Saturday, 13 October 2012

Menisbahkan Turunnya Hujan Kepada Bintang


Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Dan kalian membalas rezeki (yang telah dikurniakan Allah) kepadamu dengan mengatakan perkataan yang tidak benar”
(QS. Al Waqi'ah, 82).

Diriwayatkan dari Abu Malik Al Asy'ari r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Empat perkara yang terdapat pada umatku yang termasuk dalam perbuatan jahiliah yang sukar untuk ditinggalkan: membangga-banggakan kebesaran kaum kerabatnya, mencela keturunan, mengaitkan turunnya hujan kepada bintang tertentu, dan meratapi orang mati",
lalu baginda bersabda: "wanita yang meratapi kematian apabila dia mati sebelum sempat bertaubat maka dia akan dibangkitkan pada hari kiamat dan dia akan dipakaikan dengan pakaian yang berlumuran dengan cairan tembaga, serta baju besi yang bercampur dengan penyakit gatal"
(Hadith Riwayat Muslim)

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Zaid bin Khalid r.a. dia berkata: Rasulullah s.a.w. mengimami kami pada solat subuh di Hudaibiyah setelah turun hujan semalaman, ketika selesai melaksanakan solat, baginda menghadap jemaah dan bersabda:

"Tahukah kalian apakah yang difirmankan oleh Tuhan kalian pada kalian?", mereka menjawab: "Allah dan RasulNya yang lebih tahu",

baginda terus bersabda: "Dia berfirman: "pagi ini ada diantara hamba-hambaku yang beriman dan ada pula yang kafir, adapun orang yang mengatakan: hujan turun berkat kurniaan dan rahmat Allah, maka dia telah beriman kepadaKu dan kafir kepada bintang (tidak mempercayai bintang), sedangkan orang yang mengatakan: hujan turun kerana bintang ini dan bintang itu, maka dia telah kafir kepadaKu dan beriman kepada bintang (mempercayai bintang)".

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadith dari Ibnu Abbas r.a. maksudnya yang antara lain disebutkan demikian:
"… ada di antara mereka berkata: 'sungguh, telah benar bintang ini, atau bintang itu', sehingga Allah menurunkan firmanNya:

“Maka aku bersumpah dengan tempat-tempat peredaran bintang” sehingga sampai kepada firmanNya: “Dan kamu membalas rezeki (yang telah dikurniakan Allah) kepadamu dengan perkataan yang tidak benar” [71].


Kandungan bab ini:

1-Penjelasan tentang maksud ayat dalam surah Al Waqi'ah[72].

2-Disebutkan adanya empat perkara yang termasuk dalam perbuatan jahiliah.

3-Salah satu diantaranya termasuk perbuatan kufur (iaitu menisbahkan turunnya hujan kepada bintang tertentu).

4-Ada di antara kufur yang tidak mengeluarkan seseorang dari Islam.

5-Di antara dalilnya adalah firman Allah yang disabdakan oleh Nabi dalam hadith qudsinya: "Pagi ini, di antara hamba-hambaKu ada yang beriman kepadaKu dan ada pula yang kafir …" disebabkan turunnya nikmat hujan.

6-Perlunya kefahaman yang mendalam tentang iman dalam hal tersebut.

7-Begitu juga tentang kufur dalam hal tersebut.

8-Di antara pengertian kufur, adalah ucapan salah seorang dari mereka: "sungguh telah benar bintang ini atau bintang itu."

9-Kaedah pengajaran kepada orang yang tidak memahami masalah dengan melontarkan sesuatu pertanyaan, seperti sabda baginda: "tahukah kalian apa yang difirmankan oleh Tuhan kalian kepada kalian?".

10-Ancaman bagi wanita yang meratapi kematian.

