Wednesday, 26 September 2012

Larangan Beribadah Kepada Allah Di Sisi Kubur Orang-Orang Soleh


Diriwayatkan dalam sahih [Bukhari dan Muslim], daripada Aisyah ra. bahawa Ummu Salamah ra. menceritakan kepada Rasulullah s.a.w. tentang gereja yang dia lihat di negeri Habasyah (Ethiopia), yang di dalamnya terdapat gambar-gambar (atau patung-patung), maka Rasulullah bersabda:

"Mereka itu, apabila ada orang yang soleh atau hamba yang soleh meninggal dunia, mereka mendirikan di atas kuburnya sebuah tempat ibadah, dan mereka membuat di dalamnya gambar-gambar (atau patung-patung), dan mereka seburuk-buruk makhluk di sisi Allah".

Mereka dihukumi baginda s.a.w sebagai seburuk-buruk makhluk kerana mereka melakukan dua fitnah sekaligus, iaitu fitnah memuja kubur dengan mendirikan tempat ibadah di atasnya dan fitnah membuat gambar-gambar (atau patung-patung).

Dalam riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Aisyah juga berkata: ketika Rasulullah sedang nazak, baginda pun segera menutup mukanya dengan kain, dan ketika nafasnya terasa sesak maka dibukanya kembali kain itu. Ketika baginda dalam keadaan demikian itu lah baginda bersabda:

"Laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yahudi dan Nasrani, yang telah menjadikan kubur para Nabi mereka sebagai tempat ibadat".

Baginda mengingatkan umatnya agar menjauhi perbuatan mereka itu, dan jika bukan kerana hal itu, Maka pasti kubur baginda akan dinampakkan, kerana baginda khuatir kalau kuburnya nanti dijadikan tempat beribadah.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Jundub bin Abdullah, dimana dia pernah berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda lima hari sebelum baginda meninggal dunia:

"Sesungguhnya, aku menyatakan setia kepada Allah dengan menolak bahawa aku mempunyai seorang khalil (kekasih mulia) dari antara kalian, kerana sesungguhnya Allah s.w.t. telah menjadikan aku sebagai kekasihNya, sebagaimana Dia telah menjadikan Ibrahim sebagai kekasihNya. Seandainya aku menjadikan seorang kekasih dari umatku, maka aku akan jadikan Abu Bakar sebagai kekasihku. Dan ketahuilah, bahawa sesungguhnya umat-umat sebelum kalian telah menjadikan kubur para Nabi mereka sebagai tempat ibadah, dan ingatlah, janganlah kalian menjadikan kubur sebagai tempat beribadah, kerana aku benar-benar melarang kalian melakukan perbuatan itu".

Rasulullah s.a.w di akhir hayatnya - sebagaimana dalam hadis Jundub - telah melarang umatnya untuk tidak menjadikan kubur sebagai tempat ibadah. Kemudian ketika dalam keadaan hendak diambil nyawanya - sebagaimana dalam hadith Aisyah - baginda melaknat orang yang malakukan perbuatan itu. Dan solat di sisinya termasuk pula dalam pengertian menjadikan kubur sebagai tempat ibadah, walaupun tidak dijadikan bangunan masjid, dan inilah maksud dari kata-kata Aisyah ra.: "… dikhuatiri akan dijadikan sebagai tempat ibadah."

Dan para sahabat pun belum pernah mendirikan masjid (tempat ibadah) disekitar kubur baginda, kerana setiap tempat yang digunakan untuk solat bererti telah dijadikan sebagai masjid, bahkan setiap tempat yang digunakan untuk solat disebut masjid, sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasul s.a.w.:
"Telah dijadikan bumi ini untukku sebagai masjid dan suci".

Dan Imam Ahmad meriwayatkan hadis marfu' dengan sanad yang jayyid, dari Ibnu Mas'ud r.a., bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya, orang yang masih hidup pada saat hari kiamat tiba, dan orang yang menjadikan kubur sebagai tempat ibadah (masjid) adalah termasuk dalam kalangan seburuk-buruk manusia"
(Hadith Riwayat Abu Hatim dalam kitab sahihnya).


Kandungan bab ini:

1-Larangan mendirikan tempat beribadah (masjid) di sisi kubur orang-orang soleh, walupun niatnya baik.

2-Larangan keras adanya (gambar / patung) dalam tempat ibadah.

