang diakibatkan oleh bid'ah, walaupun pelakunya bermaksud untuk sesuatu kebaikan.

10-Mengetahui kaedah umum, bahawa sikap berlebih-lebihan dalam agama adalah dilarang, dan mengetahui kesan negatifnya.

11- Bahaya dari segi perbuatan jika sering mendatangi kubur dengan niat untuk sesuatu amal soleh.

12-Larangan adanya patung-patung, dan hikmah disebalik perintah menghancurkannya (iaitu: untuk menjaga kemurnian tauhid dan menghapuskan perkara-perkara syirik).

13-Besarnya kedudukan kisah kaum Nabi Nuh ini, dan manusia sangat memerlukan kisah ini (untuk dijadikan ikhtibar dan teladan), walaupun ramai di antara mereka yang telah melupakannya.

14-Satu hal yang sangat menghairankan, bahawa mereka (ahli-ahli bid'ah) telah membaca dan memahami kisah ini, baik melalui kitab-kitab tafsir mahupun hadith, tetapi Allah menutup hati mereka, sehingga mereka mempunyai keyakinan bahawa apa yang dilakukan oleh kaum Nabi Nuh adalah amal ibadah yang paling utama, dan merekapun beranggapan bahawa apa yang dilarang oleh Allah dan Rasulnya adalah kekafiran yang menghalalkan darah dan harta.

15-Dinyatakan bahawa mereka berlebih-lebihan terhadap orang-orang soleh itu tiada lain hanya kerana mengharapkan syafaat mereka.

16Mereka menjangkakan bahawa orang-orang berilmu yang membuat patung-patung itu bermaksud demikian.

17-Pernyataan yang sangat penting yang ada pada sabda Nabi s.a.w: "Janganlah kalian berlebih-lebihan dalam memujiku, sebagaimana orang-orang Nasrani berlebih-lebihan dalam memuji Isa bin Maryam"
Semoga selawat dan salam sentiasa dilimpahkan Allah kepada baginda s.a.w yang telah menyampaikan risalah dengan sebenar-benarnya.

18-Ketulusan hati baginda s.a.w kepada kita dengan memberikan nasihat bahawa orang-orang yang berlebih-lebihan itu akan binasa.

19-Pernyataan bahawa patung-patung itu tidak disembah kecuali setelah ilmu [agama] dilupakan, dengan demikian dapat diketahui betapa bernilainya ilmu ini dan bahayanya jika ia hilang.

20-Penyebab hilangnya ilmu agama adalah apabila para ulama meninggal dunia.

_____________________________________

Catatan Kaki:

[52] Abu Abdillah : Muhammad bin Abu Bakar bin Ayyub bin Sa'd Az Zur'I Ad Dimasqi, Ibnu Qoyyim Al Jauziyah. Seorang ulama besar dan tokoh gerakan da'wah Islamiyah. Mempunyai banyak karya ilmiyah. Dilahirkan tahun 691 H (1292 M) dan meninggal tahun 751 H (1350 M).

[53] Ayat ini menunjukkan bahawa sikap berlebih-lebihan dan melampaui batas terhadap orang-orang soleh adalah penyebab terjadinya perkara-perkara syirik dan penyebab tuntunan agama para Nabi ditinggalkan.


Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

Friday 21 September 2012

Jenis-jenis Cinta


Syaikh Ibnu Utsaimin berkata:  
“Cinta itu ada pelbagai jenis;

Pertama: Cinta kerana Allah
Cinta ini tidak menafikan tauhid. Bahkan ia merupakan sebahagian daripada kesempurnaan tauhid.
Tali iman yang paling kuat adalah mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah.
Maksud mencintai kerana Allah ialah engkau mencintai sesuatu kerana Allah mencintainya; sama ada ia dicintai itu adalah individu atau amalan.
Ini merupakan daripada kesempurnaan tauhid.

