Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Katakanlah, sesungguhnya solatku,
sembelihanku, hidupku dan matiku semata-mata hanya untuk Allah, Tuhan sekalian
alam, tiada sekutu bagiNya, begitulah yang diperintahkan kepadaku dan aku
adalah orang yang pertama berserah diri (kepada Allah)”
*(QS. Al An'am, 162-163).
Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Maka dirikanlah solat untuk
Tuhanmu, dan sembelihlah korban (untukNya)”
*(QS. Al Kautsar, 2)
Ali bin Abi Tholib r.a. berkata:
"Rasulullah s.a.w. bersabda
kepadaku tentang empat perkara:
"Allah melaknat
orang-orang yang menyembelih binatang bukan kerana Allah, Allah melaknat
orang-orang yang melaknat kedua orang tuanya, Allah melaknat orang-orang yang
melindungi orang yang melakukan kejahatan, dan Allah melaknat orang-orang yang
mengubah tanda batas tanah" (Hadith Riwayat Muslim)
Thoriq bin Syihab r.a. menyatakan
bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Ada seseorang yang masuk
syurga kerana seekor lalat, dan ada seorang lagi yang masuk neraka kerana
seekor lalat,
para sahabat bertanya: bagaimana itu
boleh terjadi ya Rasulullah?
Rasulullah s.a.w menjawab: "ada
dua orang yang berjalan melalui sekelompok manusia yang memiliki berhala, yang
mana tidak boleh seorang pun melintasinya kecuali dengan mempersembahkan
(menyembelih) binatang untuknya (untuk berhala tersebut) terlebih dahulu, maka
mereka berkata kepada salah seorang diantara kedua orang tadi: persembahkanlah
sesuatu untuknya, dia menjawab: saya tidak mempunyai apapun yang akan saya
persembahkan untuknya, mereka berkata lagi: persembahkan untuknya walaupun
dengan seekor lalat, maka dia pun mempersembahkan untuknya seekor lalat, lalu
mereka melepaskannya untuk meneruskan perjalanannya, dan diapun masuk kedalam
neraka kerananya. Kemudian mereka berkata lagi pada yang seorang lagi:
persembahkanlah untuknya sesuatu, dia menjawab: aku tidak akan mempersembahkan
sesuatu apapun untuk selain Allah, maka mereka pun memenggal lehernya, dan dia
pun masuk ke dalam syurga"
(Hadith Riwayat Ahmad).
Kandungan bab ini:
1-Penjelasan tentang makna ayat
“Katakanlah, sesungguhnya solatku, sembelihanku”
2-Penjelasan tentang makna ayat
“Maka dirikanlah solat untuk Tuhanmu, dan sembelihlah korban(untukNya)”
3-Orang yang pertama kali dilaknat
oleh Allah berdasarkan hadith di atas adalah orang yang menyembelih untuk
selain Allah.
4-Dilaknat orang yang melaknat kedua
orang tuanya. Hal itu juga boleh terjadi jika dia melaknat kedua orang tua
orang lain, lalu orang tersebut membalas dengan melaknat kedua orang tuanya
juga.
5-Dilaknat orang yang melindungi
sesiapa yang melakukan kejahatan, iaitu orang yang memberikan perlindungan
kepada seseorang yang melakukan kejahatan yang wajib ditegakkkan kepadanya
hukum Allah.
6-Dilaknat juga sesiapa yang
mengubah tanda batas tanah, iaitu mengubah tanda yang membezakan antara hak
milik seseorang dengan hak milik jirannya, dengan dimajukan ke hadapan atau
diletakkan ke belakang.
7-Terdapat perbezaan antara melaknat
orang tertentu dengan melaknat orang-orang yang melakukan maksiat secara umum.
8-Terdapat kisah yang penting dalam
hadith ini, iaitu kisah seekor lalat.
9-Masuknya seseorang ke dalam neraka
disebabkan kerana mempersembahkan seekor lalat yang dia tidak sengaja lakukan,
tetapi dia melakukan perkara tersebut untuk melepaskan diri dari perbuatan
jahat para pemuja berhala itu.
10-Pengetahuan tentang kadar
kemusyrikan yang ada dalam hati seorang yang beriman, bagaimana dia tabah dalam
menghadapi hukuman mati dan tidak memenuhi permintaan mereka, padahal mereka
tidak meminta kecuali hanya amalan lahiriyah saja.
11-Orang yang masuk neraka dalam
hadith ini adalah orang Islam, kerana jika dia seorang kafir, maka Rasulullah
s.a.w. tidak akan bersabda: " … masuk neraka kerana seekor lalat ..."
12-Hadith ini merupakan salah satu
bukti bagi hadith sahih yang berbunyi: "Syurga itu lebih dekat kepada
seseorang daripada tali sandalnya sendiri, dan neraka juga demikian"
14-Mengetahui bahawa amalan hati
adalah tolok ukur yang sangat penting, walaupun bagi para pemuja berhala.
Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh
Muhammad AtTamimi)
No comments:
Post a Comment