3-Pelajaran penting yang dapat kita ambil dari sikap keras Rasulullah s.a.w. dalam masalah ini, bagaimana baginda s.a.w menjelaskan terlebih dahulu kepada para sahabat, bahawa orang yang mendirikan tempat ibadah di sekitar kubur orang soleh termasuk seburk-buruk makhluk di hadapan Allah. Kemudian, lima hari sebelum wafat, baginda s.a.w mengeluarkan pernyataan yang melarang umatnya menjadikan kubur sebagai tempat ibadah. Dan yang terakhir, beberapa saat menjelang kewafatannya, baginda s.a.w masih merasa belum cukup dengan tindakan-tindakan yang telah diambilnya, sehingga baginda melaknat orang-orang yang melakukan perbuatan ini.

4-Rasulullah s.a.w. melarang pula perbuatan tersebut dilakukan di sisi kubur baginda s.a.w, walaupun kubur baginda s.a.w sendiri belum ada.

5-Menjadikan kubur nabi-nabi sebagai tempat ibadah merupakan tradisi orang-orang yahudi dan Nasrani.

6-Rasulullah melaknat mereka kerana perbuatan mereka sendiri.

7-Rasulullah melaknat mereka dengan tujuan memberikan peringatan kepada kita agar tidak melakukan hal yang sama terhadap kubur baginda s.a.w.

8-Alasan tidak dinampakkan kubur baginda s.a.w kerana dikhuatiri akan dijadikan sebagai tempat ibadah.

9-Pengertian "menjadikan kubur sebagai tempat ibadah" ialah [melakukan suatu ibadah, seperti: solat di sisi kubur, meskipun tidak didirikan di atasnya sebuah tempat ibadah].

10-Rasulullah s.a.w menggabungkan antara orang yang menjadikan kubur sebagai tempat ibadah dengan orang yang masih hidup disaat kiamat tiba, dalam rangka memberikan peringatan kepada umatnya tentang perbuatan yang boleh mencapai kepada perkara-perkara syirik sebelum ianya terjadi, disamping mengingatkan pula bahawa di akhir kehidupan dunia adalah bermaharajalelanya perkara-perkara syirik.

11-Khutbah baginda s.a.w yang disampaikan lima hari sebelum wafatnya baginda s.a.w mengandungi sanggahan terhadap dua kelompok yang kedua-duanya termasuk seburuk-buruk ahli bid'ah, bahkan sebahagian ulama menyatakan bahawa kedua-duanya di luar 72 golongan yang ada dalam umat Islam, iaitu Rafidhoh[54] dan Jahmiyah[55]. Dan disebabkan orang-orang Rafidhoh inilah perkara-perkara syirik dan penyembahan kubur terjadi, dan mereka itulah orang pertama yang mendirikan tempat ibadah diatas kubur.

12-Rasulullah s.a.w. [adalah manusia biasa] merasakan beratnya sakaratul maut.

13-Baginda s.a.w dimuliakan oleh Allah dengan dijadikan sebagai kekasih (khalil)[sebagaimana Nabi Ibrahim].

14-Pernyataan bahawa khalil itu lebih tinggi darjatnya daripada habib (kekasih).

15-Pernyataan bahawa Abu Bakar r.a. adalah sahabat Nabi yang paling mulia.

16-Hal tersebut merupakan isyarat bahawa Abu Bakar akan menjadi Khalifah (sesudah baginda s.a.w).

_____________________________________

Catatan Kaki:

[54] Rafidhah adalah salah satu bahagian dalam aliran syi'ah. Mereka bersikap berlebih-lebihan terhadap Ali bin Abi Tholib dan ahlul bait, dan mereka menyatakan permusuhan terhadap sebahagian besar sahabat Rasulullah, khususnya Abu Bakar dan Umar.

[55] Jahmiyah adalah aliran yang timbul pada akhir khilafah Bani Umayyah. Disebut demikian, kerana dinisbahkan kepada nama tokoh mereka, iaitu Jahm bin Sofwan At Tirmidzi, yang terbunuh pada tahun 128 H. di antara pendapat aliran ini adalah menolak kebenaran adanya Asma' dan Sifat Allah, kerana menurut anggapan mereka Asma dan Sifat adalah ciri khas makhluk, maka apabila diakui dan ditetapkan untuk Allah bererti menyerupakan Allah dengan makhlukNya.


Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

No comments:

Post a Comment