Majnun Laila berkata:
Aku melalui rumah itu; iatu rumah Laila
Aku mencium dinding ini dan dinding ini
Bukanlah kecintaan kepada tempat tinggal melamun hatiku
Namun kecintaan kepada yang tinggal di rumah itu

Kedua: Cinta naluri yang tidak memberi kesan kepada cinta seseorang kepada Allah.
Cinta ini tidak menafikan cinta kepada Allah.
Contohnya, cinta kepada  isteri, anak dan harta.

Dalilnya: Nabi shallahu ‘alaihi wa sallam ditanya: “Siapakah orang yang paling engkau cintai?” Maka beliau menjawab: “Aisyah” Seterusnya beliau ditanya lagi: “Siapakah lelaki yang paling engkau cintai?” Beliau menjawab: “Ayahnya” [Shahih al-Bukhari 9/3, Shahih Muslim 4/1856]
Antara contoh yang lain adalah cinta terhadap makanan, minuman dan pakaian.

Ketiga: Cinta bersama-sama Allah yang menafikan cinta kepada Allah.
Maksudnya, mencintai sesuatu selain daripada Allah sama dengan cinta kepada Allah; ataupun cinta terhadap perkara tersebut melebihi daripada cinta kepada Allah; di mana apabila ada pertentangan antara cinta terhadap Allah dan cinta terhadap selain Allah, maka dia mendahulukan cintanya kepada kepada selain Allah.
Ini terjadi ketika dia menjadikan cinta kepada selain Allah sebanding dengan cinta kepada Allah, sama ada dia mendahulukan cintanya itu daripada cinta kepada Allah atau dia menyamakan cintanya itu sebagaimana cintanya kepada Allah.


*[al-Qaul al-Mufid ‘ala Kitab at-Tauhid, Syaikh Muhammad bin Soleh al-Utsaimin, Dar Ibnu al-Jauzi 1/156]

Wednesday 19 September 2012

Nabi S.A.W. Tidak Dapat Memberi Hidayah Kecuali Dengan Kehendak Allah s.w.t


Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Sesungguhnya kamu (wahai Muhammad) tidak akan dapat memberi hidayah (petunjuk) kepada orang yang kamu cintai, tetapi Allah lah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.”
(QS. Al-qoshosh, 56)

Diriwayatkan dalam sahih Bukhari, daripada Ibnul Musayyab, bahawa bapanya berkata: "Ketika Abu Tholib dalam keadaan nazak, maka datanglah Rasulullah s.a.w, dan pada saat itu Abdullah bin Abi Umayyah, dan Abu Jahal ada di sisinya, lalu Rasulullah bersabda kepadanya:
 "Wahai bapa saudaraku, ucapkanlah “La Ilaha Illallah” kalimat yang dapat aku jadikan bukti untukmu di hadapan Allah"
 Tetapi Abdullah bin Abi Umayyah dan Abu Jahal berkata kepada Abu Tholib: "Apakah kamu membenci agama Abdul Mutholib?", kemudian Rasulullah mengulangi sabdanya lagi, dan mereka berdua pun mengulangi kata-katanya pula. maka ucapan terahir yang dikatakan oleh Abu Tholib adalah: bahawa dia masih tetap berada dalam agama Abdul Mutholib, dan dia menolak untuk mengucapkan kalimat La ilah illallah, kemudian Rasulullah bersabda: "Aku akan meminta keampunan untukmu pada Allah, selama aku tidak dilarang", lalu Allah menurunkan firmanNya:
 “Tidak layak bagi seorang Nabi serta orang-orang yang beriman meminta keampunan (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik” (QS. Al Bara'ah, 113).

Dan berkaitan dengan Abu Tholib, Allah menurunkan firmanNya:
 “Sesungguhnya kamu (wahai Muhammad) tidak dapat memberikan hidayah (petunjuk) kepada orang-orang yang kamu cintai, tetapi Allahlah yang memberikan petunjuk kepada orang-orang yang dikehendakiNya”
(QS. Al Qoshosh, 57)


Kandungan bab ini:

1-Penjelasan tentang ayat 57 surah Al Qoshosh[49].