_____________________________________

Catatan Kaki:

[71] Surat Al Waqi'ah, ayat 75 - 82

[72] Dalam ayat ini Allah mencela orang-orang musyrik atas kekafiran mereka terhadap nikmat yang dikurniakan Allah dengan menisbahkan turunnya hujan kepada bintang ; dan Allah menyatakan bahawa perkatan ini dusta dan tidak benar, kerana turunnya hujan adalah kurniaan dan rahmat dariNya



Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)


Permasalahan Horoskop


Imam Bukhari meriwayatkan dalam kitab sahihnya dari Qotadah r.a. bahawa dia berkata:
"Allah menciptakan bintang-bintang ini untuk tiga perkara: sebagai hiasan langit, sebagai alat pelempar syaitan, dan sebagai tanda untuk petunjuk (arah dan sebagainya). Maka barang siapa yang berpendapat selain hal tersebut maka dia telah melakukan kesalahan, dan mensia-siakan nasibnya, serta membebani dirinya dengan hal yang diluar batas pengetahuannya"

Sementara mempelajari ilmu mengenai arah bintang (buruj), Qotadah mengatakan makruh, sedang Ibnu Uyainah tidak membolehkan, seperti yang diungkapkan oleh Harb dari mereka berdua. Tetapi Imam Ahmad membolehkan hal tersebut [69].

Abu Musa r.a. menuturkan: Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tiga orang yang tidak akan masuk syurga: peminum arak, orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan, dan orang yang mempercayai sihir[70]"
(Hadith Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban dalam kitab sahihnya).


Kandungan bab ini:

1-Hikmah diciptakan bintang-bintang.

2-Sanggahan terhadap orang yang mempunyai anggapan adanya fungsi lain mengenai bintang-bintang tersebut.

3-Adanya perbezaan pendapat dikalangan ulama tentang hukum mempelajari ilmu mengenai arah bintang (buruj).

4-Ancaman bagi orang yang mempercayai sihir (di antara jenisnya adalah horoskop), meskipun dia mengetahui kebatilannya.

_____________________________________

Catatan Kaki:

[69] Maksudnya, mempelajari arah matahari, bulan dan bintang, untuk mengetahui arah kiblat, waktu solat dan sebagainya, maka hal itu dibolehkan.

[70] Mempercayai sihir yang di antara jenisnya adalah ilmu nujum (astrologi), sebagaimana yang telah dinyatakan dalam suatu hadith : "barang siapa yang mempelajari sebahagian dari ilmu nujum, maka sesungguhnya dia telah mempelajari sebahagian dari ilmu sihir…" lihat bab jenis-jenis sihir.



Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

Mengenai Anggapan Bernasib Sial


Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Ketahuilah, sesungguhnya perkara sial (yang berlaku pada) mereka itu adalah ketetapan dari Allah, akan tetapi mereka tidak mengetahui”  (QS. Al A'raf, 131)

Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Mereka (para Rasul) berkata: "perkara sial (yang berlaku pada) kalian itu adalah kerana kalian sendiri, adakah kamu diberi peringatan (bahawa kamu bernasib sial)? sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas.”
(QS. Yasin, 19).

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidak ada 'Adwa, Thiyarah, Hamah, Sofar"
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim), dan dalam riwayat Imam Muslim terdapat tambahan: "dan tidak ada Nau', serta ghaul." [68].

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan pula dari Anas bin Malik r.a, dia berkata: Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Tidak ada 'Adwa dan tidak ada Thiyarah, tetapi Fa'l menyenangkan diriku", para sahabat bertanya: "apakah Fa'l itu?" baginda menjawab: "iaitu kata-kata yang baik"

Abu Daud meriwayatkan dengan sanad yang sahih, dari Uqbah bin Amir, dia berkata: "Thiyarah disebut-sebut di hadapan Rasulullah s.a.w., maka baginda pun bersabda:
"Yang paling baik adalah Fa'l, dan Thiyarah tidak boleh menggagalkan seseorang muslim dari niatnya, apabila salah seorang di antara kamu melihat sesuatu yang tidak diinginkannya, maka hendaknya berdo'a: "Ya Allah, tiada yang dapat mendatangkan kebaikan kecuali Engkau, dan tiada yang dapat menolak kejahatan kecuali Engkau, dan tidak ada daya serta kekuatan kecuali atas pertolonganMu".

