Wednesday, 26 September 2012

Usaha Rasulullah Dalam Menjaga Tauhid Dan Menutup Jalan Yang Menuju Kepada Kesyirikan


Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Sungguh telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri, yang mengambil berat atas sebarang kesusahan yang menimpa kamu, yang sangat menginginkan kebaikan (keimanan dan keselamatan) bagi kamu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang yang beriman” (QS. At Taubah, 128).

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Janganlah kalian menjadikan rumah-rumah kalian sebagai kubur, dan janganlah kalian jadikan kuburku sebagai tempat perayaan, ucapkanlah selawat untukku, kerana sesungguhnya ucapan selawat kalian akan sampai kepadaku dimana saja kalian berada" (HR. Abu Daud dengan sanad yang baik, dan para perawinya thiqoh).

Dalam hadith yang lain, Ali bin Al Husain r.a. memberitahu, bahawa dia melihat seseorang masuk ke dalam celah-celah yang ada pada kubur Rasulullah s.a.w, kemudian berdoa, maka dia pun melarangnya sambil berkata kepadanya: "Mahukah kamu aku beritahu sebuah hadith yang aku dengar daripada bapaku, daripada datukku daripada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda:

"Janganlah kalian menjadikan kuburku sebagai tempat perayaan, dan janganlah kalian menjadikan rumah-rumah kalian sebagai kubur, dan ucapkanlah selawat dan salam untukku, kerana ucapan selawat dan salam kalian akan sampai kepadaku di mana saja kalian berada"
(diriwayatkan dalam kitab Al Mukhtarah).


Kandungan bab ini:

1-Penjelasan tentang ayat yang terdapat dalam surah Al Baqarah[58].

2-Rasulullah s.a.w. telah memperingatkan umatnya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhkan umatnya daripada jalan yang menuju kepada kesyirikan, serta menutup setiap jalan yang menjurus ke arahnya.

3-Rasulullah s.a.w sangat menginginkan keimanan dan keselamatan kita, dan amat belas kasihan lagi penyayang terhadap kita.

4-Larangan Rasulullah s.a.w untuk tidak menziarahi kuburnya dengan cara tertentu, [iaitu dengan menjadikannya sebagai tempat perayaan], padahal menziarahi kubur baginda s.a.w termasuk amalan yang amat baik.

5-Rasulullah s.a.w melarang seseorang yang banyak melakukan ziarah kubur.

6-Rasulullah s.a.w menggalakkan umatnya untuk melakukan solat sunat di dalam rumah.

7-Satu perkara yang telah menjadi kebiasaan di kalangan para salaf (para sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin), bahawa menyampaikan selawat dan salam untuk Nabi s.a.w tidak perlu masuk di dalam kuburnya.

8-Alasannya kerana selawat dan salam seseorang untuk baginda s.a.w akan sampai kepada baginda s.a.w dimanapun dia berada, maka tidaklah harus mendatangi makamnya (untuk menyampaikan selawat dan salam), sebagaimana yang disangka oleh sebahagian masyarakat.

9-Nabi s.a.w di alam barzakh, akan dinampakkan seluruh amalan umatnya yang berupa selawat dan salam untuknya.

_____________________________________

Catatan Kaki:

[58] Ayat ini, dengan sifat-sifat yang disebutkan di dalamnya adalah mengenai peribadi Nabi Muhammad s.a.w., menunjukkah bahawa baginda s.a.w telah memperingati umatnya agar menjauhi syirik, yang merupakan dosa paling besar. Inilah tujuan utama diutuskan Rasulullah s.a.w..


Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

No comments:

Post a Comment