Wednesday, 19 September 2012

Nabi S.A.W. Tidak Dapat Memberi Hidayah Kecuali Dengan Kehendak Allah s.w.t


Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Sesungguhnya kamu (wahai Muhammad) tidak akan dapat memberi hidayah (petunjuk) kepada orang yang kamu cintai, tetapi Allah lah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.”
(QS. Al-qoshosh, 56)

Diriwayatkan dalam sahih Bukhari, daripada Ibnul Musayyab, bahawa bapanya berkata: "Ketika Abu Tholib dalam keadaan nazak, maka datanglah Rasulullah s.a.w, dan pada saat itu Abdullah bin Abi Umayyah, dan Abu Jahal ada di sisinya, lalu Rasulullah bersabda kepadanya:
 "Wahai bapa saudaraku, ucapkanlah “La Ilaha Illallah” kalimat yang dapat aku jadikan bukti untukmu di hadapan Allah"
 Tetapi Abdullah bin Abi Umayyah dan Abu Jahal berkata kepada Abu Tholib: "Apakah kamu membenci agama Abdul Mutholib?", kemudian Rasulullah mengulangi sabdanya lagi, dan mereka berdua pun mengulangi kata-katanya pula. maka ucapan terahir yang dikatakan oleh Abu Tholib adalah: bahawa dia masih tetap berada dalam agama Abdul Mutholib, dan dia menolak untuk mengucapkan kalimat La ilah illallah, kemudian Rasulullah bersabda: "Aku akan meminta keampunan untukmu pada Allah, selama aku tidak dilarang", lalu Allah menurunkan firmanNya:
 “Tidak layak bagi seorang Nabi serta orang-orang yang beriman meminta keampunan (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik” (QS. Al Bara'ah, 113).

Dan berkaitan dengan Abu Tholib, Allah menurunkan firmanNya:
 “Sesungguhnya kamu (wahai Muhammad) tidak dapat memberikan hidayah (petunjuk) kepada orang-orang yang kamu cintai, tetapi Allahlah yang memberikan petunjuk kepada orang-orang yang dikehendakiNya”
(QS. Al Qoshosh, 57)


Kandungan bab ini:

1-Penjelasan tentang ayat 57 surah Al Qoshosh[49].

2-Penjelasan tentang ayat 113 surah Al Bara'ah[50].

3-Masalah yang sangat penting, iaitu penjelasan tentang sabda Nabi s.a.w.: "Ucapkanlah kalimat La ilaha illallah", berbeza dengan apa yang difahami oleh orang-orang yang mengaku dirinya berilmu[51].

4-Abu Jahal dan kawan-kawannya mengetahui maksud Rasulullah ketika beliau masuk dan berkata kepada bapa saudaranya: "ucapkanlah kalimat La ilaha illallah", oleh kerana itu, tidak beruntunglah sesiapa yang pemahamannya tentang asas utama agama Islam ini lebih rendah daripada Abu Jahal (iaitu orang yang  mengucapkan La ilaha illallah tetapi menyembah yang lain selain Allah seperti menyembah para wali-wali Allah, para nabi dan sebagainya).

5-Kesungguhan Rasulullah s.a.w dalam usahanya untuk mengislamkan bapa saudaranya.

6-Bantahan terhadap orang-orang yang mengatakan bahawa Abdul Mutholib dan nenek moyangnya itu beragama Islam.

7-Permintaan keampunan Rasulullah untuk Abu Tholib tidak dikabulkan, dia tidak diampuni, bahkan baginda s.a.w dilarang meminta keampunan untuknya.

8-Kemudharatan bersahabat dengan orang-orang berfikiran dan berperangai buruk.

9-Bahayanya mengagung-agungkan para nenek moyang dan orang-orang terkemuka.

10-"Nama besar" (seperti Abdul Mutholib) mereka inilah yang dijadikan oleh orang-orang jahiliyah sebagai tolok ukur kebenaran yang mesti dianuti.

11-Hadith di atas mengandungi bukti bahawa amalan seseorang yang diambil kira adalah di akhir hidupnya, kerana jika Abu Tholib mahu mengucapkan kalimat tauhid, maka pasti akan berguna bagi dirinya di hadapan Allah.

12-Perlu direnungkan, betapa beratnya hati orang-orang yang sesat itu untuk menerima tauhid, kerana dianggap sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima oleh akal fikiran mereka, kerana dalam kisah di atas disebutkan bahawa mereka tidak menyerang Abu Tholib, akan tetapi mereka berusaha supaya Abu Tholib menolak untuk mengucapkan kalimat tauhid, padahal Nabi s.a.w. sudah berusaha bersungguh-sungguh, dan berulang kali memintanya untuk mengucapkan kalimat Tauhid. Dan kerana kalimat tauhid itu memiliki makna yang jelas dan kewajipan yang besar, maka cukupah bagi mereka untuk berusaha supaya Abu Tholib menolak untuk mengucapkannya.

_____________________________________

Catatan Kaki:

[48] Bab ini merupakan bukti adanya kewajipan mentauhidkan Allah. Kerana apabila Nabi Muhammad s.a.w. sebagai makhluk termulia dan yang paling tinggi kedudukannya di sisi Allah, tidak dapat memberi hidayah kepada siapapun yang baginda s.a.w inginkan, maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki kerana hidayah hanya datang daripada Allah s.w.t.

[49] Ayat ini menunjukkan bahawa hidayah (petunjuk) untuk masuk Islam itu hanyalah dari Allah sahaja, tidak ada seorangpun yang dapat menjadikan seseorang mengikuti jalan yang lurus ini kecuali dengan kehendakNya dan ayat ini juga mengandungi bantahan terhadap orang-orang yang mempunyai kepercayaan bahawa para nabi dan para wali itu dapat mendatangkan manfaat dan menolak kemudharatan, sehingga diminta daripada mereka untuk memberikan keampunan, menyelamatkan diri dari kesulitan, dan untuk kepentingan kepentingan lainnya.

[50] Ayat ini menunjukkan tentang haramnya meminta keampunan bagi orang-orang musyrik (orang-orang yang mensyirikkan Allah) dan haram pula berwala' (mencintai, memihak dan membela) kepada mereka.

[51] Penjelasannya ialah : diyakini dalam hati, diucapkan dengan lisan, dan diamalkan apa yang menjadi kewajipannya, iaitu : memurnikan ibadah hanya kepada Allah, dan membersihkan diri dari ibadah kepada selain Nya, seperti : malaikat, nabi, wali , kubur, batu, pohon, dan yang lain-lainnya.


Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

No comments:

Post a Comment