Monday, 8 October 2012

Dukun, Tukang Ramal Dan Yang Sejenis Dengannya


Diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya, daripada salah seorang isteri Nabi s.a.w., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barang siapa yang mendatangi tukang ramal dan bertanya kepadanya tentang sesuatu perkara dan dia mempercayainya, maka solatnya tidak diterima selama 40 hari".

Abu Daud meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barang siapa yang mendatangi seorang dukun, dan mempercayai apa yang dikatakannya, maka sesungguhnya dia telah kafir (ingkar) terhadap wahyu yang telah diturunkan kepada Muhammad s.a.w." (Hadith Riwayat Abu Daud).

Dan diriwayatkan oleh empat periwayat[66]   dan Al Hakim dengan menyatakan: "Hadis ini sahih menurut kriteria Imam Bukhari dan Muslim" daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barang siapa yang mendatangi tukang ramal atau dukun, lalu mempercayai apa yang diucapkannya, maka sesunggunya dia telah kafir terhadap wahyu yang telah diturunkan terhadap Muhammad s.a.w"

Abu Ya'la meriwayatkan pula hadith mauquf dari Ibnu Mas'ud seperti yang tersebut di atas, dengan sanad Jayyid.

Al Bazzar dengan sanad Jayyid meriwayatkan hadith marfu' dari Imran bin Husain, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidak termasuk dalam golongan kami orang yang meminta dan melakukan Tathoyyur, meramal atau minta diramal, menyihir atau minta disihirkan, dan barang siapa yang mendatangi dukun lalu mempercayai apa yang diucapkannya, maka sesungguhnya dia telah kafir terhadap wahyu yang telah diturunkan kepada Muhammad s.a.w..

Hadith ini diriwayatkan pula oleh At Thabrani dalam Mu'jam Al Ausath dengan sanad hasan dari Ibnu Abbas tanpa menyebutkan kalimat: "dan barang siapa mendatangi …"

Imam Al Baghowi[67] berkata: "Al Arraf (tukang ramal) ialah orang yang mendakwa dirinya mengetahui banyak perkara dengan menggunakan isyarat-isyarat yang digunakan untuk mengetahui barang curi atau tempat barang yang hilang dan yang semacam dengannya. Ada pula yang mengatakan: Dia adalah Al Kahin (dukun) iaitu: orang yang boleh memberitahu tentang perkara-perkara yang ghaib yang akan terjadi pada masa yang akan datang. Dan ada pula yang mengatakan: Dia adalah orang yang boleh memberitahu tentang apa yang ada di hati seseorang".

Menurut Abul Abbas : "Al Arraf adalah sebutan untuk dukun, ahli nujum, tukang tilik dan yang sejenis dengannya yang mendakwa dirinya boleh mengetahui perkara-perkara ghaib dengan cara-cara tersebut."

Ibnu Abbas berkata tentang orang-orang yang menulis huruf-huruf  sambil mencari rahsia huruf, dan memerhati bintang-bintang: "Aku tidak tahu adakah orang yang melakukan hal itu akan memperoleh ganjaran di sisi Allah".


Kandungan bab ini:

1-Beriman kepada Al Qur'an dan percaya kepada tukang ramal, dukun dan sejenis dengannya tidak akan dapat dihimpun bersama-sama dalam diri seorang mukmin.

2-Pernyataan Rasul s.a.w bahawa mempercayai ucapan dukun adalah kufur.

3-Ancaman bagi orang yang minta diramalkan.

4-Ancaman bagi orang yang minta ditathoyyur kan.

5-Ancaman bagi orang yang minta disihirkan.

6-Ancaman bagi orang yang menulis huruf-huruf  [untuk mencari petanda sesuatu rahsia].

7-Perbezaan antara Kahin dan Arraf, [bahawa kahin (dukun) ialah orang yang memberitahu tentang perkara-perkara yang akan terjadi pada masa akan datang yang diperolehi daripada syaitan pencuri berita di langit].

_____________________________________

Catatan Kaki:

[66] Iaitu : Abu Daud, At Tarmizi, An Nasai' dan Ibnu Majah.

[67] Abu Muhammad Al Husain bin Mas'ud bin Muhammad Al Farra', atau Ibn Farra' Al- Baghawi. Kitab kitab yang disusunnya antara lain : syarh as sunnah, al jami' baina assahihain. Lahir pada tahun 436 H (1044 M), dan meninggal pada tahun 510 H (1117 M).


Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

No comments:

Post a Comment