Abu Daud meriwayatkan hadith yang marfu' dari Ibnu Mas'ud r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Thiyarah perbuatan syirik, thiyarah perbuatan syirik, tidak ada seorang pun dari antara kita kecuali (telah terjadi dalam hatinya sesuatu dari hal ini), hanya saja Allah s.w.t. boleh menghilangkannya dengan tawakkal kepadaNya".(Hadith Riwayat Abu Daud)

Hadith ini diriwayatkan juga oleh At Tarmizi dan dinyatakan sahih, dan perkataan terakhir dia jadikan sebagai ucapan Ibnu Mas'ud)

Imam Ahmad meriwayatkan hadith dari Ibnu Umar r.a., bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Barang siapa yang mengurungkan hajatnya kerana thiyarah ini, maka dia telah melakukan perkara syirik", para sahabat bertanya: "lalu apa yang boleh menebusnya?", Rasulullah s.a.w. menjawab: " hendaknya dia berdoa: "ya Allah, tiada kebaikan kecuali kebaikan dariMu, dan tiada kesialan kecuali kesialan dariMu, dan tiada sembahan kecuali Engkau"

Dan dalam riwayat yang lain dari Fadl bin Abbas, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesugguhnya Thiyarah itu boleh menjadikan kamu terus melangkah, atau yang boleh mengurungkan niat (dari tujuan kamu)"


Kandungan bab ini:

1-Penjelasan tentang kedua ayat tersebut di atas, surah Al A'raf 131, dan Yasin 19.

2-Pernyataan bahawa tidak ada 'Adwa .

3-Pernyataan bahawa tidak ada thiyarah.

4-Pernyataan bahawa tidak ada hamah.

5-Pernyataan bahawa tidak ada sofar.

6-Al Fa'l tidak termasuk yang dilarang oleh Rasulullah, bahkan digalakkan.

7-Penjelasan tentang makna Al Fa'l.

8-Apabila terjadi tathoyyur dalam hati seseorang, tetapi dia tidak menginginkannya, maka hal itu tidak apa-apa baginya, bahkan Allah s.w.t akan menghilangkannya dengan tawakkal kepadaNya.

9-Penjelasan tentang doa yang dibacanya, saat seseorang menjumpai hal tersebut.

10-Ditegaskan bahawa thiyaroh termasuk perkara syirik.

11-Penjelasan tentang thiyarah yang tercela dan terlarang.

_____________________________________

Catatan Kaki:

[68] Adwa : penjangkitan atau penularan penyakit. Maksud sabda Nabi di sini ialah untuk menolak anggapan mereka ketika masih hidup pada zaman jahiliyah, bahawa penyakit berjangkit atau menular dengan sendirinya, tanpa kehendak dan takdir Allah s.w.t.. Anggapan inilah yang ditolak oleh Rasulullah s.a.w, bukan adanya jangkitan atau penularan; sebab, dalam riwayat lain, setelah hadith ini, disebutkan : "… dan jauhilah orang yang terkena penyakit kusta sebagaimana kamu menjauhi singa."
(Hadith Riwayat Bukhari).

Ini menunjukkan bahawa jangkitan atau penularan penyakit dengan sendirinya tidak ada, tetapi semuanya atas kehendak dan takdir Ilahi, namun sebagai muslim, di samping beriman kepada takdir tersebut haruslah berusaha melakukan tindakan selanjutnya sebelum terjadi penularan sebagaimana usaha menjauhi diri dari terkaman singa. Inilah hakikat beriman kepada takdir Ilahi.

Thiyarah : merasa bernasib sial atau meramal nasib buruk kerana melihat burung, binatang lainnya, atau apa saja.

