Wednesday, 19 September 2012

Syafaat....


Firman Allah s.w.t (maksudnya):
 “Dan berilah peringatan dengan apa yang telah diwahyukan itu kepada orang-orang yang takut akan dikumpulkan kepada Tuhan mereka (pada hari kiamat), sedang mereka tidak mempunyai seorang pelindung dan pemberi syafaat pun selain Allah, agar mereka bertakwa” (QS. Al an'am, 51).

Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Katakanlah (wahai Muhammad): syafaat itu semuanya hanya milik Allah” (QS. Az zumar, 44).

Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Tidak seorang pun yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izinNya” (QS. Al baqarah, 225).

Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Dan berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka sedikitpun tidak berguna, kecuali sesudah Allah mengiizinkan (untuk diberi syafaat) bagi sesiapa yang dikehendaki dan diredhaiNya” (QS. An najm, 26).

Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Katakanlah: "serulah mereka yang kamu anggap (sebagai tuhan) selain Allah, mereka tidak memiliki kekuasaan seberat zarah pun di langit mahupun di bumi, dan mereka tidak mempunyai suatu saham apapun (bahagian dalam penciptaan dengan Allah) dalam (penciptaan) langit dan bumi, dan Allah tidak mempunyai sebarang pembantu di kalangan mereka. Dan syafaat di sisi Allah tidak berguna, kecuali bagi orang yang telah diizinkanNya memperoleh syafaat itu …” (QS. Saba', 22-23).

Abul Abbas[46] mengatakan: "Allah telah menyangkal semua perkara yang menjadi tumpuan kaum musyrikin, selain diriNya sendiri, dengan menyatakan bahawa tidak ada seorangpun selainNya yang memiliki kekuasaan, atau bahagiannya (bersama Allah), atau menjadi pembantu Allah.

Adapun tentang syafa'at, maka telah ditegaskan oleh Allah bahawa syafaat ini tidak berguna kecuali bagi orang yang telah diizinkan untuk memperolehnya, sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

“Dan mereka tidak dapat memberi syafa'at, kecuali kepada orang yang diredhai Allah” (QS. Al Anbiya', 28).

Syafa'at yang diharapkan oleh orang-orang musyrik itu tidak akan ada pada hari kiamat, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Al Qur'an.

Dan diberitakan oleh Nabi s.a.w.: "bahawa beliau pada hari kiamat akan bersujud kepada Allah dan memberikan segala puji-pujian kepadaNya, beliau tidak terus memberi syafaat terlebih dahulu, setelah itu baru dikatakan kepada baginda s.a.w: "Angkatlah kepalamu, katakanlah nescaya ucapanmu pasti akan didengar, dan mintalah nescaya permintaanmu akan dikabulkan, dan berilah syafa'at nescaya syafa'atmu akan diterima". (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Abu Hurairah r.a. bertanya kepada beliau: "siapakah orang yang paling beruntung mendapatkan syafa'atmu?", Baginda s.a.w menjawab: "iaitu orang yang mengucapkan La Ilaha Illallah dengan ikhlas dari dalam hatinya".
(Hadith Riwayat Bukhari dan Ahmad)

Syafa'at yang ditetapkan ini adalah syafaat untuk orang-orang yang mentauhidkan Allah dengan ikhlas semata-mata kerana Allah dengan izin Allah, bukan untuk orang yang menyekutukan Allah dengan yang lainNya.

Dan pada hakikatnya, bahawa hanya Allah lah yang melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang ikhlas tersebut, dengan memberikan keampunan kepada mereka, dengan sebab doa orang yang telah diizinkan oleh Allah untuk memperoleh syafa'at, untuk memuliakan orang tersebut dan menempatkannya di tempat yang terpuji.

Jadi syafa'at yang dinafikan dalam Al Qur'an didalamnya terdapat kesyirikan. Untuk itu Al Qur'an telah menetapkan dalam beberapa ayatnya bahawa syafaat itu hanya ada dengan izin Allah. Dan Nabi s.a.w pun sudah menjelaskan bahawa syafaat itu hanya diperuntukan untuk orang-orang yang ikhlas semata-mata kerana Allah dan untuk orang yang mentauhidkan Allah"


Kandungan bab ini:

1-Penjelasan tentang ayat-ayat di atas [47].

2-Syafa'at yang dinafikan adalah syafa'at yang didalamnya terdapat unsur-unsur kesyirikan.

3-Syafa'at yang ditetapkan adalah syafa'at untuk orang-orang yang mentauhidkan Allah dengan ikhlas, dan dengan izin Allah.

4-Penjelasan tentang adanya syafa'at kubro, iaitu: Al Maqom Al Mahmud (kedudukan yang terpuji).

5-Cara yang dilakukan oleh Rasulullah ketika hendak mendapatkan syafaat, baginda s.a.w tidak terus memberi syafaat terlebih dahulu, tetapi dengan bersujud kepada Allah, memberikan segala puji-pujian kepadaNya. kemudian setelah diizinkan oleh Allah barulah baginda s.a.w memberi syafaat.

6-Adanya pertanyaan: "siapakah orang yang paling beruntung mendapatkan syafa'at baginda s.a.w?"

7-Syafa'at itu tidak diberikan kepada orang-orang yang mensyirikkan (menyekutukan) Allah.

8-Penjelasan tentang hakikat syafa'at yang sebenarnya.

_____________________________________

Catatan Kaki:

[45] Syafaat telah dijadikan dalil oleh kaum musyrikin untuk memohon kepada malaikat, nabi dan para wali. Kata mereka : "Kami tidak memohon kepada mereka kecuali untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memberikan syafaat kepada kami di sisiNya", maka dalam bab ini diterangkan bahawa syafaat yang mereka harapkan itu tidak mempunyai apa-apa makna, bahkan ianya adalah perkara syirik dan syafaat hanyalah hak Allah semata-mata, tidak ada yang dapat memberi syafaat kecuali dengan izinNya bagi siapa yang mendapat redhaNya.

[46] Taqiyuddin Abul Abbas : Ahmad bin Abdul Halim bin Abdus Salam bin Abdullah An Numairi Al Harrani Ad Dimasqi. Syeikhul Islam, dan tokoh yang gigih sekali menjalankan gerakan dakwah Islamiyah. Dilahirkan di Harran, tahun 661 H (1263 M) dan meninggal dunia di Damaskus pada tahun 728 H (1328 M)

[47] Ayat pertama dan kedua menunjukkan bahawa seluruh syafaat adalah hak khusus bagi Allah.

Ayat ketiga menunjukkan bahawa syafaat tidak diberikan kepada seseorang, tanpa izin dari Allah.

Ayat keempat menunjukkan bahawa syafaat itu diberikan oleh orang yang diredhai Allah dengan izin dariNya. Dengan demikian syafaat itu adalah hak mutlak bagi Allah, tidak dapat diminta kecuali dariNya; dan menunjukkan pula kebatilan syirik yang dilakukan oleh kaum musyrikin dengan mendekatkan diri kepada malaikat, nabi atau orang orang soleh, untuk meminta syafaat mereka.

Ayat kelima mengandungi bantahan terhadap kaum musyrikin yang mana, mereka itu menyeru selain Allah, seperti malaikat dan makhluk-makhluk lainnya, kerana menganggap bahawa makhluk-makhluk boleh mendatangkan manfaat dan menolak kemudharatan dan menunjukkan bahawa syafaat tidak berguna bagi mereka, kerana syirik yang mereka lakukan, tetapi hanya berguna bagi orang yang mentauhidkan (mengesakan) Allah, dan itupun dengan izin Allah.


Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

No comments:

Post a Comment