Saturday, 6 October 2012

Akan Ada Sebahagian Umat Ini Yang Menyembah Berhala


Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Tidakkah kamu memerhatikan orang-orang yang diberi bahagian daripada kitab (Taurat)?, mereka beriman kepada Jibt dan Thoghut[59], dan mengatakan kepada orang-orang kafir (musyrikin Mekkah), bahawa mereka itu lebih benar jalannya daripada orang-orang yang beriman”
(QS. An nisa', 51).

Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Katakanlah: " mahukah aku beritakan kepadamu tentang orang-orang yang lebih buruk balasannya (orang-orang fasik) dihadapan Allah, iaitu orang-orang yang dilaknati dan dimurkai, dan diantara mereka ada yang pernah dijadikan kera dan babi, dan orang-orang yang menyembah Thoghut”
(QS. Al maidah, 60).

Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“…Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka berkata: "sebenarnya kami hendak mendirikan sebuah masjid di sisi gua mereka".” (QS. Al kahfi, 21).

Dari Abu Said r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya kalian akan mengikuti (meniru) tradisi umat-umat sebelum kalian selangkah demi selangkah sehingga jika mereka masuk ke dalam liang biawak sekalipun, nescaya kalian akan masuk ke dalamnya pula.", para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, orang-orang yahudi dan Nasranikah?", baginda s.a.w. menjawab: "siapa lagi?"
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).

Imam Muslim meriwayatkan dari Tsauban r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya Allah telah membentangkan bumi kepadaku, sehingga aku dapat melihat belahan timur dan barat, dan sesungguh kekuasaan umatku akan sampai pada belahan bumi yang telah dibentangkan kepadaku itu, dan aku diberi dua simpanan yang berharga; merah dan putih (empayar Parsi dan Rom), dan aku meminta kepada Tuhanku agar umatku tidak dibinasakan dengan sebab kebuluran (kemarau) yang berpanjangan, dan jangan dikuasai musuh selain dari kaum mereka sendiri, sehingga musuh itu nanti akan merampas seluruh negeri mereka.

Lalu Allah berfirman: "Wahai Muhammad, jika aku telah menetapkan suatu perkara, maka ketetapan itu tidak akan  berubah, dan sesungguhnya Aku telah memberikan kepadamu agar umatmu tidak dibinasakan dengan sebab kemarau yang berpanjangan, dan tidak akan dikuasai oleh musuh selain daripada kaum mereka sendiri, maka musuh itu tidak akan dapat merampas seluruh negeri mereka, meskipun manusia yang ada di seluruh alam ini berkumpul menghadapi mereka, sehingga umatmu itu sendiri, sebahagian mereka menghancurkan sebahagian yang lain, dan sebahagian meraka menawan sebahagian yang lain."

Hadith ini diriwayatkan pula oleh Al barqoni dalam sahihnya dengan tambahan:

"Dan yang aku khuatirkan terhadap umatku tiada lain adalah adanya pemimpin yang menyesatkan, dan ketika terjadi pertumpahan darah di antara mereka, ianya tidak akan berakhir sehingga datangnya hari kiamat, dan hari kiamat tidak akan berlaku kecuali ada di antara umatku yang mengikuti orang musyrik, dan sebahagian lain yang menyembah berhala, dan sungguh akan ada pada umatku 30 orang pendusta, yang mengaku sebagai Nabi, padahal aku adalah penutup para Nabi, tidak ada Nabi lain setelah aku, meskipun demikian, akan tetap ada segolongan dari umatku yang tetap tegak membela kebenaran, dan mereka selalu mendapat pertolongan Allah taala, mereka tidak gentar dengan orang-orang yang tidak membantu mereka dan memusuhi mereka, sehingga datang ketetapan Allah s.w.t"


Kandungan dalam bab ini:

1-Penjelasan tentang ayat yang terdapat dalam surah An Nisa'[60].

2-Penjelasan tentang ayat yang terdapat dalam surah Al Maidah[61].

3-Penjelasan tentang ayat yang terdapat dalam surah Al Kahfi[62].

4-Masalah yang sangat penting sekali, iaitu pengertian tentang beriman terhadap Jibt dan thoghut, adakah sekadar mempercayainya dalam hati, atau mengikuti orang-orangnya, sekalipun membenci hal-hal tersebut dan mengetahui kebatilannya?.

5-[sebagai buktinya], apa yang dikatakan oleh Ahli kitab kepada orang-orang kafir (kaum Musyrikin Makkah) bahawa jalan mereka lebih benar daripada orang-orang yang beriman.

6-Iman kepada Jibt dan Thaghut pasti akan terjadi di kalangan umat ini (umat Islam), sebagaimana yang ditetapkan dalam hadith Abu Said. Dan inilah yang dimaksudkan dalam bab ini.

6-Pernyataan Rasulullah s.a.w. bahawa akan terjadi penyembahan berhala daripada kalangan umat ini.