Hamah : burung hantu. Orang-orang jahiliyah merasa bernasib sial dengan melihatnya, apabila ada burung hantu hinggap di atas rumah salah seorang diantara mereka, dia merasa bahawa burung ini membawa berita kematian tentang dirinya sendiri, atau salah satu anggota keluarganya. Dan maksud baginda s.a.w adalah untuk menolak anggapan yang tidak benar ini. Bagi seseorang muslim, anggapan seperti ini seharusnya tidak berlaku, semuanya adalah dari Allah dan sudah ditetapkan olehNya.

Safar : bulan kedua dalam tahun hijriyah, iaitu bulan sesudah Muharram. Orang-orang jahiliyah beranggapan bahawa bulan ini membawa nasib sial atau tidak menguntungkan yang dinyatakan tidak ada oleh Rasulullah. Dan termasuk dalam anggapan seperti ini : merasa bahawa hari rabu mendatangkan sial, dan lain lain. Hal ini termasuk dalam jenis thiyarah, dilarang dalam Islam.

Nau' : bintang; erti asalnya adalah : tenggelam atau terbitnya suatu bintang. Orang-orang jahiliyah menisbahkan turunnya hujan kepada bintang ini, atau bintang itu. Maka Islam datang mengikis anggapan seperti ini, bahawa tidak ada hujan turun kerana suatu bintang tertentu, tetapi semua itu adalah ketentuan dari Allah s.w.t..

Ghaul : hantu, salah satu makhluk jenis jin. Mereka beranggapan bahawa hantu ini dengan perubahan bentuk mahupun warnanya dapat menyesatkan seseorang dan mencelakakannya. Sedangkan maksud sabda Nabi di sini bukanlah tidak mengakui kewujudan makhluk seperti ini, tetapi menolak anggapan mereka yang tidak baik tersebut yang mengakibatkan takut kepada selain Allah, serta tidak bertawakkal kepadaNya, inilah yang ditolak oleh baginda s.a.w. Untuk itu dalam hadith lain baginda s.a.w bersabda : "Apabila hantu cuba untuk manakut-nakuti kamu, maka serukanlah azan."
Ertinya : tolaklah kejahatannya itu dengan berzikir dan mengingati Allah. Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Al Musnad.


Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

Monday, 8 October 2012

Tentang Nusyrah


Diriwayatkan dari Jabir r.a, bahawa Rasulullah s.a.w ketika ditanya tentang Nusyrah, baginda s.a.w menjawab:
"Hal itu termasuk perbuatan syaitan"
(Hadith Riwayat Ahmad dengan sanad yang baik, dan Abu Daud)

Imam Ahmad ketika ditanya tentang nusyrah, menjawab: "Ibnu Mas'ud membenci semua itu"

Diriwayatkan dalam sahih Bukhari, bahawa Qotadah mengatakan: Aku bertanya kepada Said bin Musayyab: "Seseorang yang terkena sihir, sehingga tidak boleh menggauli isterinya, bolehkah dia diubati dengan menggunakan Nusyrah?", dia menjawab:
"Tidak mengapa, kerana yang mereka inginkan hanyalah sesuatu kebaikan untuk menolak kemudharatan, sedangkan sesuatu yang bermanfaat itu tidaklah dilarang."

Diriwayatkan daripada Al Hasan r.a dia berkata: "tidak ada yang dapat melepaskan pengaruh sihir kecuali tukang sihir"

Ibnu Qoyyim menjelaskan: "Nusyrah adalah penyembuhan terhadap seseorang yang terkena sihir. Ada dua cara iaitu:

Pertama: dengan menggunakan sihir juga, dan ini termasuk dalam perbuatan syaitan. Dan pendapat Al Hasan diatas termasuk dalam kategori ini, kerana orang yang menyembuhkan dan orang yang disembuhkan mendekati syaitan dengan apa yang diinginkannya, sehingga dengan demikian perbuatan syaitan itu gagal memberi kesan terhadap orang yang terkena sihir itu.