2-Penjelasan tentang ayat 113 surah Al Bara'ah[50].

3-Masalah yang sangat penting, iaitu penjelasan tentang sabda Nabi s.a.w.: "Ucapkanlah kalimat La ilaha illallah", berbeza dengan apa yang difahami oleh orang-orang yang mengaku dirinya berilmu[51].

4-Abu Jahal dan kawan-kawannya mengetahui maksud Rasulullah ketika beliau masuk dan berkata kepada bapa saudaranya: "ucapkanlah kalimat La ilaha illallah", oleh kerana itu, tidak beruntunglah sesiapa yang pemahamannya tentang asas utama agama Islam ini lebih rendah daripada Abu Jahal (iaitu orang yang  mengucapkan La ilaha illallah tetapi menyembah yang lain selain Allah seperti menyembah para wali-wali Allah, para nabi dan sebagainya).

5-Kesungguhan Rasulullah s.a.w dalam usahanya untuk mengislamkan bapa saudaranya.

6-Bantahan terhadap orang-orang yang mengatakan bahawa Abdul Mutholib dan nenek moyangnya itu beragama Islam.

7-Permintaan keampunan Rasulullah untuk Abu Tholib tidak dikabulkan, dia tidak diampuni, bahkan baginda s.a.w dilarang meminta keampunan untuknya.

8-Kemudharatan bersahabat dengan orang-orang berfikiran dan berperangai buruk.

9-Bahayanya mengagung-agungkan para nenek moyang dan orang-orang terkemuka.

10-"Nama besar" (seperti Abdul Mutholib) mereka inilah yang dijadikan oleh orang-orang jahiliyah sebagai tolok ukur kebenaran yang mesti dianuti.

11-Hadith di atas mengandungi bukti bahawa amalan seseorang yang diambil kira adalah di akhir hidupnya, kerana jika Abu Tholib mahu mengucapkan kalimat tauhid, maka pasti akan berguna bagi dirinya di hadapan Allah.

12-Perlu direnungkan, betapa beratnya hati orang-orang yang sesat itu untuk menerima tauhid, kerana dianggap sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima oleh akal fikiran mereka, kerana dalam kisah di atas disebutkan bahawa mereka tidak menyerang Abu Tholib, akan tetapi mereka berusaha supaya Abu Tholib menolak untuk mengucapkan kalimat tauhid, padahal Nabi s.a.w. sudah berusaha bersungguh-sungguh, dan berulang kali memintanya untuk mengucapkan kalimat Tauhid. Dan kerana kalimat tauhid itu memiliki makna yang jelas dan kewajipan yang besar, maka cukupah bagi mereka untuk berusaha supaya Abu Tholib menolak untuk mengucapkannya.

_____________________________________

Catatan Kaki:

[48] Bab ini merupakan bukti adanya kewajipan mentauhidkan Allah. Kerana apabila Nabi Muhammad s.a.w. sebagai makhluk termulia dan yang paling tinggi kedudukannya di sisi Allah, tidak dapat memberi hidayah kepada siapapun yang baginda s.a.w inginkan, maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki kerana hidayah hanya datang daripada Allah s.w.t.

[49] Ayat ini menunjukkan bahawa hidayah (petunjuk) untuk masuk Islam itu hanyalah dari Allah sahaja, tidak ada seorangpun yang dapat menjadikan seseorang mengikuti jalan yang lurus ini kecuali dengan kehendakNya dan ayat ini juga mengandungi bantahan terhadap orang-orang yang mempunyai kepercayaan bahawa para nabi dan para wali itu dapat mendatangkan manfaat dan menolak kemudharatan, sehingga diminta daripada mereka untuk memberikan keampunan, menyelamatkan diri dari kesulitan, dan untuk kepentingan kepentingan lainnya.

[50] Ayat ini menunjukkan tentang haramnya meminta keampunan bagi orang-orang musyrik (orang-orang yang mensyirikkan Allah) dan haram pula berwala' (mencintai, memihak dan membela) kepada mereka.

