Saturday, 15 September 2012

Dakwah Kepada Syahadah La Ilaha Ila Allah



Firman Allah (maksudnya): Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari Segala iktiqad dan perbuatan syirik) dan aku bukanlah dari golongan yang mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain." (QS. Yusuf, 108)


Ibnu Abbas r.a. berkata: ketika Rasulullah s.a.w. mengutus Muadz bin Jabal ke Yaman beliau bersabda kepadanya:

 "Sungguh kamu akan mendatangi Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) maka perkara pertama yang harus kamu sampaikan kepada mereka adalah syahadah La Ilaha Illallah - dalam riwayat yang lain disebutkan "supaya mereka mentauhidkan Allah"-, jika mereka mematuhi apa yang kamu sampaikan, maka sampaikan kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka solat lima waktu sehari semalam, jika mereka mematuhi apa yang telah kamu sampaikan, maka sampaikanlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka zakat, yang diambil dari orang-orang kaya diantara mereka dan diberikan kepada orang-orang yang fakir. Dan jika mereka mematuhi apa yang kamu sampaikan, maka jauhkanlah dirimu dari harta mereka, dan takutilah doa orang-orang yang teraniaya, kerana sesungguhnya tidak ada tabir penghalang antara doanya dan Allah" (HR. Bukhari dan Muslim).


Dalam hadith yang lain, Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Sahl bin Sa'd r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. ketika perang khaibar, bersabda:

 "Sungguh akan aku serahkan panji (komando perang) ini pada keesokan pagi kepada orang yang mencintai Allah dan RasulNya, dan dia dicintai oleh Allah dan RasulNya, Allah akan memberikan kemenangan dengan sebab kedua tangannya", maka semalaman suntuk para sahabat berbincang siapakah diantara mereka yang akan diberikan panji itu. Pada keesokan paginya mereka mendatangi Rasulullah s.a.w, masing masing berharap agar dialah yang diberikan panji tersebut, maka pada saat itu, Baginda s.a.w bertanya: "Di mana Ali bin Abi Tholib? Mereka menjawab: kedua matanya sedang sakit, kemudian mereka mengutus seseorang untuk memanggilnya, dan dia pun datang bersama Ali bin Abi Tholib, kemudian Baginda s.a.w meludahi kedua matanya, kemudian dia sembuh seperti tidak pernah terkena penyakit, kemudian Baginda s.a.w menyerahkan panji itu kepadanya dan bersabda: "majulah engkau ke depan dengan tenang sehingga engkau sampai ditempat mereka, kemudian ajaklah mereka kepada Islam[15], dan sampaikanlah kepada mereka akan hak-hak Allah dalam Islam. Maka demi Allah, sungguh Allah memberi hidayah kepada seseorang dengan sebab kamu itu lebih baik dari unta-unta merah" [16].



Kandungan bab ini:


1-Dakwah kepada " La Ilaha Illallah" adalah jalan orang-orang yang setia mengikuti Rasulullah s.a.w..


2-Peringatan akan pentingnya ikhlas [dalam berdakwah semata mata kerana Allah], kerana kebanyakan orang, jika mengajak kepada kebenaran, mereka lebih cenderung mengajak kepada [kepentingan] dirinya sendiri.


3-Memahami dengan sebenar-benarnya tentang apa yang didakwahkan adalah termasuk kewajipan.


4-Termasuk bukti kebaikan tauhid, adalah tauhid itu mengagungkan Allah.


5-Bukti keburukan syirik, adalah syirik itu merendahkan Allah.


6-Termasuk hal yang sangat penting adalah menjauhkan orang Islam dari lingkungan orang-orang musyrik, agar tidak menjadi seperti mereka, walaupun dia belum melakukan perbuatan syirik.


7-Tauhid adalah kewajipan pertama.


8-Tauhid adalah perkara pertama yang harus disampaikan sebelum menyampaikan kewajipan yang lain termasuk solat.


9-Pengertian "supaya mereka mentauhidkan Allah" adalah pengertian syahadah.


10-Seseorang terkadang termasuk di kalangan ahli kitab dan dia tidak menyedarinya, atau dia sebenarnya memahami namun tidak mengamalkannya.


11-Peringatan akan pentingnya tertib pengajaran (supaya orang yang belajar lebih mudah memahami).


12-Iaitu dengan dimulai dengan hal yang sangat penting, kemudian yang penting dan begitulah seterusnya.


13-Salah satu sasaran pembahagian zakat ialah golongan fakir.


14-Kewajipan orang yang berilmu adalah menjelaskan tentang sesuatu yang masih diragukan oleh orang yang belajar.


15-Dilarang mengambil harta yang terbaik dalam pengambilan zakat.


16-Menjaga diri dari berbuat zalim terhadap seseorang.


17-Pemberitahuan bahawa doa orang yang teraniaya itu dikabulkan.


18-Di antara bukti tauhid adalah ujian yang dialami oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, seperti kesulitan, kelaparan mahupun wabak penyakit.


19-Sabda Rasulullah s.a.w.: "Sungguh akan aku serahkan panji …" adalah salah satu dari tanda-tanda kenabian baginda s.a.w.


20-Sembuhnya kedua-dua mata Ali bin Abi Tholib r.a, setelah diludahi Rasulullah s.a.w adalah salah satu dari tanda-tanda kenabian baginda s.a.w.


21-Keutamaan Ali bin Abi Tholib r.a..


22-Keutamaan para sahabat Rasulullah s.a.w, [kerana hasrat mereka yang besar sekali dalam kebaikan dan sikap mereka yang sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan amal soleh] dapat dilihat dari perbincangan mereka pada malam hari [sewaktu perang Khaibar, tentang siapakah di antara mereka yang akan diserahkan panji perang, masing-masing mereka menginginkan agar dirinyalah yang menjadi orang yang memperoleh kehormatan itu].


23-Kewajipan mengimani takdir Allah, kerana panji tidak akan diserahkan kepada orang yang sudah berharap (memperoleh panji), akan tetapi diserahkan kepada orang yang tidak berharap untuk memperolehnya (tidak berharap memperoleh panji).


24-Adab dalam berjihad, sebagaimana yang terkandung dalam sabda Baginda s.a.w: "majulah engkau ke depan dengan tenang”


25-Disyariatkan untuk mendakwahi musuh sebelum memeranginya.


26-Syariat ini berlaku pula terhadap mereka yang pernah didakwahi dan diperangi sebelumnya.


27-Dakwah harus dilaksanakan dengan bijaksana, sebagaimana yang diisyaratkan dalam sabda Nabi s.a.w: "… dan sampaikanlah kepada mereka akan hak-hak Allah dalam Islam”.


28-Wajib mengenal hak-hak Allah dalam Islam[17].


29-Kemuliaan dakwah, dan besarnya pahala bagi orang yang dapat menyeru seseorang kepada Islam.


30-Dibolehkan bersumpah dalam menyampaikan petunjuk.


_____________________________________


Catatan Kaki:


[15] Ajaklah mereka kepada Islam, iaitu kepada pengertian yang sebenarnya dari kedua kalimat syahadah, iaitu : berserah diri kepada Allah, zahir dan batin, dengan mentaati segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya, yang disampaikan melalui RasulNya.


[16] unta-unta merah adalah harta kekayaan yang sangat berharga dan menjadi kebanggaan orang arab pada masa itu.


[17] Hak Allah dalam Islam yang wajib dilaksanakan seperti solat, zakat, puasa, haji dan kewajipan-kewajipan yang lainnya.



Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

No comments:

Post a Comment