Friday, 14 September 2012

Keistimewaan Tauhid Dan Dosa Dosa Yang Diampuni Kerananya



Firman Allah s.w.t.:

 “Orang orang yang beriman dan tidak mencampuri keimanan [5] mereka dengan kezaliman (perkara-perkara syirik) [6], mereka itulah orang-orang yang mendapat ketenteraman dan mereka itulah orang orang yang mendapat hidayah”, (QS. Al An'am, 82).


Ubadah bin Somit r.a. mengatakan: Rasulullah s.a.w. bersabda:

 "Barang siapa yang bersaksi [7] bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Allah sahaja, tiada sekutu bagiNya, dan Muhammad adalah hambaNya dan RasulNya, dan bahawa Isa adalah hambaNya dan RasulNya, dan kalimatNya yang disampaikan kepada Maryam, serta Ruh daripadaNya, dan syurga itu benar-benar ada, neraka juga benar-benar ada, Allah pasti akan memasukkanya ke dalam syurga, berdasarkan amalan yang dilakukan". (HR. Bukhori & Muslim)


Imam Bukhori dan Muslim juga meriwayatkan hadith dari Itban r.a. bahawa Rasulullah bersabda:

 "Sesungguhnya Allah s.w.t. mengharamkan neraka bagi orang-orang yang mengucapkan “La Ilaha Illallah” dengan penuh ikhlas dan hanya mengharapkan (balasan) wajah Allah".


Diriwayatkan dari Abu Said Al Khudri r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

 "Musa berkata: "Ya Tuhan, ajarkanlah kepadaku sesuatu untukku mengingatMu dan berdoa kepadaMu", Allah berfirman: "Ucapkan wahai Musa: La Ilaha Illallah", Musa berkata: "Ya Tuhan, semua hambaMu mengucapkan itu", Allah menjawab: "Wahai Musa, seandainya ketujuh-tujuh langit serta seluruh penghuninya - selain Aku - dan ketujuh bumi diletakkan dalam satu timbangan dan kalimat "La Ilaha Illallah" diletakkan dalam timbangan yang lain, niscaya kalimat "La Ilaha Illallah" lebih berat timbangannya."

(HR. Ibnu Hibban, dan Imam Hakim mensahihkannya).


Imam AtTirmidzi meriwayatkan (yang menurutnya hadith ini bertaraf hasan) dari Anas bin Malik r.a dia berkata aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

 "Allah s.w.t. berfirman: "Wahai anak Adam, jika engkau datang kepadaKu dengan membawa dosa (yang memenuhi ruang alam ini) sehingga hampir mencecah bumi, dan kamu mati dalam keadaan kamu tidak menyekutukanKu dengan sesuatupun, pasti Aku akan datang kepadamu dengan membawa keampunan sebanyak itu juga".



 Pelajaran penting yang terkandung dalam bab ini:


1-Luasnya kurniaan Allah s.w.t..


2-Besarnya pahala tauhid di sisi Allah s.w.t..


3-Tauhid (kepada Allah dengan tidak mensyirikanNya) dapat menghapuskan dosa.


4-Penjelasan tentang ayat yang terdapat di dalam surah Al - An'am.


5-Penelitian terhadap perkara yang dinyatakan di dalam hadith Ubadah.


6-Jika hadith Ubadah, hadith Itban dan hadith sesudahnya dikumpulkan, maka akan jelaslah pengertian kalimat “La Ilaha Illallah”, dan juga akan jelaslah kesalahan orang-orang yang tersesat kerana hawa nafsu.


7-Penjelasan terhadap syarat-syarat yang disebutkan dalam hadis Itban, (iaitu ikhlas semata-mata kerana Allah, dan tidak menyekutukanNya).


8-Para Nabi juga memerlukan penjelasan tentang keistimewaan “La Ilaha Illallah”.


9-Penjelasan bahawa berat timbangan kalimat “La Ilaha Illallah” melebihi berat timbangan seluruh makhluk (jika benar-benar ikhlas mengucapkannya dan hanya mengharapkan (balasan) wajah Allah), padahal ramai orang yang mengucapkan kalimat tersebut ringan timbangan (amalan)nya (kerana tidak ikhlas dan tidak mengharapkan (balasan) wajah Allah)


10-Bukti bahawa bumi itu tujuh lapis seperti langit-langit (yang mempunyai tujuh lapisan).


