Tuesday, 18 September 2012

Ibadah hanya hak milik Allah


Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Apakah mereka menyekutukan (Allah) dengan berhala- berhala yang tidak dapat menciptakan sesuatu apapun? sedangkan berhala-berhala itu dicipta oleh mereka, dan berhala-berhala itu tidak mampu memberi pertolongan kepada penyembah-penyembahnya dan tidak juga dapat menolong diri mereka sendiri.”
*(QS. Al A'raf, 191-192).

Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Dan sembahan-sembahan yang kamu mohon selain Allah, tidak memiliki apa-apa walaupun setipis selaput biji kurma. Jika kamu memohon kepada mereka, mereka tidak akan mendengar seruanmu itu dan kalaulah mereka mendengar, mereka tidak dapat memperkenankan permintaanmu, dan pada hari kiamat mereka akan mengingkari perbuatan syirik kamu itu, dan tidak ada yang dapat memberitahu padamu (apa yang sebenarnya yang berlaku) sebagaimana yang diberikan oleh yang Maha Mengetahui.”
*(QS. Fathir 13-14).

Diriwayatkan dalam sahih (Bukhari dan Muslim) dari Anas bin Malik r.a., dia berkata:
 “Ketika perang uhud Rasulullah s.a.w mendapat luka di kepalanya, dan giginya pecah, maka baginda s.a.w bersabda:
"Bagaimana sesuatu kaum yang melukai Nabinya akan beruntung?" kemudian turunlah ayat: "Engkau tidak berhak apapun dalam urusan mereka (orang kafir) itu (QS. Ali Imran 128)."

Dan diriwayatkan dalam sahih Bukhari Ibnu Umar r.a. bahawa dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda ketika beliau berdiri dari ruku' pada rakaat yang terahir dalam solat subuh:
"Ya Allah, laknatilah si fulan dan sifulan", setelah baginda s.a.w mengucapkan semua itu: , turunlah firman Allah: "Engkau tidak berhak apapun dalam urusan mereka (orang kafir) itu"

Dalam riwayat yang lain: "Beliau mendoakan semoga Sofwan bin Umayah, Suhail bin Amr, dan Al Harith bin Hisyam dijauhkan dari rahmat Allah", maka turunlah ayat:
 "Engkau tidak berhak apapun dalam urusan mereka (orang kafir) itu"

Diriwayatkan pula dalam sahih Bukhari dari Abu Hurairah r.a. dia berkata: "ketika diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. firman Allah s.w.t:
 “Dan berilah peringatan kepada keluargamu yang terdekat” (QS. Asy Syu'ara,214)

Baginda s.a.w pun berdiri dan bersabda: "Wahai orang-orang quraisy, tebuslah diri kamu semua (dari siksa Allah dengan memurnikan ibadah kepadaNya). aku tidak dapat berbuat apa-apa untuk kamu semua sedikit pun di hadapan Allah. Wahai Abbas bin Abdul Muthalib, aku tidak dapat berbuat apa-apa untukmu sedikitpun di hadapan Allah, wahai Sofiyah, aku tidak dapat berbuat apa-apa untukmu sedikitpun di hadapan Allah kelak, wahai Fatimah binti Muhammad (puteri Rasulullah s.a.w), mintalah kepadaku apa saja yang kamu mahukan, tetapi aku tidak dapat berbuat apa-apa untukmu sedikitpun dihadapan Allah nanti".


Kandungan bab ini:

1-Penjelasan tentang kedua-dua ayat tersebut di atas[39].

2-Kisah perang uhud.

3-Rasulullah, pemimpin para rasul, telah membaca qunut dalam solat subuh, dan para sahabat yang berada dibelakangnya mengaminkan.

4-Orang orang yang baginda s.a.w doakan dengan doa, semoga Allah menjauhkan rahmatNya dari mereka adalah orang-orang kafir.

5-Mereka (orang-orang kafir musyrikin mekah) telah melakukan perbuatan yang tidak dilakukan oleh kebanyakan orang-orang kafir yang lain, antaranya ialah melukai kepala Rasulullah s.a.w, dan cuba untuk membunuh baginda s.a.w, dan mengoyak-ngoyak tubuh para syuhada yang terkorban, padahal yang terkorban itu adalah dari kalangan kaum keluarga mereka.

