Firman Allah s.w.t.(maksudnya):
“Katakanlah
(hai Muhammad kepada orang-orang musyrik): terangkanlah kepadaku tentang apa
yang kamu seru selain Allah, jika Allah hendak mendatangkan kemudharatan
kepadaku, apakah berhala berhala itu dapat menghilangkan kemudharatan itu? atau
jika Allah menghendaki untuk melimpahkan suatu rahmat kepadaku apakah mereka
mampu menahan rahmatNya? Katakanlah: Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan
memeliharaku); kepadaNyalah mereka berserah diri iaitu orang-orang yang mahu
berserah diri.” (QS. Az zumar, 38)
Dari
Imran bin Husain r.a bahawa Rasulullah s.a.w. melihat seorang lelaki memakai
gelang yang dibuat dari (bahan yang kelihatan) kekuningan, kemudian beliau
bertanya:
"Apakah
ini?", lelaki itu menjawab: "gelang penangkal penyakit", lalu
Nabi bersabda: "lepaskan gelang itu, kerana sesungguhnya ia tidak akan
menambah (apa-apa kebaikan untukmu) kecuali kelemahan (pada dirimu), jika kamu
mati dan gelang ini masih ada padamu, kamu tidak akan beruntung
selama-lamanya" (HR. Ahmad dengan sanad yang dapat diterima)
Di
riwayatkan oleh Imam Ahmad dari Uqbah bin Amir, dalam hadith yang marfu',
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Barang
siapa yang menggantungkan tamimah[21] maka Allah tidak akan mengabulkan
keinginannya, dan barang siapa yang menggantungkan Wada'ah[22] maka Allah tidak
akan memberikan ketenangan kepadanya" dan dalam riwayat yang lain Rasul
bersabda: "Barang siapa yang menggantungkan tamimah maka dia telah
melakukan perkara syirik".
Ibnu Abi
Hatim meriwayatkan dari Huzaifah bahawa dia melihat seorang lelaki yang
ditangannya ada benang untuk mengubati demam panas, maka dia memutuskan benang
itu sambil membaca firman Allah s.w.t.: “Dan sebahagian besar dari mereka tidak
beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mensyirikkan Allah.” (QS. Yusuf,
106).
Kandungan
bab ini:
1-Larangan
keras memakai gelang , benang dan yang sejenis dengannya untuk tujuan-tujuan
seperti yang telah disebutkan diatas.
2-Dikatakan
bahawa Sahabat Nabi s.a.w tadi, jika mati dan gelang (atau yang sejenis
dengannya) masih ada padanya, maka dia tidak akan beruntung selamanya, ini
menunjukkan kebenaran apa yang dikatakan para sahabat bahawa syirik kecil lebih
berat daripada dosa besar.
3-Syirik
tidak dapat dimaafkan dengan alasan tidak tahu (atau jahil).
4-Gelang,
benang dan sejenisnya tidak berguna untuk menangkal atau mengusir sesuatu
penyakit, bahkan ia boleh mendatangkan bahaya, seperti sabda Nabi Muhammad
s.a.w.: "… kerana sesungguhnya ia tidak akan menambah (apa-apa kebaikan
untukmu) kecuali kelemahan (pada dirimu)".
5-Wajib
mengingkari sesiapa yang melakukan perbuatan di atas.
6-Penjelasan
bahawa sesiapa yang menggantungkan sesuatu dengan tujuan di atas, maka Allah
akan menjadikannya sebagai orang yang bergantung pada barang tersebut.
7-Penjelasan
bahawa orang yang menggantungkan tamimah telah melakukan perbuatan syirik.
8-Mengikatkan
benang pada tubuh untuk mengubati demam panas adalah sebahagian dari syirik.
9-Bacaan
ayat di atas oleh Huzaifah menunjukkan bahawa para sahabat menggunakan ayat-ayat
yang berkaitan dengan syirik besar sebagai dalil untuk syirik kecil, seperti
yang telah dijelaskan oleh Ibnu Abbas dalam salah satu ayat yang terdapat dalam
surah Al Baqarah[23].
10-Menggantungkan
Wada'ah untuk mengusir atau menangkal penyakit, termasuk perkara syirik.
11-Orang
yang menggantungkan tamimah telah didoakan: "semoga Allah tidak akan
mengabulkan keinginannya" dan orang yang menggantungkan wadaah didoakan:
"semoga Allah tidak memberikan ketenangan pada dirinya."
_____________________________________
Catatan
Kaki:
[20]
Dimulakan dengan bab ini, diterangkan lebih lanjut menganai pengertian tauhid
dan syahadah "La Ilaha Illallah", dengan menyebutkan hal-hal yang
bertentangan dengannya, iaitu : syirik dan yang sejenis dengannya, baik yang
besar mahupun yang kecil, kerana dengan mengenali syirik sebagai lawan kepada
tauhid, akan lebih jelaslah pengertian tauhid yang sebenarnya dan syahadah
"La Ilaha Illallah".
[21]
Tamimah : sesuatu yang dikalungkan pada leher kanak-kanak sebagai penangkal dan
pengusir penyakit atau pengaruh jahat yang disebabkan oleh rasa dengki
seseorang, dan yang sebagainya.
[22]
Wada'ah : sesuatu yang diambil dari laut, menyerupai rumah kerang ; menurut
anggapan orang-orang jahiliyah dapat digunakan sebagai penangkal penyakit. Ia
juga dianggap sebagai azimat.
[23]
Penjelasan Ibnu Abbas ini akan disebutkan dalam bab yang seterusnya…..
Terjemahan
Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)
No comments:
Post a Comment