Wednesday, 19 September 2012

Malaikat Makhluk Yang Perkasa Sujud Kepada Allah


Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Sehingga apabila dihilangkan rasa takut dari hati mereka (malaikat), mereka berkata: apakah yang telah difirmankan oleh Tuhanmu?, mereka menjawab: perkataan yang benar, dan Dialah yang maha tinggi lagi maha besar”
*(QS. Saba', 23).

Diriwayatkan dalam kitab sahih Imam Bukhari, dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
 "Apabila Allah menetapkan sesuatu perintah diatas langit, para malaikat mengibas-ngibaskan sayapnya, kerana patuh dengan firmanNya, seolah-olah firman yang didengarnya itu bagaikan bunyi rantai besi (yang ditarik) di atas batu rata, hal ini memekakkan mereka (sehingga jatuh pengsan kerana ketakutan), "sehingga apabila telah dihilangkan rasa takut dari hati-hati mereka, mereka berkata: "apakah yang telah difirmankan oleh tuhanmu?" mereka menjawab: " (perkataan) yang benar, dan Dialah yang maha tinggi lagi maha besar", ketika itulah (syaitan-syaitan) pencuri berita mendengarnya, pencuri berita itu sebahagiannya berada diatas sebahagian yang lain - Sufyan bin Uyainah[42] menggambarkan dengan telapak tangannya, dengan direnggangkan dan dibuka jari jemarinya - ketika mereka (pencuri berita) mendengar berita itu, disampaikanlah kepada yang ada dibawahnya, dan seterusnya, sampai ke tukang sihir dan tukang ramal, tetapi kadang-kadang syaitan pencuri berita itu terkena syihab (meteor) sebelum sempat menyampaikan berita itu, dan kadang-kadang sempat menyampaikan berita sebelum terkena syihab, kemudian dengan satu kalimat yang didengarnya itulah tukang sihir dan tukang ramal itu melakukan seratus macam pembohongan, mereka (golongan manusia) mendatangi tukang sihir dan tukang ramal sambil berkata: bukankah dia telah memberi tahu kita bahawa pada hari sekian akan terjadi sekian (dan ianya benar-benar terjadi), sehingga dia percaya dengan kalimat yang didengarnya dari langit"

An - Nawwas bin Sam'an r.a. menuturkan bahawa Rasulullah s.a.w., bersabda:
 "Apabila Allah s.w.t hendak mewahyukan perintahnya, maka Dia firmankan wahyu tersebut, dan langit-langit bergetar dengan kerasnya kerana takut kepada Allah s.w.t., dan ketika para malaikat mendengar firman tersebut mereka pengsan dan bersujud, dan di antara mereka, yang pertama kali bangun adalah Jibril, maka Allah sampaikan wahyu yang Ia kehendakiNya kepadanya, kemudian Jibril melalui para malaikat, setiap kali ia melalui langit maka para penghuninya bertanya kepadanya: "apa yang telah Allah firmankan kepadamu?", Jibril menjawab: "Dia firmankan (tentang perkara) yang benar, dan Dialah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar, dan seluruh malaikat yang ia lalui bertanya kepadanya seperti pertanyaan pertama, demikianlah sehingga Jibril menyampaikan wahyu tersebut sesuai dengan yang telah diperintahkan oleh Allah s.w.t kepadanya."


Kandungan bab ini:

1-Penjelasan tentang ayat yang telah disebutkan di atas[43].

2-Ayat tersebut mengandungi bukti-bukti yang menguatkan kebatilan syirik, khususnya yang berkaitan dengan orang-orang soleh, dan ayat itu juga memutuskan akar-akar pohon syirik yang ada dalam hati seseorang.

3-Penjelasan tentang firman Allah: "mereka menjawab: "(perkataan) yang benar" dan Dialah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar. [44]"

4-Menerangkan tentang sebab pertanyaan para malaikat tentang wahyu yang difirmankan Allah.