6-Berdasarkan peristiwa itulah Allah s.w.t menurunkan firmanNya: "Engkau tidak berhak apapun dalam urusan mereka (orang kafir) itu (QS. Ali Imran 128)"

7-Allah berfirman: “Atau Allah akan menerima taubat mereka, atau Allah akan menyeksa mereka”
(QS. Ali Imran, 128).
 Kemudian Allah menerima taubat mereka, dengan masuknya mereka ke dalam agama Islam, dan menjadi orang orang yang beriman.

8-Digalakkan melakukan qunut nazilah, iaitu: qunut yang dilakukan ketika umat Islam dalam keadaan mara bahaya.

9-Menyebut nama-nama mereka beserta dengan nama orang tua mereka ketika didoakan supaya dilaknat di dalam solat, tidak membatalkan solat.

10-Boleh melaknat orang kafir tertentu di dalam qunut.

11-Kisah Rasulullah s.a.w ketika diturunkan kepada beliau firman Allah "Dan berilah peringatan kepada keluargamu yang terdekat".

12-Kesungguhan Rasulullah s.a.w. dalam hal ini, sehingga baginda s.a.w melakukan sesutu yang menyebabkan dirinya dituduh gila, begitu jugalah halnya apabila dilakukan oleh orang mukmin pada masa sekarang.

13-Rasulullah s.a.w mengingatkan kepada keluarganya yang paling jauh kemudian yang terdekat dengan sabdanya: "aku tidak dapat berbuat apa-apa untukmu sedikitpun di hadapan Allah nanti" sehinggalah baginda s.a.w bersabda: "wahai Fatimah binti Muhammad (puteri Rasulullah s.a.w), mintalah kepadaku apa saja yang kamu mahukan, tetapi aku tidak dapat berbuat untukmu sedikitpun di hadapan Allah nanti".

Jika baginda s.a.w, sebagai pemimpin para rasul telah berterus terang tidak dapat membela puterinya sendiri iaitu pemimpin kaum wanita sekalian alam ini, dan jika orang mengimani bahawa apa yang beliau katakan itu benar, kemudian jika dia memerhatikan apa yang terjadi pada diri kaum khowash[40] ketika ini, maka akan jelaslah baginya bahawa tauhid ini sudah ditinggalkan, dan petunjuk agama sudah menjadi asing.

_____________________________________

Catatan Kaki:

[39] Kedua-dua ayat tersebut menunjukkan kebatilan syirik bermula dari dasarnya, kerana makhluk yang lemah ini, yang tidak mempunyai apa-apa kekuasaan, tidak dapat dijadikan sebagai sandaran sama sekali dan menunjukkan bahawa Allah lah yang berhak dengan segala jenis ibadah yang dilakukan manusia.

[40] Kaum Khowash ialah : orang-orang tertentu yang dirujuk dalam masalah agama, dan merasa bahawa dirinya patut diikuti, disegani dan diminta berkah doanya.


Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

Berdoa Kepada Selain Allah Adalah Syirik


Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Dan janganlah kamu memohon/berdo'a kepada selain Allah, yang tidak dapat memberikan manfaat dan tidak pula dapat mendatangkan bahaya kepadamu, jika kamu melakukan hal itu maka sesungguhnya kamu termasuk di kalangan orang-orang yang zalim (orang-orang musyrik)”
*(QS. Yunus, 106).

Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Dan jika Allah menimpakan kepadamu sesuatu bahaya, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah mengkehendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurniaNya. Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha penyayang”
*(QS. Yunus, 107).

Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Sesungguhnya mereka yang kamu sembah selain Allah itu tidak mampu memberikan rezeki kepadamu, maka mintalah rezeki itu pada Allah dan sembahlah Dia (sahaja) serta bersyurkurlah kepadaNya. Hanya kepada Nya lah kamu sekalian dikembalikan.”
*(QS. Al Ankabut, 17).

Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Dan tiada yang lebih sesat dari pada orang yang memohon kepada sembahan-sembahan lain selain Allah, yang tidak dapat mengabulkan permohonannya sehingga ke hari kiamat dan sembahan-sembahan itu lalai dari (memerhatikan) permohonan mereka. Dan apabila menusia dikumpulan (pada hari kiamat) nescaya sembahan-sembahan itu menjadi musuh mereka dan mengingkari pemujaan mereka.”
*(QS. Al Ankabut, 5-6).

Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Atau siapakah yang mengabulkan (doa) orang-orang yang dalam kesulitan ketika dia berdoa kepadaNya, dan yang menghilangkan kesusahan, dan yang menjadikan kamu sekalian khalifah di bumi? adakah sesembahan (yang berhak disembah) selain Allah? amat sedikit yang mengingat(Nya).”
*(QS. An Naml, 62).

Imam AtThabrani dengan menyebutkan sanadnya meriwayatkan bahawa:
"Pada zaman Rasulullah s.a.w. pernah ada seorang munafik yang selalu menyakiti orang-orang mukmin, maka salah seorang di antara orang-orang mukmin berkata: "marilah kita bersama-sama memohon perlindungan kepada Rasulullah s.a.w supaya dihindari dari tindakan buruk orang munafik ini",
ketika itu Rasulullah s.a.w. menjawab:
 "sesungguhnya aku tidak boleh dimintai perlindungan, hanya Allah sajalah yang boleh dimintai perlindungan".


Kandungan bab ini:

1-Istighotsah itu pengertiannya lebih khusus dari pada berdoa[33].

2-Penjelasan tentang ayat yang pertama[34].

3-Meminta perlindungan kepada selain Allah adalah syirik besar.

4-Orang yang paling soleh sekalipun jika melakukan perbuatan ini untuk mengambil hati orang lain, maka dia termasuk golongan orang-orang yang zalim (orang-orang musyrik).

5-Penjelasan tentang ayat yang kedua[35].

6-Meminta perlindungan kepada selain Allah tidak dapat mendatangkan manfaat duniawi, bahkan perbuatan itu adalah termasuk dalam perbuatan kafir.

7-Penjelasan tentang ayat yang ketiga[36].

8-Meminta rezeki hanya kepada Allah, sebagaimana meminta syurga.

9-Penjelasan tentang ayat yang keempat[37].

10-Tidak ada orang yang lebih sesat dari pada orang yang memohon kepada sembahan selain Allah.

11-Sembahan selain Allah tidak akan dapat merasa dan tidak akan tahu jika ada orang yang memohon kepadanya.

12-Sembahan selain Allah akan benci dan marah kepada orang yang memohon kepadanya pada hari kiamat.

13-Permohonan ini dianggap ibadah kepada sembahan selain Allah.

14-Pada hari kiamat sembahan-sembahan selain Allah itu akan mengingkari ibadah yang mereka lakukan.

15-Permohonan kepada selain Allah inilah yang menyebabkan seseorang menjadi orang yang berada dalam kesesatan.

16-Penjelasan tentang ayat yang kelima[38].

17-Satu hal yang sangat menghairankan adalah adanya pengakuan daripada para penyembah berhala bahawa tidak ada yang dapat mengabulkan permohonan sesiapa yang berada dalam kesulitan kecuali Allah. Oleh itu, ketika mereka berada dalam keadaan sulit dan terdesak, mereka memohon kepadaNya dengan ikhlas dan memurnikan ketaatan untukNya.

18-Hadith di atas menunjukan tindakan tegas yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w untuk melindungi tauhid (kepada Allah), dan adab baginda s.a.w kepada Allah.

_____________________________________

Catatan Kaki:

[33] Istighotsah ialah : meminta pertolongan ketika dalam kesulitan dan dalam keadaan terdesak supaya dibebaskan dari kesulitan itu.

[34] Ayat pertama menunjukkan bahawa dilarang memohon kepada selain Allah, kerana yang selain dari Allah tidak dapat memberikan manfaat dan tidak pula dapat mendatangkan bahaya kepada seseorang.

[35] Ayat kedua menunjukkan bahawa Allahlah yang berhak dengan segala ibadah yang dilakukan manusia, seperti doa, istighotsah dan sebagainya. Kerana hanya Allah yang Maha Kuasa, jika Allah menimpakan sesuatu bahaya kepada seseorang, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya melainkan Allah, dan jika Allah menghendaki sesuatu kebaikan untuk seseorang, maka tidak ada yang dapat menolak kurniaanNya. Tidak ada seorangpun yang menghalangi kehendakNya.