[51] Penjelasannya ialah : diyakini dalam hati, diucapkan dengan lisan, dan diamalkan apa yang menjadi kewajipannya, iaitu : memurnikan ibadah hanya kepada Allah, dan membersihkan diri dari ibadah kepada selain Nya, seperti : malaikat, nabi, wali , kubur, batu, pohon, dan yang lain-lainnya.


Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

Syafaat....


Firman Allah s.w.t (maksudnya):
 “Dan berilah peringatan dengan apa yang telah diwahyukan itu kepada orang-orang yang takut akan dikumpulkan kepada Tuhan mereka (pada hari kiamat), sedang mereka tidak mempunyai seorang pelindung dan pemberi syafaat pun selain Allah, agar mereka bertakwa” (QS. Al an'am, 51).

Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Katakanlah (wahai Muhammad): syafaat itu semuanya hanya milik Allah” (QS. Az zumar, 44).

Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Tidak seorang pun yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izinNya” (QS. Al baqarah, 225).

Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Dan berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka sedikitpun tidak berguna, kecuali sesudah Allah mengiizinkan (untuk diberi syafaat) bagi sesiapa yang dikehendaki dan diredhaiNya” (QS. An najm, 26).

Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Katakanlah: "serulah mereka yang kamu anggap (sebagai tuhan) selain Allah, mereka tidak memiliki kekuasaan seberat zarah pun di langit mahupun di bumi, dan mereka tidak mempunyai suatu saham apapun (bahagian dalam penciptaan dengan Allah) dalam (penciptaan) langit dan bumi, dan Allah tidak mempunyai sebarang pembantu di kalangan mereka. Dan syafaat di sisi Allah tidak berguna, kecuali bagi orang yang telah diizinkanNya memperoleh syafaat itu …” (QS. Saba', 22-23).

Abul Abbas[46] mengatakan: "Allah telah menyangkal semua perkara yang menjadi tumpuan kaum musyrikin, selain diriNya sendiri, dengan menyatakan bahawa tidak ada seorangpun selainNya yang memiliki kekuasaan, atau bahagiannya (bersama Allah), atau menjadi pembantu Allah.

Adapun tentang syafa'at, maka telah ditegaskan oleh Allah bahawa syafaat ini tidak berguna kecuali bagi orang yang telah diizinkan untuk memperolehnya, sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

“Dan mereka tidak dapat memberi syafa'at, kecuali kepada orang yang diredhai Allah” (QS. Al Anbiya', 28).

Syafa'at yang diharapkan oleh orang-orang musyrik itu tidak akan ada pada hari kiamat, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Al Qur'an.

Dan diberitakan oleh Nabi s.a.w.: "bahawa beliau pada hari kiamat akan bersujud kepada Allah dan memberikan segala puji-pujian kepadaNya, beliau tidak terus memberi syafaat terlebih dahulu, setelah itu baru dikatakan kepada baginda s.a.w: "Angkatlah kepalamu, katakanlah nescaya ucapanmu pasti akan didengar, dan mintalah nescaya permintaanmu akan dikabulkan, dan berilah syafa'at nescaya syafa'atmu akan diterima". (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Abu Hurairah r.a. bertanya kepada beliau: "siapakah orang yang paling beruntung mendapatkan syafa'atmu?", Baginda s.a.w menjawab: "iaitu orang yang mengucapkan La Ilaha Illallah dengan ikhlas dari dalam hatinya".
(Hadith Riwayat Bukhari dan Ahmad)

Syafa'at yang ditetapkan ini adalah syafaat untuk orang-orang yang mentauhidkan Allah dengan ikhlas semata-mata kerana Allah dengan izin Allah, bukan untuk orang yang menyekutukan Allah dengan yang lainNya.

Dan pada hakikatnya, bahawa hanya Allah lah yang melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang ikhlas tersebut, dengan memberikan keampunan kepada mereka, dengan sebab doa orang yang telah diizinkan oleh Allah untuk memperoleh syafa'at, untuk memuliakan orang tersebut dan menempatkannya di tempat yang terpuji.