11-Langit dan bumi itu ada penghuninya.


12-Penetapan sifat sifat Allah, yang berbeza dengan pendapat golongan Asy'ariyah[8].


13-Jika hadith Anas difahami, maka akan diketahui bahawa sabda Rasulullah s.a.w dalam hadith Itban:

"Sesungguhnya Allah s.w.t. mengharamkan neraka bagi orang orang yang mengucapkan “La Ilaha Illallah” dengan penuh ikhlas dan hanya mengharapkan (balasan) wajah Allah", maksudnya adalah meninggalkan perkara-perkara syirik, bukan hanya mengucapkan kalimat tersebut melalui lisan sahaja.


14-Penelitian bahawa Nabi Muhammad s.a.w dan Nabi Isa a.s kedua-duanya adalah hamba Allah dan RasulNya.


15-Mengetahui keistimewaan Nabi Isa, (yang) dijadikan (dari) Kalimat Allah[9].


16-Mengetahui bahawa Nabi Isa adalah ruh diantara ruh-ruh yang diciptakan Allah.


17-Mengetahui keistimewaan iman dengan kebenaran adanya syurga dan neraka.


18-Memahami sabda Rasul: "berdasarkan amalan yang dilakukan ".


19-Mengetahui bahawa timbangan itu mempunyai dua perkara.


20- Mengetahui kebenaran adanya wajah bagi Allah.


_____________________________________


Catatan Kaki:


[5] Iman ialah : ucapan hati dan lisan yang disertai dengan perbuatan, diiringi dengan niat ikhlas kerana Allah, dan dilandasi dengan berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah s.a.w..


[6] Syirik disebut kezaliman kerana syirik adalah meletakkan sesuatu ibadah bukan pada tempatnya, dan memberikannya kepada yang tidak berhak menerimanya.


[7] Syahadat ialah : pengakuan dengan hati dan lisan, dan mengetahui maknanya dan mengamalkan apa yang diperintahkan, baik secara zahir mahupun secara batin.


[8] Asy'ariyah adalah salah satu aliran teologis, dinisbahkan kepada pengikut Syeikh Abu Hasan Ali bin Ismail Al Asy'ari (260 - 324 H = 874 - 936 M). Dan yang dimaksudkan di sini ialah menetapkan sifat sifat Allah sebagaimana yang disebutkan di dalam Al Qur'an mahupun As sunnah. Termasuk sifat yang ditetapkan adalah kebenaran adanya wajah bagi Allah, mengikuti cara yang diamalkan golongan salafus soleh dalam masalah ini, iaitu : mengimani kebesaran sifat sifat Allah yang disampaikan melalui Al Qur'an dan As sunnah TANPA PERLU KEPADA

tahrif (mengubah lafaz dalil atau maknanya),

ta'thil (mengingkari nama-nama dan sifat-sifat Allah secara keseluruhan atau sebahagian),

takyif (mereka-reka keadaan atau bentuk yang sebenar dari sifat yang dinyatakan) dan

tamtsil (menyerupakan atau menyamakan sifat Allah dengan makhluk ciptaanNya).

Adapun golongan Asy'ariyah, sebahagian mereka ada yang menta'wilkannya (menafsirinya dengan makna yang menyimpang dari makna yang sebenarnya) dengan alasan bahawa hal itu jika tidak dita'wilkan boleh menimbulkan tasybih (penyerupaan) Allah dengan makhlukNya, akan tetapi perlu diketahui bahawa Syeikh Abu Hasan sendiri dalam masalah ini telah menyatakan bahawa beliau berpegang teguh dengan pegangan salafus soleh, sebagaimana yang dinyatakan oleh beliau dalam kitab yang ditulis di akhir hidupnya, iaitu Al Ibanah 'an ushulid diyanah (editor : Abdul Qodir Al Arnauth, Beirut, makatabah darul bayan, 1401 H) bahkan dalam karyanya ini beliau mengkritik dan menyanggah tindakan ta'wil yang dilakukan oleh golongan yang menyimpang dari pegangan salafus soleh.


[9] Kalimat Allah maksudnya bahawa Nabi Isa diciptakan Allah dengan firmanNya "Kun" (jadilah) yang disampaikan Nya kepada Maryam melalui malaikat Jibril.



*Terjemahan Kitab AtTauhid (Sheikh Muhammad AtTamimi)

No comments:

Post a Comment