7-Satu hal yang amat menghairankan adalah menculnya orang yang mendakwa dirinya sebagai Nabi, seperti Al Mukhtar bin Abu Ubaid Ats tsaqafi[63]; padahal dia mengucapkan dua kalimah syahadah, dan menyatakan bahawa dirinya termasuk dalam umat Muhammad, dan dia meyakini bahawa Rasulullah itu benar dan Al Qur'an juga benar, yang didalamnya diterangkan bahawa Muhammad adalah penutup para Nabi. Walaupun demikian dia dipercayai ramai orang, meskipun adanya perbezaan yang jelas sekali. Dia hidup pada akhir zaman sahabat dan diikuti oleh ramai orang.

8-Rasulullah s.a.w. menyampaikan khabar gembira bahawa al haq (kebenaran Allah dan ajaranNya) tidak akan dapat dilenyapkan sama sekali, sebagaimana yang terjadi pada masa lalu, akan sentiasa ada sekelompok orang yang berpegang teguh dan membela kebenaran.

9-Bukti kukuh adalah: mereka walaupun sedikit jumlahnya, tetapi tidak akan goyah oleh orang-orang yang tidak membantu dan menentang mereka.

10-Keadaan seperti ini akan berlangsung sehingga hari kiamat.

11-Bukti-bukti akan kenabian Muhammad s.a.w. yang terkandung dalam hadith ini adalah:

-Pemberitahuan baginda s.a.w bahawa Allah telah membentangkan kepadanya belahan bumi sebelah barat dan timur, dan menjelaskan makna dari hal itu; kemudian terjadi seperti yang baginda s.a.w beritakan, berlainan halnya dengan belahan selatan dan utara.

-Pemberitahuan baginda s.a.w bahawa baginda s.a.w diberi dua simpanan yang berharga.

-Pemberitahuan baginda s.a.w bahawa do'anya untuk umatnya dikabulkan dalam dua hal, sedangkan hal yang ketiga tidak dikabulkan.

-Pemberitahuan baginda s.a.w bahawa akan terjadi pertumpahan darah di antara umatnya, dan jika terjadi tidak akan berakhir sehingga hari kiamat.

-Pemberitahuan baginda s.a.w bahawa sebahagian umat ini akan menghancurkan sebahagian yang lain, dan sebahagian mereka menawan sebahagian yang lain.

-Pemberitahuan baginda s.a.w tentang munculnya orang-orang yang mendakwa dirinya sebagai Nabi untuk umat ini.

-Pemberitahuan baginda s.a.w bahawa akan tetap ada sekelompok manusia dari umat ini yang tegak membela kebenaran, dan mendapat pertolongan Allah.

Dan itu semua benar-benar telah terjadi seperti yang telah diberitakan, padahal semua yang diberitakan itu di luar jangkauan akal manusia.

12-Apa yang baginda s.a.w khuatirkan terhadap umatnya hanyalah munculnya para pemimpin yang menyesatkan.

13-Perlu adanya perhatian terhadap makna penyembahan berhala.

_____________________________________

Catatan Kaki:

[59] Terdapat bebarapa tafsiran dari kalangan salaf, tentang makna Jibt, antara lain : berhala, sihir, ahli sihir, tukang ramal, Huyai bin Akhthob dan Ka'ab bin Al Asyraf (kedua orang ini adalah tokoh orang-orang yahudi pada zaman Rasulullah s.a.w.). Dengan demikian, pengertian umum mencakupi makna semua ini, sebagaimana yang dikatakan oleh Al Jauhari dalam As Sihah : "Jibt adalah kata-kata yang dapat digunakan untuk berhala, tukang ramal, tukang sihir dan sejenis dengannya .."

Demikian halnya dengan kata-kata thoghut, terdapat beberapa tafsiran, yang menunjukkan pengertian umum. Antara lain : syaitan, syaitan dalam diri manusia, berhala, tukang ramal, Ka'ab Al Asyraf.

Ibnu Jarir Ath Thobari, dalam menafsirkan ayat ini, setelah menyebutkan beberapa penafsiran ulama salaf, mengatakan : " … Jibt dan thoghut ialah dua sebutan untuk setiap yang diagungkan dengan disembah selain Allah, atau ditaati, atau dipatuhi; baik yang diagungkan itu berupa batu, manusia ataupun syaitan.

[60] Ayat ini menunjukkan bahawa apabila orang-orang yang diturunkan kepada mereka Al Kitab beriman kepada Jibt dan Thoghut, maka tidak mustahil dan tidak dapat disangkal lagi bahawa umat ini yang telah diturunkan kepadanya Al Qur'an akan melakukan perkara yang sama seperti yang mereka lakukan, kerana Rasulullah s.a.w. telah memberitahu bahawasanya akan ada di di antara umat ini yang melakukan perkara yang sama seperti apa yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani.

[61] Ayat ini menunjukkan bahawa akan terjadi di kalangan umat ini penyembahan thaghut, sebagaimana telah terjadi penyembahan thaghut di kalangan ahli kitab.

[62] Ayat ini menunjukkan bahawa ada di antara umat ini yang mendirikan tempat untuk beribadah di atas atau di sekitar kubur, sebagaimana yang telah dilakukan oleh orang-orang sebelum mereka.


Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

No comments:

Post a Comment