Kedua: Penyembuhan dengan menggunakan Ruqyah dan ayat-ayat yang mengandungi permintaan perlindungan kepada Allah s.w.t, melalui ubat-ubatan dan melalui doa-doa yang dibolehkan. Cara ini hukumnya dibolehkan.


Kandungan bab ini:

1-Larangan Nusyrah (penyembuhan terhadap seseorang yang terkena sihir dengan menggunakan sihir juga).

2-Perbezaan antara Nusyrah yang dilarang dan yang dibolehkan. Dengan demikian masalah di atas menjadi jelas.



Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

Dukun, Tukang Ramal Dan Yang Sejenis Dengannya


Diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya, daripada salah seorang isteri Nabi s.a.w., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barang siapa yang mendatangi tukang ramal dan bertanya kepadanya tentang sesuatu perkara dan dia mempercayainya, maka solatnya tidak diterima selama 40 hari".

Abu Daud meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barang siapa yang mendatangi seorang dukun, dan mempercayai apa yang dikatakannya, maka sesungguhnya dia telah kafir (ingkar) terhadap wahyu yang telah diturunkan kepada Muhammad s.a.w." (Hadith Riwayat Abu Daud).

Dan diriwayatkan oleh empat periwayat[66]   dan Al Hakim dengan menyatakan: "Hadis ini sahih menurut kriteria Imam Bukhari dan Muslim" daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barang siapa yang mendatangi tukang ramal atau dukun, lalu mempercayai apa yang diucapkannya, maka sesunggunya dia telah kafir terhadap wahyu yang telah diturunkan terhadap Muhammad s.a.w"

Abu Ya'la meriwayatkan pula hadith mauquf dari Ibnu Mas'ud seperti yang tersebut di atas, dengan sanad Jayyid.

Al Bazzar dengan sanad Jayyid meriwayatkan hadith marfu' dari Imran bin Husain, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidak termasuk dalam golongan kami orang yang meminta dan melakukan Tathoyyur, meramal atau minta diramal, menyihir atau minta disihirkan, dan barang siapa yang mendatangi dukun lalu mempercayai apa yang diucapkannya, maka sesungguhnya dia telah kafir terhadap wahyu yang telah diturunkan kepada Muhammad s.a.w..

Hadith ini diriwayatkan pula oleh At Thabrani dalam Mu'jam Al Ausath dengan sanad hasan dari Ibnu Abbas tanpa menyebutkan kalimat: "dan barang siapa mendatangi …"

Imam Al Baghowi[67] berkata: "Al Arraf (tukang ramal) ialah orang yang mendakwa dirinya mengetahui banyak perkara dengan menggunakan isyarat-isyarat yang digunakan untuk mengetahui barang curi atau tempat barang yang hilang dan yang semacam dengannya. Ada pula yang mengatakan: Dia adalah Al Kahin (dukun) iaitu: orang yang boleh memberitahu tentang perkara-perkara yang ghaib yang akan terjadi pada masa yang akan datang. Dan ada pula yang mengatakan: Dia adalah orang yang boleh memberitahu tentang apa yang ada di hati seseorang".

Menurut Abul Abbas : "Al Arraf adalah sebutan untuk dukun, ahli nujum, tukang tilik dan yang sejenis dengannya yang mendakwa dirinya boleh mengetahui perkara-perkara ghaib dengan cara-cara tersebut."

Ibnu Abbas berkata tentang orang-orang yang menulis huruf-huruf  sambil mencari rahsia huruf, dan memerhati bintang-bintang: "Aku tidak tahu adakah orang yang melakukan hal itu akan memperoleh ganjaran di sisi Allah".


Kandungan bab ini:

1-Beriman kepada Al Qur'an dan percaya kepada tukang ramal, dukun dan sejenis dengannya tidak akan dapat dihimpun bersama-sama dalam diri seorang mukmin.

2-Pernyataan Rasul s.a.w bahawa mempercayai ucapan dukun adalah kufur.