[36] Ayat ketiga menunjukkan bahawa ibadah yang kita lakukan dan rasa syukur kita hanya layak untuk Allah s.w.t, dan hanya kepadaNya seharusnya kita meminta rezeki, kerana selain daripada Allah tidak mampu memberikan kita rezeki.

[37] Ayat keempat menunjukkan bahawa doa (permohonan) adalah ibadah. Kerana itu, barang siapa yang menyelewengkannya kepada selain Allah, maka dia adalah seorang musyrik (seorang yang mensyirikkan Allah).

[38] Ayat kelima menunjukkan bahawa istighotsah (mohon pertolonan) kepada selain Allah (kerana tidak ada yang berkuasa kecuali Dia) adalah bathil dan termasuk dalam perkara syirik.


Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

Meminta Perlindungan Kepada Selain Allah Adalah Syirik


Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Bahawa ada beberapa orang lelaki dari kalangan manusia yang meminta perlindungan kepada beberapa lelaki dari kalangan jin, maka jin-jin itu (yang diminta pertolongan daripadanya) hanya menambah dosa dan kesalahan”
*(QS. Al jin: 6).

Khaulah binti Hakim menuturkan: aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barang siapa yang singgah di sesuatu tempat, lalu dia berdo'a:
“aku berlindung dengan kalam Allah yang maha sempurna, dari kejahatan semua mahluk yang Dia ciptakan” maka tidak ada sesuatu pun yang membahayakan dirinya sehinggalah dia berganjak dari tempatnya itu"
(Hadith Riwayat Muslim).


Kandungan bab ini:

1-Penjelasan tentang maksud ayat yang ada dalam surah Al Jin[32].

2-Meminta perlindungan kepada selain Allah adalah syirik.

3-Hadith tersebut di atas, sebagaimana disimpulkan oleh para ulama, merupakan dalil bahawa kalam Allah itu bukan makhluk, kerana minta perlindungan kepada makhluk itu syirik.

4-Keutamaan doa ini walaupun ianya sangat ringkas.

5-Sesuatu yang boleh mendatangkan kebaikan dunia, walaupun dengan menolak kejahatan atau mendatangkan kebaikan tidak bererti sesuatu itu tidak termasuk dalam perkara syirik.

_____________________________________

Catatan Kaki:

[32] Dalam ayat ini Allah s.w.t memberitakan bahawa ada di kalangan manusia yang meminta perlindungan dari kalangan jin agar merasa aman dari apa yang mereka risaukan, akan tetapi jin itu hanya menambah dosa dan rasa risau mereka, kerana mereka tidak meminta perlindungan daripada Allah. Dengan demikian, ayat ini menunjukkan bahawa isti'adzah (meminta perlindungan) kepada selain Allah adalah termasuk dalam perkara syirik dan ianya dilarang.



Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

Sunday, 16 September 2012

Bernazar Untuk Selain Allah Adalah Syirik



Firman Allah s.w.t (maksudnya):

“Mereka menunaikan nazar dan takut dengan azabnya yang akan tersebar di mana-mana.”

*(QS. Al insan, 7)


Firman Allah s.w.t (maksudnya):

“Dan apapun yang kamu semua nafkahkan, dan apapun yang kamu semua nazarkan, sesungguhnya Allah mengetahuinya”

*(QS. Al baqarah, 270).


Diriwayatkan dalam sahih Bukhari dari Aisyah ra. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

 "Siapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka dia wajib mentaatinya, dan barang siapa yang bernazar untuk bermaksiat kepada Allah maka dia tidak boleh bermaksiat kepadaNya (dengan melaksanakan nazarnya tersebut). "



Kandungan bab ini:


1-Menunaikan nazar adalah wajib.


2-Apabila sudah menjadi ketetapan bahawa nazar itu ibadah kepada Allah, maka memalingkannya kepada selain Allah adalah syirik.