Jadi syafa'at yang dinafikan dalam Al Qur'an didalamnya terdapat kesyirikan. Untuk itu Al Qur'an telah menetapkan dalam beberapa ayatnya bahawa syafaat itu hanya ada dengan izin Allah. Dan Nabi s.a.w pun sudah menjelaskan bahawa syafaat itu hanya diperuntukan untuk orang-orang yang ikhlas semata-mata kerana Allah dan untuk orang yang mentauhidkan Allah"


Kandungan bab ini:

1-Penjelasan tentang ayat-ayat di atas [47].

2-Syafa'at yang dinafikan adalah syafa'at yang didalamnya terdapat unsur-unsur kesyirikan.

3-Syafa'at yang ditetapkan adalah syafa'at untuk orang-orang yang mentauhidkan Allah dengan ikhlas, dan dengan izin Allah.

4-Penjelasan tentang adanya syafa'at kubro, iaitu: Al Maqom Al Mahmud (kedudukan yang terpuji).

5-Cara yang dilakukan oleh Rasulullah ketika hendak mendapatkan syafaat, baginda s.a.w tidak terus memberi syafaat terlebih dahulu, tetapi dengan bersujud kepada Allah, memberikan segala puji-pujian kepadaNya. kemudian setelah diizinkan oleh Allah barulah baginda s.a.w memberi syafaat.

6-Adanya pertanyaan: "siapakah orang yang paling beruntung mendapatkan syafa'at baginda s.a.w?"

7-Syafa'at itu tidak diberikan kepada orang-orang yang mensyirikkan (menyekutukan) Allah.

8-Penjelasan tentang hakikat syafa'at yang sebenarnya.

_____________________________________

Catatan Kaki:

[45] Syafaat telah dijadikan dalil oleh kaum musyrikin untuk memohon kepada malaikat, nabi dan para wali. Kata mereka : "Kami tidak memohon kepada mereka kecuali untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memberikan syafaat kepada kami di sisiNya", maka dalam bab ini diterangkan bahawa syafaat yang mereka harapkan itu tidak mempunyai apa-apa makna, bahkan ianya adalah perkara syirik dan syafaat hanyalah hak Allah semata-mata, tidak ada yang dapat memberi syafaat kecuali dengan izinNya bagi siapa yang mendapat redhaNya.

[46] Taqiyuddin Abul Abbas : Ahmad bin Abdul Halim bin Abdus Salam bin Abdullah An Numairi Al Harrani Ad Dimasqi. Syeikhul Islam, dan tokoh yang gigih sekali menjalankan gerakan dakwah Islamiyah. Dilahirkan di Harran, tahun 661 H (1263 M) dan meninggal dunia di Damaskus pada tahun 728 H (1328 M)

[47] Ayat pertama dan kedua menunjukkan bahawa seluruh syafaat adalah hak khusus bagi Allah.

Ayat ketiga menunjukkan bahawa syafaat tidak diberikan kepada seseorang, tanpa izin dari Allah.

Ayat keempat menunjukkan bahawa syafaat itu diberikan oleh orang yang diredhai Allah dengan izin dariNya. Dengan demikian syafaat itu adalah hak mutlak bagi Allah, tidak dapat diminta kecuali dariNya; dan menunjukkan pula kebatilan syirik yang dilakukan oleh kaum musyrikin dengan mendekatkan diri kepada malaikat, nabi atau orang orang soleh, untuk meminta syafaat mereka.

Ayat kelima mengandungi bantahan terhadap kaum musyrikin yang mana, mereka itu menyeru selain Allah, seperti malaikat dan makhluk-makhluk lainnya, kerana menganggap bahawa makhluk-makhluk boleh mendatangkan manfaat dan menolak kemudharatan dan menunjukkan bahawa syafaat tidak berguna bagi mereka, kerana syirik yang mereka lakukan, tetapi hanya berguna bagi orang yang mentauhidkan (mengesakan) Allah, dan itupun dengan izin Allah.


Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

Malaikat Makhluk Yang Perkasa Sujud Kepada Allah


Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Sehingga apabila dihilangkan rasa takut dari hati mereka (malaikat), mereka berkata: apakah yang telah difirmankan oleh Tuhanmu?, mereka menjawab: perkataan yang benar, dan Dialah yang maha tinggi lagi maha besar”
*(QS. Saba', 23).

Diriwayatkan dalam kitab sahih Imam Bukhari, dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
 "Apabila Allah menetapkan sesuatu perintah diatas langit, para malaikat mengibas-ngibaskan sayapnya, kerana patuh dengan firmanNya, seolah-olah firman yang didengarnya itu bagaikan bunyi rantai besi (yang ditarik) di atas batu rata, hal ini memekakkan mereka (sehingga jatuh pengsan kerana ketakutan), "sehingga apabila telah dihilangkan rasa takut dari hati-hati mereka, mereka berkata: "apakah yang telah difirmankan oleh tuhanmu?" mereka menjawab: " (perkataan) yang benar, dan Dialah yang maha tinggi lagi maha besar", ketika itulah (syaitan-syaitan) pencuri berita mendengarnya, pencuri berita itu sebahagiannya berada diatas sebahagian yang lain - Sufyan bin Uyainah[42] menggambarkan dengan telapak tangannya, dengan direnggangkan dan dibuka jari jemarinya - ketika mereka (pencuri berita) mendengar berita itu, disampaikanlah kepada yang ada dibawahnya, dan seterusnya, sampai ke tukang sihir dan tukang ramal, tetapi kadang-kadang syaitan pencuri berita itu terkena syihab (meteor) sebelum sempat menyampaikan berita itu, dan kadang-kadang sempat menyampaikan berita sebelum terkena syihab, kemudian dengan satu kalimat yang didengarnya itulah tukang sihir dan tukang ramal itu melakukan seratus macam pembohongan, mereka (golongan manusia) mendatangi tukang sihir dan tukang ramal sambil berkata: bukankah dia telah memberi tahu kita bahawa pada hari sekian akan terjadi sekian (dan ianya benar-benar terjadi), sehingga dia percaya dengan kalimat yang didengarnya dari langit"

An - Nawwas bin Sam'an r.a. menuturkan bahawa Rasulullah s.a.w., bersabda:
 "Apabila Allah s.w.t hendak mewahyukan perintahnya, maka Dia firmankan wahyu tersebut, dan langit-langit bergetar dengan kerasnya kerana takut kepada Allah s.w.t., dan ketika para malaikat mendengar firman tersebut mereka pengsan dan bersujud, dan di antara mereka, yang pertama kali bangun adalah Jibril, maka Allah sampaikan wahyu yang Ia kehendakiNya kepadanya, kemudian Jibril melalui para malaikat, setiap kali ia melalui langit maka para penghuninya bertanya kepadanya: "apa yang telah Allah firmankan kepadamu?", Jibril menjawab: "Dia firmankan (tentang perkara) yang benar, dan Dialah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar, dan seluruh malaikat yang ia lalui bertanya kepadanya seperti pertanyaan pertama, demikianlah sehingga Jibril menyampaikan wahyu tersebut sesuai dengan yang telah diperintahkan oleh Allah s.w.t kepadanya."


Kandungan bab ini:

1-Penjelasan tentang ayat yang telah disebutkan di atas[43].

2-Ayat tersebut mengandungi bukti-bukti yang menguatkan kebatilan syirik, khususnya yang berkaitan dengan orang-orang soleh, dan ayat itu juga memutuskan akar-akar pohon syirik yang ada dalam hati seseorang.

3-Penjelasan tentang firman Allah: "mereka menjawab: "(perkataan) yang benar" dan Dialah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar. [44]"

4-Menerangkan tentang sebab pertanyaan para malaikat tentang wahyu yang difirmankan Allah.

