Tuesday, 18 September 2012

Ibadah hanya hak milik Allah


Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Apakah mereka menyekutukan (Allah) dengan berhala- berhala yang tidak dapat menciptakan sesuatu apapun? sedangkan berhala-berhala itu dicipta oleh mereka, dan berhala-berhala itu tidak mampu memberi pertolongan kepada penyembah-penyembahnya dan tidak juga dapat menolong diri mereka sendiri.”
*(QS. Al A'raf, 191-192).

Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Dan sembahan-sembahan yang kamu mohon selain Allah, tidak memiliki apa-apa walaupun setipis selaput biji kurma. Jika kamu memohon kepada mereka, mereka tidak akan mendengar seruanmu itu dan kalaulah mereka mendengar, mereka tidak dapat memperkenankan permintaanmu, dan pada hari kiamat mereka akan mengingkari perbuatan syirik kamu itu, dan tidak ada yang dapat memberitahu padamu (apa yang sebenarnya yang berlaku) sebagaimana yang diberikan oleh yang Maha Mengetahui.”
*(QS. Fathir 13-14).

Diriwayatkan dalam sahih (Bukhari dan Muslim) dari Anas bin Malik r.a., dia berkata:
 “Ketika perang uhud Rasulullah s.a.w mendapat luka di kepalanya, dan giginya pecah, maka baginda s.a.w bersabda:
"Bagaimana sesuatu kaum yang melukai Nabinya akan beruntung?" kemudian turunlah ayat: "Engkau tidak berhak apapun dalam urusan mereka (orang kafir) itu (QS. Ali Imran 128)."

Dan diriwayatkan dalam sahih Bukhari Ibnu Umar r.a. bahawa dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda ketika beliau berdiri dari ruku' pada rakaat yang terahir dalam solat subuh:
"Ya Allah, laknatilah si fulan dan sifulan", setelah baginda s.a.w mengucapkan semua itu: , turunlah firman Allah: "Engkau tidak berhak apapun dalam urusan mereka (orang kafir) itu"

Dalam riwayat yang lain: "Beliau mendoakan semoga Sofwan bin Umayah, Suhail bin Amr, dan Al Harith bin Hisyam dijauhkan dari rahmat Allah", maka turunlah ayat:
 "Engkau tidak berhak apapun dalam urusan mereka (orang kafir) itu"

Diriwayatkan pula dalam sahih Bukhari dari Abu Hurairah r.a. dia berkata: "ketika diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. firman Allah s.w.t:
 “Dan berilah peringatan kepada keluargamu yang terdekat” (QS. Asy Syu'ara,214)

Baginda s.a.w pun berdiri dan bersabda: "Wahai orang-orang quraisy, tebuslah diri kamu semua (dari siksa Allah dengan memurnikan ibadah kepadaNya). aku tidak dapat berbuat apa-apa untuk kamu semua sedikit pun di hadapan Allah. Wahai Abbas bin Abdul Muthalib, aku tidak dapat berbuat apa-apa untukmu sedikitpun di hadapan Allah, wahai Sofiyah, aku tidak dapat berbuat apa-apa untukmu sedikitpun di hadapan Allah kelak, wahai Fatimah binti Muhammad (puteri Rasulullah s.a.w), mintalah kepadaku apa saja yang kamu mahukan, tetapi aku tidak dapat berbuat apa-apa untukmu sedikitpun dihadapan Allah nanti".


Kandungan bab ini:

1-Penjelasan tentang kedua-dua ayat tersebut di atas[39].

2-Kisah perang uhud.

3-Rasulullah, pemimpin para rasul, telah membaca qunut dalam solat subuh, dan para sahabat yang berada dibelakangnya mengaminkan.

4-Orang orang yang baginda s.a.w doakan dengan doa, semoga Allah menjauhkan rahmatNya dari mereka adalah orang-orang kafir.

5-Mereka (orang-orang kafir musyrikin mekah) telah melakukan perbuatan yang tidak dilakukan oleh kebanyakan orang-orang kafir yang lain, antaranya ialah melukai kepala Rasulullah s.a.w, dan cuba untuk membunuh baginda s.a.w, dan mengoyak-ngoyak tubuh para syuhada yang terkorban, padahal yang terkorban itu adalah dari kalangan kaum keluarga mereka.

6-Berdasarkan peristiwa itulah Allah s.w.t menurunkan firmanNya: "Engkau tidak berhak apapun dalam urusan mereka (orang kafir) itu (QS. Ali Imran 128)"

7-Allah berfirman: “Atau Allah akan menerima taubat mereka, atau Allah akan menyeksa mereka”
(QS. Ali Imran, 128).
 Kemudian Allah menerima taubat mereka, dengan masuknya mereka ke dalam agama Islam, dan menjadi orang orang yang beriman.

8-Digalakkan melakukan qunut nazilah, iaitu: qunut yang dilakukan ketika umat Islam dalam keadaan mara bahaya.

9-Menyebut nama-nama mereka beserta dengan nama orang tua mereka ketika didoakan supaya dilaknat di dalam solat, tidak membatalkan solat.

10-Boleh melaknat orang kafir tertentu di dalam qunut.

11-Kisah Rasulullah s.a.w ketika diturunkan kepada beliau firman Allah "Dan berilah peringatan kepada keluargamu yang terdekat".

12-Kesungguhan Rasulullah s.a.w. dalam hal ini, sehingga baginda s.a.w melakukan sesutu yang menyebabkan dirinya dituduh gila, begitu jugalah halnya apabila dilakukan oleh orang mukmin pada masa sekarang.

13-Rasulullah s.a.w mengingatkan kepada keluarganya yang paling jauh kemudian yang terdekat dengan sabdanya: "aku tidak dapat berbuat apa-apa untukmu sedikitpun di hadapan Allah nanti" sehinggalah baginda s.a.w bersabda: "wahai Fatimah binti Muhammad (puteri Rasulullah s.a.w), mintalah kepadaku apa saja yang kamu mahukan, tetapi aku tidak dapat berbuat untukmu sedikitpun di hadapan Allah nanti".

Jika baginda s.a.w, sebagai pemimpin para rasul telah berterus terang tidak dapat membela puterinya sendiri iaitu pemimpin kaum wanita sekalian alam ini, dan jika orang mengimani bahawa apa yang beliau katakan itu benar, kemudian jika dia memerhatikan apa yang terjadi pada diri kaum khowash[40] ketika ini, maka akan jelaslah baginya bahawa tauhid ini sudah ditinggalkan, dan petunjuk agama sudah menjadi asing.

_____________________________________

Catatan Kaki:

[39] Kedua-dua ayat tersebut menunjukkan kebatilan syirik bermula dari dasarnya, kerana makhluk yang lemah ini, yang tidak mempunyai apa-apa kekuasaan, tidak dapat dijadikan sebagai sandaran sama sekali dan menunjukkan bahawa Allah lah yang berhak dengan segala jenis ibadah yang dilakukan manusia.

[40] Kaum Khowash ialah : orang-orang tertentu yang dirujuk dalam masalah agama, dan merasa bahawa dirinya patut diikuti, disegani dan diminta berkah doanya.


Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

No comments:

Post a Comment