3-Ancaman bagi orang yang minta diramalkan.

4-Ancaman bagi orang yang minta ditathoyyur kan.

5-Ancaman bagi orang yang minta disihirkan.

6-Ancaman bagi orang yang menulis huruf-huruf  [untuk mencari petanda sesuatu rahsia].

7-Perbezaan antara Kahin dan Arraf, [bahawa kahin (dukun) ialah orang yang memberitahu tentang perkara-perkara yang akan terjadi pada masa akan datang yang diperolehi daripada syaitan pencuri berita di langit].

_____________________________________

Catatan Kaki:

[66] Iaitu : Abu Daud, At Tarmizi, An Nasai' dan Ibnu Majah.

[67] Abu Muhammad Al Husain bin Mas'ud bin Muhammad Al Farra', atau Ibn Farra' Al- Baghawi. Kitab kitab yang disusunnya antara lain : syarh as sunnah, al jami' baina assahihain. Lahir pada tahun 436 H (1044 M), dan meninggal pada tahun 510 H (1117 M).


Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

Sunday, 7 October 2012

Jenis-jenis Sihir


Imam Ahmad meriwayatkan: telah diceritakan kepada kami oleh Muhammad bin Ja'far dari Auf dari Hayyan bin 'Ala' dari Qathan bin Qubaishah dari bapanya, bahawa dia telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Iyafah, Tharq dan Thiyarah adalah termasuk Jibt"

Auf menafsirkan hadith ini dengan mengatakan:

Iyafah adalah meramal nasib seseorang dengan menerbangkan burung.

Tharq adalah meramal nasib seseorang dengan membuat garis di atas tanah.

Jibt adalah sebagaimana yang telah dikatakan oleh Hasan: suara syaitan. (hadith dengan sanad jayyid).

Dan diriwayatkan pula oleh Abu Daud, An Nasa'i, dan Ibnu Hibban dalam sahihnya dengan hanya menyebutkan lafaz hadith dari Qabishah, tanpa menyebutkan tafsirannya.

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barang siapa yang mempelajari sebahagian dari ilmu nujum (perbintangan) sesungguhnya dia telah mempelajari sebahagian ilmu sihir. semakin bertambah (dia mempelajari ilmu nujum) semakin bertambah pula (dosanya)"
(Hadith Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).

An-Nasai meriwayatkan hadith dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barang siapa yang membuat suatu ikatan, kemudian meniupnya (sebagaimana yang dilakukan oleh tukang sihir) maka dia telah melakukan sihir, dan barang siapa yang melakukan sihir maka dia telah melakukan perkara syirik, dan barang siapa yang menggantungkan sesuatu benda (azimat) pada dirinya, maka Allah akan menjadikannya sentiasa bergantung pada benda itu".

Dari Ibnu Mas'ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Mahukah aku beritakan kepada kalian apakah Adh-h itu?, Ia adalah perbuatan mengadu domba, iaitu banyak mengumpat dan menghasut  antara manusia" (Hadith Riwayat Muslim).

Dan ibnu Umar r.a. menuturkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya di antara susunan kata yang indah itu terdapat kekuatan sihir." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)


Kandungan bab ini:

1-Di antara jenis sihir (Jibt) adalah iyafah, thorq dan thiyarah.

2-Penjelasan tentang makna iyafah, thorq dan thiyarah.

3-Ilmu nujum (perbintangan) termasuk salah satu jenis sihir.

4-Membuat simpulan ikatan kemudian ditiup padanya termasuk sihir.

5-Mengadu domba termasuk perbuatan sihir.

6-Keindahan susunan kata [yang membuat kebatilan seolah-olah nampak seperti kebenaran dan kebenaran seolah-olah nampak seperti kebatilan] juga termasuk perbuatan sihir.



Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

Hukum Sihir


Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Demi Allah, sesungguhnya orang-orang Yahudi itu telah meyakini bahawa barang siapa yang menukar (kitab Allah) dengan sihir, maka tidak akan mendapatkan bahagian (keuntungan) di akhirat”
(QS. Al Baqarah, 102).

Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Dan mereka beriman kepada Jibt dan Thoghut” (QS. An nisa', 51).

Menurut tafsiran Umar bin Khothob r.a.: Jibt adalah sihir, sedangkan Thoghut adalah syaitan.

Manakala Jabir r.a. berkata: Thoghut adalah para tukang ramal yang didatangi syaitan; yang ada pada setiap kabilah.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Jauhilah tujuh perkara yang membawa kehancuran !, para sahabat bertanya: "Apakah tujuh perkara itu, ya Rasulullah?",
baginda menjawab: " iaitu syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan sebab yang dibenarkan oleh agama, makan riba, makan harta anak yatim, membelot dalam peperangan, menuduh zina terhadap wanita yang terjaga dirinya dari perbuatan dosa dan tidak memikirkan untuk melakukan dosa, dan beriman kepada Allah" (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan dari Jundub bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis marfu':
"Hukuman bagi tukang sihir adalah dipenggal lehernya dengan pedang"
(Hadith Riwayat Imam Tarmizi, dan ia berkata: pendapat yang benar ini adalah perkataan sahabat).

Dalam sahih Bukhari, dari Bajalah bin Abdah, dia berkata:
"Umar bin AlKhattab telah mewajibkan untuk membunuh setiap tukang sihir, baik laki-laki mahupun perempuan, maka kami telah membunuh tiga tukang sihir."

Dan dalam sahih Bukhari juga, Hafsah, ra. telah memerintahkan untuk membunuh hamba perempuannya yang telah menyihirnya, maka hamba perempuannya pun dibunuh, dan begitu juga riwayat yang sahih dari Jundub.

Imam Ahmad berkata: "diriwayatkan dalam hadis sahih, bahawa hukuman mati terhadap tukang sihir ini telah dilakukan oleh tiga orang sahabat Nabi (Umar, Hafsah dan Jundub).


Kandungan bab ini:

1-Penjelasan tentang ayat yang terdapat dalam surah Al Baqarah[64].

2-Penjelasan tentang ayat yang terdapat dalam surah An Nisa'[65].

3-Penjelasan tentang makna Jibt dan Thoghut, serta perbezaan antara keduanya.

4-Thoghut itu boleh terdiri dari kalangan Jin, dan boleh juga terdiri dari kalangan manusia.

5-Mengetahui tujuh perkara yang boleh menyebabkan kehancuran, yang dilarang secara husus oleh Nabi s.a.w.

6-Tukang sihir itu kafir.

7-Tukang sihir itu dihukum mati tanpa diminta agar bertaubat terlebih dahulu.

8-Jika perbuatan sihir itu telah ada dikalangan kaum muslimin pada zaman Umar r.a, bagaimana pula pada zaman selepasnya?.

_____________________________________

Catatan Kaki:

[63] Al Mukhtar bin Abu Ubaid bin Mas'ud Ats Tsaqafi. Termasuk tokoh yang memberontak terhadap kekuasaan Bani Umayyah dan menonjolkan kecintaan kepada Ahlul bait. Mengaku bahawa dia adalah nabi dan menerima wahyu. Di bunuh oleh Mush'ab bin Az Zubair pada tahun 67 H. (687 M).

[64] Ayat pertama menunjukkan bahawa sihir haram hukumnya, dan pelakunya kafir, disamping mengandungi ancaman berat bagi orang yang berpaling dari kitab Allah, dan mengamalkan amalan yang tidak bersumber darinya.

[65] Ayat kedua menunjukkan bahawa ada di antara umat ini yang beriman kepada sihir (Jibt), sebagaimana ahli kitab beriman kepadanya, kerana Rasulullah s.a.w. telah menegaskan bahawa akan ada di antara umat ini yang mengikuti (dan meniru) umat-umat sebelumnya.



Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)