3-Dilarang melaksanakan nazar maksiat (nazar untuk bermaksiat)



Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)



Menyembelih Binatang Kerana Allah Dilarang Dilakukan Di Tempat Penyembelihan Yang Bukan Kerana Allah



Firman Allah s.w.t.:

 “Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sejak dahulu. Mereka bersumpah: "kami tidak mahukan apa-apa melainkan kebaikan." Dan Allah menjadikan saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya) Janganlah kamu dirikan solat di masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (masjid quba), sejak hari pertama adalah lebih patut untuk kamu lakukan solat di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang mensucikan diri.”

*(QS. At taubah, 107 -108)


Tsabit bin Dhohhak r.a. berkata:

 "Ada seseorang yang bernazar akan menyembelih unta di Buwanah[30], lalu dia bertanya kepada Rasulullah s.a.w., maka Nabi bertanya: "apakah di tempat itu ada berhala-berhala yang pernah disembah oleh orang-orang jahiliyah?”

para sahabat menjawab: tidak,

dan Nabipun bertanya lagi: "apakah di tempat itu pernah diraikan hari perayaan mereka?”

para sahabatpun menjawab: tidak,

maka Nabipun menjawab: "laksanakan nazarmu itu, kerana nazar itu tidak boleh dilaksanakan jika ada dalam (nazar tersebut untuk) bermaksiat kepada Allah, dan dalam hal (nazar tersebut)  yang tidak dimiliki oleh seseorang"

(HR. Abu Daud, dan Isnadnya menurut syarat Imam Bukhari dan Muslim).



Kandungan bab ini:


1-Penjelasan tentang firman Allah s.w.t, “Janganlah kamu dirikan solat di masjid itu selama-lamanya” [31].


2-Kemaksiatan itu boleh mendatangkan kesan di muka bumi dan begitu juga ketaatan.


3-Masalah yang meragukan hendaklah dikembalikan kepada masalah yang sudah jelas, agar keraguan itu menjadi hilang.


4-Dibolehkan bagi seorang mufti untuk mengajukan pertanyaan-pertanyaan sebelum berfatwa untuk mendapatkan keterangan yang jelas.


5-Mengkhususkan tempat untuk bernazar tidak dilarang selama mana tempat itu bebas dari hal-hal yang terlarang.


6-Tidak dibolehkan mengkhususkan tempat, jika di tempat itu ada berhala-berhala yang pernah disembah pada masa jahiliyah, walaupun semuanya sudah dihilangkan.


7-Tidak dibolehkan mengkhususkan tempat untuk bernazar, jika tempat itu pernah digunakan untuk melakukan perayaan orang-orang jahiliyah, walaupun hal itu sudah tidak dilakukan lagi.


8-Tidak dibolehkan melakukan nazar di tempat-tempat tersebut, kerana nazar tersebut termasuk dalam kategori nazar maksiat.


9-Harus dihindari perbuatan-perbuatan yang menyerupai perbuatan orang-orang musyrik dalam acara-acara keagamaan dan perayaan-perayaan mereka, walaupun tidak bermaksud demikian.


10-Tidak boleh bernazar untuk melaksanakan kemaksiatan.


11-Tidak boleh seseorang bernazar dalam hal yang tidak menjadi hak miliknya.


_____________________________________


Catatan Kaki:


[30] Buwanah : nama tempat di sebelah selatan kota Makkah.


[31] Ayat ini menunjukkan bahawa menyembelih binatang dengan niat kerana Allah dilarang dilakukan di tempat yang digunakan oleh orang-orang musyrik untuk menyembelih binatang, sebagaimana solat dengan niat kerana Allah dilarang dilakukan di masjid yang didirikan atas dasar maksiat kepada Allah.


Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)


Menyembelih Binatang Bukan Kerana Allah



Firman Allah s.w.t (maksudnya):

“Katakanlah, sesungguhnya solatku, sembelihanku, hidupku dan matiku semata-mata hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam, tiada sekutu bagiNya, begitulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama berserah diri (kepada Allah)”

*(QS. Al An'am, 162-163).


