Saturday, 15 September 2012

Takutilah Perkara-perkara Syirik



Firman Allah s.w.t.:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni (segala dosa) yang lain (selain dari syirik) itu, untuk sesiapa yang dikehendakiNya.” (QS. An Nisa', 48)


 Nabi Ibrahim berkata: “……. Dan jauhkanlah aku dan anak cucuku dari perbuatan menyembah berhala.” (QS. Ibrahim, 35)


 Diriwayatkan dalam sebuah hadith, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesuatu yang paling aku takuti berkenaan dengan kamu semua adalah perbuatan syirik kecil, kemudian beliau ditanya tentang itu, dan beliaupun menjawab: iaitu riya' "

(HR. Ahmad, Thobroni dan Abi Dawud).


Diriwayatkan dari Ibnu Mas'ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Barang siapa yang mati dalam keadaan menyembah sembahan selain Allah, maka masuklah dia ke dalam neraka" (HR. Bukhori)


 Diriwayatkan oleh Muslim dari Jabir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Barang siapa yang menemui Allah (mati) dalam keadaan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu, pasti dia memasuki syurga, dan barang siapa yang menemuiNya (mati) dalam keadaan mensyirikkanNya dengan sesuatu pasti dia memasuki neraka".


 Kandungan bab ini:


1-Syirik adalah perbuatan dosa yang harus ditakuti dan dijauhi.


2-Riya' termasuk perbuatan syirik.


3-Riya' termasuk syirik kecil[14].


4-Riya' adalah dosa yang paling ditakuti oleh Rasulullah s.a.w terhadap orang-orang soleh.


5-Dekatnya syurga dan neraka.


6-Dekatnya syurga dan neraka sehingga sama-sama disebutkan dalam satu hadith.


7-Barang siapa yang mati dalam keadaan tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pasti dia memasuki syurga, dan barang siapa yang mati dalam mensyirikkan Allah dengan sesuatu pasti dia memasuki neraka, meskipun dia termasuk di kalangan orang yang banyak ibadahnya.


8-Perkara yang sangat penting adalah permintaan Nabi Ibrahim untuk dirinya dan anak cucunya agar dijauhkan dari perbuatan menyembah berhala.


9-Nabi Ibrahim mengambil pengajaran dari keadaan sebahagian besar umat manusia, seperti yang telah disabdakan baginda a.s:

“Ya Tuhan, sesungguhnya berhala-berhala itu telah menyesatkan ramai orang”

(QS. Ibrahim, 36).


10-Dalam bab ini mengandungi penjelasan tentang makna “La Ilaha Illallah” sebagaimana dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari,

[iaitu: pembersihkan diri dari syirik dan pemurnian ibadah kepada Allah].


11-Keutamaan sesiapa yang bebas dari perkara syirik.


_____________________________________


Catatan Kaki:


[14] Syirik ada dua jenis :

Pertama : Syirik Akbar (besar) iaitu memperlakukan sesuatu selain Allah sehingga menyamainya dengan Allah, dalam hal hal yang merupakan hak yang hanya dikhaskan (yang hanya mampu dibuat) bagi Allah.

Kedua : Syirik Ashghor (kecil), iaitu : perbuatan yang disebutkan dalam Al Qur'an dan Al hadith sebagai suatu syirik, tetapi belum sampai ke peringkat Syirik Akbar.

Perbezaan kedua-duanya :


a. Syirik Akbar menghapuskan seluruh amalan, sedangkan syirik kecil hanya menghapuskan amalan yang disertainya sahaja (seperti riya’ dalam solat)

b. Syirik Akbar mengakibatkan pelakunya kekal di dalam neraka, sedangkan Syirik Kecil tidak sampai ke tahap itu.

c. Syirik Akbar mengakibatkan pelakunya keluar dari Islam, sedangkan Syirik Kecil tidak mengakibatkan pelakunya keluar dari Islam



Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

No comments:

Post a Comment