5-Jibril kemudian menjawab pertanyaan mereka dengan perkataan: "Dia firmankan (tentang perkara) yang benar …"

6-Menyebutkan bahawa malaikat yang pertama kali mengangkat kepalanya adalah Jibril.

7-Jibril memberikan jawapan tersebut kepada seluruh malaikat penghuni langit, kerana mereka bertanya kepadanya.

8-Para malaikat penghuni langit jatuh pengsan ketika mendengar firman Allah.

9-Langit bergetar keras ketika mendengar firman Allah itu.

10-Jibril adalah malaikat yang menyampaikan wahyu mengikut apa yang telah diperintahkan Allah kepadanya.

11-Hadith di atas menyebutkan tentang adanya syaitan-syaitan yang mencuri berita dari langit.

12-Cara mereka mencuri berita, sebahagian mereka naik di atas sebahagian yang lain.

13-Syihab (meteor) dihantar untuk menembak jatuh syaitan-syaitan yang mencuri dengar berita dari langit.

14-Adakalanya syaitan pencuri berita itu terkena syihab sebelum sempat menyampaikan berita yang didengarnya, dan adakalanya sudah sempat menyampaikan berita ke telinga manusia yang menjadi hamba abdinya sebelum terkena syihab.

15-Adakalanya ramalan tukang ramal itu benar.

16-Dengan berita yang diterimanya dia (tukang ramal) melakukan seratus macam kebohongan.

17-Pembohongannya tidak akan dipercayai kecuali kerana adanya berita dari langit (melalui syaitan yang mencuri-curi dengar berita).

18-Kecenderungan manusia untuk menerima sesuatu kebatilan, bagaimana mereka boleh bersandar hanya kepada satu kebenaran saja yang diucapkan oleh tukang ramal, tanpa mengira atau mempertimbangkan seratus kebohongan yang disampaikannya.

19-Satu kebenaran tersebut tersebar luas dari mulut ke mulut dan diingatinya, lalu dijadikan sebagai bukti bahawa apa yang dikatakan oleh tukang ramal itu benar.

20-Menetapkan sifat-sifat Allah (seperti yang terkandung dalam hadith di atas), berbeza dengan fahaman Asy'ariyah yang mengingkarinya.

21-Penjelasan bahawa bergetarnya langit dan pengsannya para malaikat disebabkan kerana rasa takut mereka kepada Allah s.w.t

22-Para malaikat pun tunduk sujud kepada Allah.

_____________________________________

Catatan Kaki:

[41] Bab ini menjelaskan bukti lain yang menunjukkan kebatilan syirik dan hanya Allah yang berhak dengan segala jenis ibadah. Kerana apabila para malaikat, sebagai makhluk yang sangat perkasa dan paling kuat, tunduk sujud di hadapan Allah yang Maha tinggi dan Maha besar ketika mendengar firmanNya, maka tidak ada yang berhak dengan ibadah, puji-pujian, sanjungan dan pengagungan kecuali Allah.

[42] Sufyan bin Uyainah bin Maimun Al Hilali, salah seorang periwayat hadith ini.

[43] Ayat ini menerangkan keadaan para malaikat, yang mana mereka adalah makhluk Allah yang paling kuat dan amat perkasa yang disembah oleh orang-orang musyrik. Apabila keadaan mereka demikian, dan rasa takut mereka kepada Allah ketika Allah berfirman, maka apakah mereka layak dijadikan sembahan selain Allah? tentu tidak layak, dan makhluk lain selain mereka lebih tidak layak lagi.

[44] Firman Allah ini menunjukkan: bahawa Kalamullah bukanlah makhluk (ciptaan), kerana mereka berkata :
"Apakah yang telah difirmankan oleh Tuhanmu?", menunjukkan pula bahawa Allah Maha Tinggi di atas seluruh makhlukNya, dan Maha Besar yang kebesaranNya tidak dapat dijangkau oleh akal fikiran.


Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

No comments:

Post a Comment