5-Jibril kemudian menjawab pertanyaan mereka dengan perkataan: "Dia firmankan (tentang perkara) yang benar …"

6-Menyebutkan bahawa malaikat yang pertama kali mengangkat kepalanya adalah Jibril.

7-Jibril memberikan jawapan tersebut kepada seluruh malaikat penghuni langit, kerana mereka bertanya kepadanya.

8-Para malaikat penghuni langit jatuh pengsan ketika mendengar firman Allah.

9-Langit bergetar keras ketika mendengar firman Allah itu.

10-Jibril adalah malaikat yang menyampaikan wahyu mengikut apa yang telah diperintahkan Allah kepadanya.

11-Hadith di atas menyebutkan tentang adanya syaitan-syaitan yang mencuri berita dari langit.

12-Cara mereka mencuri berita, sebahagian mereka naik di atas sebahagian yang lain.

13-Syihab (meteor) dihantar untuk menembak jatuh syaitan-syaitan yang mencuri dengar berita dari langit.

14-Adakalanya syaitan pencuri berita itu terkena syihab sebelum sempat menyampaikan berita yang didengarnya, dan adakalanya sudah sempat menyampaikan berita ke telinga manusia yang menjadi hamba abdinya sebelum terkena syihab.

15-Adakalanya ramalan tukang ramal itu benar.

16-Dengan berita yang diterimanya dia (tukang ramal) melakukan seratus macam kebohongan.

17-Pembohongannya tidak akan dipercayai kecuali kerana adanya berita dari langit (melalui syaitan yang mencuri-curi dengar berita).

18-Kecenderungan manusia untuk menerima sesuatu kebatilan, bagaimana mereka boleh bersandar hanya kepada satu kebenaran saja yang diucapkan oleh tukang ramal, tanpa mengira atau mempertimbangkan seratus kebohongan yang disampaikannya.

19-Satu kebenaran tersebut tersebar luas dari mulut ke mulut dan diingatinya, lalu dijadikan sebagai bukti bahawa apa yang dikatakan oleh tukang ramal itu benar.

20-Menetapkan sifat-sifat Allah (seperti yang terkandung dalam hadith di atas), berbeza dengan fahaman Asy'ariyah yang mengingkarinya.

21-Penjelasan bahawa bergetarnya langit dan pengsannya para malaikat disebabkan kerana rasa takut mereka kepada Allah s.w.t

22-Para malaikat pun tunduk sujud kepada Allah.

_____________________________________

Catatan Kaki:

[41] Bab ini menjelaskan bukti lain yang menunjukkan kebatilan syirik dan hanya Allah yang berhak dengan segala jenis ibadah. Kerana apabila para malaikat, sebagai makhluk yang sangat perkasa dan paling kuat, tunduk sujud di hadapan Allah yang Maha tinggi dan Maha besar ketika mendengar firmanNya, maka tidak ada yang berhak dengan ibadah, puji-pujian, sanjungan dan pengagungan kecuali Allah.

[42] Sufyan bin Uyainah bin Maimun Al Hilali, salah seorang periwayat hadith ini.

[43] Ayat ini menerangkan keadaan para malaikat, yang mana mereka adalah makhluk Allah yang paling kuat dan amat perkasa yang disembah oleh orang-orang musyrik. Apabila keadaan mereka demikian, dan rasa takut mereka kepada Allah ketika Allah berfirman, maka apakah mereka layak dijadikan sembahan selain Allah? tentu tidak layak, dan makhluk lain selain mereka lebih tidak layak lagi.

[44] Firman Allah ini menunjukkan: bahawa Kalamullah bukanlah makhluk (ciptaan), kerana mereka berkata :
"Apakah yang telah difirmankan oleh Tuhanmu?", menunjukkan pula bahawa Allah Maha Tinggi di atas seluruh makhlukNya, dan Maha Besar yang kebesaranNya tidak dapat dijangkau oleh akal fikiran.


Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)