Firman Allah s.w.t (maksudnya):

“Maka dirikanlah solat untuk Tuhanmu, dan sembelihlah korban (untukNya)”

*(QS. Al Kautsar, 2)


Ali bin Abi Tholib r.a. berkata:

"Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku tentang empat perkara:

 "Allah melaknat orang-orang yang menyembelih binatang bukan kerana Allah, Allah melaknat orang-orang yang melaknat kedua orang tuanya, Allah melaknat orang-orang yang melindungi orang yang melakukan kejahatan, dan Allah melaknat orang-orang yang mengubah tanda batas tanah" (Hadith Riwayat Muslim)


Thoriq bin Syihab r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

 "Ada seseorang yang masuk syurga kerana seekor lalat, dan ada seorang lagi yang masuk neraka kerana seekor lalat,

para sahabat bertanya: bagaimana itu boleh terjadi ya Rasulullah?

Rasulullah s.a.w menjawab: "ada dua orang yang berjalan melalui sekelompok manusia yang memiliki berhala, yang mana tidak boleh seorang pun melintasinya kecuali dengan mempersembahkan (menyembelih) binatang untuknya (untuk berhala tersebut) terlebih dahulu, maka mereka berkata kepada salah seorang diantara kedua orang tadi: persembahkanlah sesuatu untuknya, dia menjawab: saya tidak mempunyai apapun yang akan saya persembahkan untuknya, mereka berkata lagi: persembahkan untuknya walaupun dengan seekor lalat, maka dia pun mempersembahkan untuknya seekor lalat, lalu mereka melepaskannya untuk meneruskan perjalanannya, dan diapun masuk kedalam neraka kerananya. Kemudian mereka berkata lagi pada yang seorang lagi: persembahkanlah untuknya sesuatu, dia menjawab: aku tidak akan mempersembahkan sesuatu apapun untuk selain Allah, maka mereka pun memenggal lehernya, dan dia pun masuk ke dalam syurga"

(Hadith Riwayat Ahmad).



Kandungan bab ini:


1-Penjelasan tentang makna ayat “Katakanlah, sesungguhnya solatku, sembelihanku”


2-Penjelasan tentang makna ayat “Maka dirikanlah solat untuk Tuhanmu, dan sembelihlah korban(untukNya)”  


3-Orang yang pertama kali dilaknat oleh Allah berdasarkan hadith di atas adalah orang yang menyembelih untuk selain Allah.


4-Dilaknat orang yang melaknat kedua orang tuanya. Hal itu juga boleh terjadi jika dia melaknat kedua orang tua orang lain, lalu orang tersebut membalas dengan melaknat kedua orang tuanya juga.


5-Dilaknat orang yang melindungi sesiapa yang melakukan kejahatan, iaitu orang yang memberikan perlindungan kepada seseorang yang melakukan kejahatan yang wajib ditegakkkan kepadanya hukum Allah.


6-Dilaknat juga sesiapa yang mengubah tanda batas tanah, iaitu mengubah tanda yang membezakan antara hak milik seseorang dengan hak milik jirannya, dengan dimajukan ke hadapan atau diletakkan ke belakang.


7-Terdapat perbezaan antara melaknat orang tertentu dengan melaknat orang-orang yang melakukan maksiat secara umum.


8-Terdapat kisah yang penting dalam hadith ini, iaitu kisah seekor lalat.


9-Masuknya seseorang ke dalam neraka disebabkan kerana mempersembahkan seekor lalat yang dia tidak sengaja lakukan, tetapi dia melakukan perkara tersebut untuk melepaskan diri dari perbuatan jahat para pemuja berhala itu.


10-Pengetahuan tentang kadar kemusyrikan yang ada dalam hati seorang yang beriman, bagaimana dia tabah dalam menghadapi hukuman mati dan tidak memenuhi permintaan mereka, padahal mereka tidak meminta kecuali hanya amalan lahiriyah saja.


11-Orang yang masuk neraka dalam hadith ini adalah orang Islam, kerana jika dia seorang kafir, maka Rasulullah s.a.w. tidak akan bersabda: " … masuk neraka kerana seekor lalat ..."


12-Hadith ini merupakan salah satu bukti bagi hadith sahih yang berbunyi: "Syurga itu lebih dekat kepada seseorang daripada tali sandalnya sendiri, dan neraka juga demikian"


14-Mengetahui bahawa amalan hati adalah tolok ukur yang sangat penting, walaupun bagi para pemuja berhala.



Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)




Saturday, 15 September 2012

Mengharapkan Berkah Dari Pepohonan, Bebatuan Atau Yang Sejenisnya



Firman Allah s.w.t (maksudnya):

(setelah kamu semua- Wahai kaum musyrikin Mekah - mendengar keterangan yang membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah) maka Adakah kamu nampak bahawa "Al-Laat" dan "Al-Uzza" [19]

serta "Manaat" yang ketiga [27], (yang bertaraf rendah lagi hina itu layak disembah dan dianggap sebagai anak-anak perempuan Allah)? [20]

Patutkah kamu membahagi untuk diri kamu sendiri anak lelaki (yang kamu sukai), dan untuk Allah anak perempuan (yang kamu benci)? [21]

pembahagian yang demikian, sudah tentu satu pembahagian yang tidak adil. [22]

benda-benda yang kamu sembah itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan datuk nenek kamu namakannya. Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. mereka yang berbuat demikian, tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan-sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsunya. padahal sesungguhnya telah datang kepada mereka petunjuk dari Tuhan mereka. [23]

*(QS. An najm, 19 - 23)


Abi Waqid Al Laitsi mengatakan:

 "Kami keluar bersama Rasulullah s.a.w menuju Hunain, sedangkan kami baru sahaja bebas dari kekafiran (masuk Islam), pada ketika itu orang-orang musyrikin memiliki sebatang pohon bidara yang dikenali sebagai dzatu anwath, mereka selalu mendatanginya dan menggantungkan senjata-senjata perang mereka pada pohon tersebut, ketika kami melalui pohon bidara tersebut, kami berkata: "ya Rasulullah, buatkanlah untuk kami dzatu anwath sebagaimana mereka memilikinya".

Maka Rasulullah s.a.w. menjawab: "Allahu Akbar, itulah tradisi (kebiasaan orang-orang sebelum kamu semua) demi Allah yang jiwaku berada di tanganNya, kamu semua telah mangatakan sesuatu seperti yang pernah dikatakan oleh Bani Israel kepada Musa: "buatkanlah untuk kami sembahan sebagaimana mereka memiliki sembahan, Musa menjawab: sesungguhnya kamu semua adalah kaum yang tidak mengetahui (tidak memahami)" [Surah AlA’raf:138] kamu semua pasti akan mengikuti tradisi-tradisi (kebiasaan) orang-orang sebelum kamu semua." (HR. AtTarmizi, dan dinyatakan sahih olehnya)



Kandungan dalam bab ini:


1-Penjelasan tentang ayat yang terdapat dalam surah An najm[28].


2-Mengetahui bentuk permintaan mereka[29].


3-Mereka belum melakukan apa yang mereka minta.


4-Mereka melakukan itu semua untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah, kerana mereka beranggapan bahawa Allah menyukai perbuatan itu.


5-Apabila mereka tidak mengetahui hal ini, maka yang lain selain mereka adalah lebih jahil dari mereka (tidak mengetahui).


6-Mereka memiliki kebaikan-kebaikan dan jaminan keampunan yang tidak dimiliki oleh orang-orang selain mereka.


7-Nabi Muhammad s.a.w. tidak menerima permintaan mereka, bahkan menyanggahnya dengan bersabda: "Allahu Akbar, itulah tradisi (kebiasaan orang-orang sebelum kamu semua) demi Allah yang jiwaku berada di tanganNya, kamu semua telah mangatakan sesuatu seperti yang pernah dikatakan oleh Bani Israel kepada Musa: "buatkanlah untuk kami sembahan sebagaimana mereka memiliki sembahan, Musa menjawab: sesungguhnya kamu semua adalah kaum yang tidak mengetahui (faham)" kamu semua pasti akan mengikuti tradisi orang orang sebelum kalian". Baginda s.a.w bersikap keras terhadap permintaan mereka itu dengan ketiga-tiga perkataan ini.


8-Satu hal yang sangat penting adalah pemberitahuan Rasulullah s.a.w. bahawa permintaan mereka itu adalah seperti permintaan Bani Israel kepada Nabi Musa a.s: "buatkanlah untuk kami sembahan sebagaimana mereka memiliki sembahan…"

9-Pengingkaran terhadap hal tersebut adalah termasuk diantara pengertian “La Ilaha Illallah” yang sebenarnya, yang belum difahami oleh mereka yang baru memeluk Islam.


10-Rasulullah s.a.w. menggunakan sumpah dalam menyampaikan petunjuknya, dan beliau tidak berbuat demikian kecuali untuk suatu kepentingan.


11-Syirik itu ada syirik yang besar dan ada syirik yang kecil, buktinya mereka tidak dianggap murtad dengan permintaan itu.


12-Perkataan mereka "… sedangkan kami baru sahaja bebas dari kekafiran (masuk Islam) …" menunjukan bahawa para sahabat yang lain mengerti bahawa perbuatan mereka termasuk syirik.


13-Dibolehkan bertakbir ketika merasa hairan, atau mendengar sesuatu yang tidak patut diucapkan dalam agama, berlainan dengan pendapat orang yang menganggapnya makruh.


14-Diperintahkan mencegah segala kemungkinan yang boleh membawa kepada syirik.


15-Dilarang meniru dan melakukan sesuatu perbuatan yang menyerupai perbuatan orang-orang jahiliyah.


16-Dibolehkan marah ketika menyampaikan ilmu.


17-Kaedah umum, bahawa umat ini ada yang mengikuti tradisi-tradisi umat sebelumnya, berdasarkan Sabda Nabi " kamu semua pasti akan mengikuti tradisi-tradisi (kebiasaan) orang-orang sebelum kamu semua …"


18-Ini adalah salah satu dari tanda kenabian Nabi Muhammad s.a.w, kerana terjadi sebagaimana yang baginda s.a.w sampaikan.


19-Celaan Allah yang ditujukan kepada orang yahudi dan nasrani, yang terdapat dalam Al Qur'an boleh berlaku juga terhadap kita.


20-Sudah menjadi ketetapan umum dikalangan para sahabat, bahawa sesuatu ibadah harus berdasarkan perintah Allah [bukan mengikuti keinginan, fikiran atau hawa nafsu sendiri]. Dengan demikian, hadith tersebut di atas mengandungi suatu petanda mengenai hal-hal yang akan ditanya kepada manusia di alam kubur. Adapun "Siapakah Tuhanmu?", adalah sudah jelas; sedangkan "Siapakah Nabimu?" berdasarkan keterangan masalah-masalah ghaib yang baginda s.a.w beritakan akan terjadi; dan "apakah agamamu?" berdasarkan pada ucapan mereka: "buatkanlah untuk kami sembahan sebagaimana mereka memiliki sembahan … " sehingga akhir ayat [Surah AlA’raf:138]


21-Tradisi ahli kitab itu tercela seperti tradisi orang-orang musyrik.


22-Orang yang baru sahaja berpindah dari tradisi-tradisi yang batil yang sudah menjadi kebiasaan dalam dirinya, tidak dapat dipastikan secara mutlak bahawa dirinya telah bebas dari sisa-sisa tradisi tersebut, dari apa yang mereka katakan: "kami baru saja masuk islam" dan merekapun belum terlepas dari tradisi-tradisi kafir, kerana mereka meminta agar dibuatkan Dzatu Anwath sebagaimana yang dimiliki oleh kaum musyrikin.


_____________________________________


Catatan Kaki:


[27] Al Lata, Al Uzza dan Manat adalah nama berhala-berhala yang dipuja orang arab jahiliyah dan mereka menganggapnya sebagai anak-anak perempuan Allah.


[28] Dalam ayat ini, Allah s.w.t. menyangkal tindakan kaum musyrikin yang tidak rasional, kerana mereka menyembah ketiga-tiga berhala tersebut yang tidak dapat mendatangkan manfaat dan tidak pula dapat menolak mudharat. Dan Allah mencela tindakan zalim mereka dengan memilih untuk diri mereka jenis yang baik dan memberikan untuk Allah jenis yang buruk dalam anggapan mereka. Tindakan mereka itu hanyalah berdasarkan sangkaan-sangkaan dan hawa nafsu, tidak berdasarkan pada tuntunan para Rasul yang mengajak umat manusia untuk beribadah hanya kepada Allah dan tidak beribadah kepada selainNya.


[29] Iaitu : mereka meminta dibuatkan Dzatu Anwath sebagaimana yang dimiliki oleh kaum musyrikin, untuk mengharapkan keberkatan darinya.



Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)